soalan: kaedah yang digunakan kedah menghadapi tekanan siam
soalan: kaedah yang digunakan kedah menghadapi tekanan siam
1.0 PENGENALAN
Kedah merupakan sebuah negeri yang terletak di utara
Semenanjung Tanah Melayu dan bersempadan dengan wilayah Siam (lihat Lampiran
1). Jangka masa dari tahun 1771-1821 telah dipilih bagi membincangkan
kaedah-kaedah yang diambil oleh pemerintah di Kedah dalam menghadapi tekanan
daripada kerajaan Siam. Tempoh ini amat getir kepada Kedah memandangkan pada
ketika itu, tekanan dari pelbagai sudut telah dilakukan oleh pemerintah Siam
terhadapnya. Dalam menghadapi tekanan Siam ke atas Kedah, Kedah telah mengambil
beberapa kaedah bagi menjamin kelangsungan pemerintahannya.
Esei
ini akan membincangkan mengenai penghantaran Bunga Emas dan Perak sebagai
kaedah bagi mengatasi tekanan Siam terhadap Kedah. Seterusnya, esei ini akan
membincangkan mengapa Kedah mengakui semula ketuanan Siam ke atasnya sebagai
cara mengatasi tekanan Siam ke atasnya selepas Perang Siam-Burma. Selain itu,
perbincangan dalam esei ini juga akan turut menyentuh mengenai Kedah yang memenuhi tuntutan Siam apabila mereka
menghantar bantuan bagi menyerang Burma dan menghapuskan pemberontakan yang
tercetus di Patani. Dasar suai-faedah yang dilakukan oleh Kedah dilihat berjaya
menyelamatkan Kedah daripada diserang Siam sehingga 1821. Esei ini juga turut
akan membincangkan mengenai kaedah yang dilakukan oleh pemerintah Kedah dalam
menghadapi tekanan dari Siam ketika mereka dihimpit konflik kekeluargaan di
mana perebutan kuasa secara dalaman telah berlaku, serta kaedah yang telah
diambil oleh pemerintah Kedah dalam isu tekanan yang diberikan oleh Gabenor Nakhon
Sri Thammarat yang jelas memberikan tekanan yang hebat ketika Sultan Ahmad
Tajuddin bergelut untuk mempertahankan kedudukannya sebagai pemerintah Kedah.
2.0 KAEDAH-KAEDAH YANG DIGUNAKAN OLEH
PEMERINTAH DI NEGERI-NEGERI MELAYU UTARA DALAM MENGHADAPI TEKANAN DARIPADA
KERAJAAN SIAM
2.1 PENGHANTARAN BUNGA EMAS DAN PERAK
Bunga Emas dan Perak (lihat Lampiran 2)
merupakan ufti yang dihantar oleh Kedah ke Siam sebagai tanda mengakui
kekuasaan dan sebagai simbolik hubungan “vassal-suzerain”
iaitu hubungan antara negeri penaung dan negeri yang dinaungi.[1]
Namun hal ini sebenarnya telah dinafikan oleh pemerintah negeri Kedah di mana
mereka menyifatkan penghantaran Bunga Emas dan Perak sebagai “tanda sepakat dan
bersahabat”.[2]
Penghantaran Bunga Emas dan Perak ini kebiasaanya dilakukan selama tiga tahun
sekali[3]
dan pernah terhenti pada 1765-1767 semasa Perang Siam-Burma. Penghantaran Bunga
Emas dan Perak ini adalah sebahagian dari dasar suai-faedah yang telah
diamalkan oleh Kedah. Dasar suai-faedah bermaksud Kedah hanya menerima
kewibawaan kuasa asing dengan cara menghantar Bunga Emas dan Perak. Dasar ini
telah menyebabkan Kedah melompat dari satu kuasa kepada kuasa yang lebih kuat
bagi memastikan keselamatan negerinya terjamin. Ketika Siam menjadi lemah,
Kedah menghentikan penghantaran Bunga Emas dan Perak. Namun apabila Phya Taksin
telah berjaya menduduki semula takhta Siam pada 1767, Siam telah melancarkan
tekanan ke atas Kedah di mana Kedah perlu mengakui semula ketuanan Siam ke
atasnya. Hal ini telah memaksa Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1789)
menerima tuntuan Siam dengan menghantar Bunga Emas dan Perak kepada Siam.[4]
Ketika pemerintahan Sultan Ahmad
Tajuddin II (1804-1843), Kedah gagal menghantar Bunga Emas dan Perak. Hal ini
telah menjadi faktor serangan Siam ke atas Kedah pada November 1821. Gabenor
Pulau Pinang telah memberi amaran kepada Baginda bahawa 6,000 tentera Siam
berlepas dari Bangkok dengan melalui Singgora untuk menyerang Kedah akibat
kegagalan tersebut.[5]
Kedah akhirnya berjaya ditawan oleh Siam dan Siam telah menduduki Kedah selama
21 tahun sehingga tahun 1842. Peristiwa ini telah memberikan pengajaran yang
cukup berguna buat Kedah.
2.2 KEDAH MENGIKTIRAF SEMULA KETUANAN SIAM KE
ATASNYA
Semasa
Perang Siam-Burma, Kedah menyatakan sokongan kepada Burma. Kedah telah
menghantar bantuan ketenteraan dan persenjataan kepada Burma di samping
mengiktiraf ketuanan Burma ke atasnya.[6]
Namun dalam masa yang sama, Kedah juga turut menghantar bantuan yang serupa
kepada angkatan Siam di Thalang.[7]
Ini dilihat sebagai kaedah yang dilakukan oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah
bagi memastikan kelansungan Kedah. Namun selepas tamanya Perang Siam-Burma,
Siam telah meminta tunjuk sebab atas tindakan Kedah membantu Burma, serta
meminta Kedah mengakui ketuanan Siam ke atasnya.[8]
Sultan Abdullah bertindak menghantar Tunku Chena bersama-sama dengan hadiah.
“Uparat” menolak untuk bertemu dengan Tunku Chena kerana mahukan Sultan
Abdullah hadir atas kapasiti individu.[9]
Sekali lagi Sultan Abdullah bertindak dengan menghantar putera sulungnya
bersama-sama dengan hadiah yang lebih banyak untuk bertemu “Uparat”.[10]
Sultan
Abdullah telah kembali mengiktiraf ketuanan Siam ke atas Kedah, dan sebagai
bukti kesetiaannya, baginda bersetuju dengan permintaan “Uparat” di mana Kedah
perlu menyertai serangan ke atas Burma.[11]
Baginda juga diminta untuk menyediakan perahu-perahu untuk menyerang Mergui dan
Tavoy, dan sebagai tambahan, baginda juga diminta menhantar seratus koyan beras
ke Thalang, bersama-sama empat buah meriam tembaga, empat buah meriam 12-pounders, dan sejumlah pakaian.[12]
Tindakan yang diambil oleh Kedah ini telah menyelamatkan negerinya daripada
dicerobohi oleh Siam pada ketika itu.
2.3 KEDAH MEMBANTU SIAM MENGHAPUSKAN
PEMBERONTAKAN DI PATANI
Semasa
pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (lihat Lampiran 3), tekanan yang lebih
besar dihadapi oleh baginda. Laporan mengenai keadaan kesihatan Rama I yang
semakin merosot telah tersebar dan ianya telah menyebabkan tercetusnya
pemberontakan yang serius menentang pemerintahan Siam di Patani.[13]
Kedah telah menerima arahan daripada Siam untuk menyediakan tentera dan
lain-lain bentuk bantuan kepada Siam dalam menangani pemberontakan di Patani.[14]
Hal ini mencetuskan rasa berbelah bagi kerana sebagai sebuah negeri “vassal”, Kedah terikat dengan Siam namun
dalam masa yang sama, Kedah memiliki pertalian yang rapat dengan Patani.[15]
Namun demi kelansungan politik, Kedah terpaksa membantu Siam dengan menghantar
tenteranya bagi menghapuskan pemberontakan di Patani.
2.4 KEDAH MEMBANTU SIAM MENYERANG BURMA
Keadaan
menjadi lebih rumit terhadap Sultan Ahmad Tajuddin II apabila berita mengenai
Rama I tersebut telah menyebabkan Burma mengambil kesempatan melancarkan
serangan ke atas Thalang.[16]
Kesan serangan tersebut telah menyebabkan timbulnya masalah kepada Kedah, di
mana setelah Kedah membantu Siam di Pattani, Kedah pula terpaksa menghantar
tentera membantu Siam merampas semula Thalang dari tangan Burma.[17]
Sultan
Ahmad Tajuddin II mendapati hanya satu sahaja kaedah bagi menyelamatkan Kedah
daripada serangan Siam ke atasnya ialah dengan menurut sahaja segala arahan
dari pihak Siam, dengan harapan ianya dapat membuktikan kesetiaan Kedah kepada
Siam.[18]
Hal ini dibuktikan dengan penghantaran Bendahara, pegawai-pegawai Kedah yang
lain bersama-sama dengan angkatan tentera dan perahu-perahu ke Trang bagi
operasi menakluki semula Thalang dari pihak Burma.[19]
Pada Oktober 1810 Thalang telah berjaya ditawan semula oleh Siam, namun kesan
yang dihadapi Kedah adalah buruk di mana operasi menawan semula Thalang telah mengakibatkan
kehilangan nyawa yang tinggi dalam angkatan tentera Kedah.[20]
Pada
pertengahan Disember 1810, Siam telah mengenakan tekanan berterusan terhadap
Kedah dengan meminta Kedah menghantar perahu-perahu yang lengkap, dan dalam
masa yang sama juga kedudukan kewangan Kedah hampir-hampir habis.[21]
Kedah terpaksa memohon pinjaman sejumlah $ 10,000 daripada SHTI.[22]
Baginda sedar bahawa Kedah terpaksa tunduk kepada kehendak Siam secara
berterusan bagi tujuan mengekalkan keamanan Kedah.
2.4 KEDAH MENYERANG PERAK
Selain
itu, Kedah juga mendapat tekanan daripada Siam apabila diarahkan untuk
menyerang Perak pada tahun 1816. Rama II menunjukann minat dalam menambah
wilayah kekuasaan dalam empayarnya dan mahu meningkatkan kemegahan Siam di mata
Burma.[23]
Selepas Bendahara telah menerima arahan daripada Rama II, Sultan Ahmad Tajuddin
telah mengirimkan surat kepada pembesar-pembesar Perak iaitu Seri Raja Diraja,
Raja Setia Lela dan Tun Jaya Menteri, di mana surat tersebut dipersembahkan
kepada Sultan Mansur Shah II dengan menyatakan hasrat Siam bagi menaungi Perak.[24]
Dalam masa yang sama juga Sultan Ahmad Tajuddin II bertindak menghantar
Bendahara ke Pulau Pinang bagi memaklumkan SHTI akan perkembangan yang berlaku.
Baginda mengharapkan tindakannnya memaklumkan niat Siam ini akan mendorong SHTI
campur tangan. Namun baginda kecewa kerana Gabenor Pulau Pinang memilih untuk
penyerahan Perak secara aman.
Pada
Januari 1814, tekanan untuk menyerang Perak datang dari Gabenor Nakhon Sri
Thammarat. Walaupun Rama II telah mengeluarkan arahan kepada Sultan Ahmad
Tajuddin II agar meminta Sultan Perak menerima pertuanan Siam, namun Gabenor
memaksa penaklukan dilakukan dengan segera ke atas Perak, sama ada Sultan Perak
menyerahkan negerinya secara aman atau sebaliknya.[25]
Kedah takut akan kemungkinan Gabenor Nakhon Si Thammarat akan mengambil
tindakan sendiri, oleh demikian Baginda menghantar Dato Temenggong dan Seri
Paduka Tuan ke Pulau Pinang.
Cita-cita
Rama II ini tidak menggembirakan Sultan Ahmad Tajuddin II kerana serangan ke
atas negeri jiran ini akan melibatkan perbelanjaan yang besar yang sudah pasti
tidak akan menguntungkan Kedah. Baginda juga bimbang akan kemungkinan Siam akan
menghantar tenteranya bagi menolong angkatan tentera Kedah dalam menakluk
Perak, di mana Kedah mungkin perlu melengkapkan tentera Siam dengan
persenjataan, pakaian dan juga pengangkutan sama ada pengangkutan darat atau
laut.[26]
Kedah pada masa itu menhadapi masalah kewangan yang lemah dan terbeban akibat
permintaan Siam yang lepas. Baginda bimbang Kedah tidak akan mampu memenuhi
tuntutan seperti ini. Baginda melihat Kedah dan Perak hanya diselamatkan dengan
satu sahaja cara, iaitu Perak menyerahkan pertuanan kepada Siam secara aman.[27]
Baginda telah membuat percubaan terakhir dengan cuba mendapatkan bantuan British
secara langsung dari India bagi melindungi keselamatan Kedah, walaupun
cubaan-cubaan sebelumnya gagal kerana Gabenor Pulau Pinang secara berterusan
menolak permohonan Kedah. Baginda telah membuat permohonan secara terus kepada
Gabenor-Jeneral di India.[28]
Menyedari
kemungkinan cubaan ini berakhir dengan kegagalan, baginda membuat percubaan
terakhir dengan melancarkan cubaan terakhir membuat rundingan dengan Perak.[29]
Menyedari hakikat Sultan Mansur mengesyaki terhadap niat Kedah, Baginda
merancang untuk meminta Gabenor Pulau Pinang menggunakan pengaruhnya untuk
mendesak Perak menghantar Bunga Emas dan Perak ke Siam, dengan harapan Sultan
Mansur mendengar nasihat British.[30]
Selain
itu, dengan mengambil kira kemungkinan British tidak menerima perancangan Kedah,
atau sekiranya British meluluskan permintaan Kedah tetapi Perak menolaknya,
Baginda cuba memenangi sokongan diplomatik dari British. Baginda telah
menghantar surat kepada Gabenor Pulau Pinang di mana baginda menyatakan kesan
berbahaya yang akan dialami Kedah dalam isu penaklukan Perak ini. Baginda turut
meminta nasihat Gabenor Pulau Pinang, serta dan dalam masa yang sama menekankan
sekiranya Gabenor menasihatkan Baginda agar tidak menghiraukan permintaan Siam,
Baginda mengharapkan pelindungan daripada British.[31]
Baginda
menggunakan taktik menangguh-nangguhkan permintaan Siam.[32]
Arahan Rama II kepada Kedah ialah menyerang Perak dengan kadar yang segera. Hal
ini jelas menunjukkan bahawa Perak tidak akan tunduk kepada Siam secara aman.
Baginda membuat tanggapan bahawa Sultan Mansur akan membuka mata dan
menyerahkan Perak secara aman kepada Siam, oleh demikian Baginda memberikan
jaminan kepada Rama II bawa isu ini akan dapat diselesaikan dengan kadar yang
segera menjelang pengakhiran tahun 1815.[33]
Taktik melengah-lengahkan ini dapat dilihat apabila Baginda menulis surat
secara terus kepada Rama II dan menghantar Bunga Emas dan Perak bagi melindungi
Kedah. [34]
Akhirnya
Sultan Ahmad Tajuddin II mengambil keputusan untuk menyerang Perak. Wakil-wakil
Kedah telah menyatakan terdapat hanya dua pilihan untuk Kedah sama ada
menyerang Perak sebagai memenuhi tuntutan Rama II atau menolak arahan tersebut
dengan bersedia menghadapi kemungkinan seterusnya.[35]
Sultan Ahmad Tajuddin II memilih untuk menurut arahan Rama II. Dengan pilihan
yang terhad ini, Baginda mengarahkan menteri-menterinya untuk mengumpulkan
tentera, dan dalam masa yang sama mengharapkan respon positif dari Perak.[36]
Namun, harapan Kedah lebur apabila Sultan Mansur enggan tunduk kepada
permintaan Siam. Akhirnya, pada Disember 1816, Kedah melancarkan serangan ke
atas Perak.
2.5 KONFLIK KEKELUARGAAN
Selepas pemerintahan
Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1798), konflik dalam kalangan kerabat
diraja Kedah timbul akibat baginda mempunyai sembilan orang yang berebut takhta.
Hal ini terjadi ekoran Sultan Abdullah tidak menamakan penggantinya.
Pemerintahan Kedah telah dikuasai oleh Raja Muda iaitu Tunku Dhiauddin
(1798-1803). Tunku Dhiauddin (lihat Lampiran 4) berjaya menjadi pemerintah atas
sokongan ramai pembesar. Namun kedudukan Tunku Dhiauddin ini tidak kukuh kerana
dicabar oleh anak saudaranya iaitu Tunku Pangeran.[37]
Oleh kerana sokongan yang diterima Tunku Pangeran dari dalam negeri melebihi
sokongan terhadap bapa saudaranya, maka Tunku Pangeran cuba bantuan dari luar.
Tunku Pangeran mendapat bantuan dari Siam kerana selepas tahun 1800, dinasti
Chakri sudah mulai pulih dan kuat dari ancaman Burma. Bagi mencapai matlamatnya, Tunku Pangeran
telah menggunakan Gabenor Singgora dan baginda berjaya mempengaruhi Gabenor
tersebut.[38]
Dalam masa yang sama, Siam memang tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku
Dhiauddin menyerahkan Seberang Perai kepada British menurut perjanjian 1800.[39]
Dengan sokongan Siam, Tunku Pangeran telah diiktiraf sebagai Sultan, menerima
gelaran Siam dan dijanjikan pertolongan pada bulan September 1803.[40]
Walaupun Tunku Pangeran dirajakan
dengan gelaran Sultan Ahmad Tajuddin II, tetapi kedudukan baginda tidak kukuh.
Hal ini disebabkan kewibawaan baginda sering dicabar oleh saudara-saudaranya
sendiri.[41]
Isu utama dalam persengketaan ini ialah percubaan mendapatkan daerah pengaruh
yang berautonomi. Keadaan ini telah menyebabkan lemahnya kuasa Sultan dan
menyebabkan ketidakseimbangan pentadbiran Kedah pada masa itu. [42]
Siam telah mengenakan tekanan ke
atas Sultan Ahmad Tajuddin apabila mereka mengeluarkan perintah kepada baginda
agar menyerahkan daerah Kuala Muda kepada Tunku Ibrahim, dan mengekalkan Setul
di bawah kekuasaan Tunku Bisnu.[43]
Tunku Bisnu tidak berpuas hati akan tindakan ini. Tunku Bisnu yang bercita-cita
mahu menguasai daerah Kuala Muda telah pergi menghadap Rama II pada tahun 1810
bersama-sama dengan Gabenor Singgora. Isu yang dibangkitkan di hadapan Rama II
ialah isu ketidaksetiaan Sultan Ahmad Tajuddin II yang cuba berpakat dengan
Burma.[44]
Siam memandang serius perkara ini dan akibatnya, Siam terus mengenakan tekanan
terhadap Kedah dengan mengarahkan Sultan Ahmad Tajuddin II menyerahkan kawasan
yang meliputi Sungai Yan, Sungai Merbok hingga ke Sungai Muda kepada Tunku
Bisnu.[45]
Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa kaedah yang diambil Sultan Ahmad Tajuddin
II dalam menghadapi tekanan Siam ialah hanyalah dengan menurut sahaja arahan
dari pihak Siam. Tindakan ini dilakukan dengan kesedaran bahawa Kedah tidak
memiliki kemampuan untuk menentang Siam sekiranya negerinya diserang.
2.6 TEKANAN DARI GABENOR NAKHON SRI THAMMARAT
Selain dari masalah konflik
keluarga, Sultan Ahmad Tajuddin II turut menghadapi tekanan dari Gabenor Nakhon
Sri Thammarat. Hal ini berlaku kerana Gabenor tersebut berasa cemburu akan kejayaan
Kedah dalam kempen di Thalang dan Perak di mana kejayaan Sultan Ahmad Tajuddin
II tersebut telah menyebabkan baginda dikurniakan gelaran Chao Phya.[46]
Dengan pangkat yang diperolehi ini kedudukan baginda adalah setaraf dengan
Gabenor Nakhon Sri Thammarat, sedangkan Gabenor tersebut mahu meletakkan Kedah
di bawah pengaruhnya sebagai Pesuruhjaya.[47]
Hal ini sangat-sangat memalukan Gabenor tersebut kerana selama ini Kedah
hanyalah sebuah wilayah yang berada di bawah kawalannya.[48]
Pada
tahun 1820, Gabenor Nakhon Sri Thammarat telah pergi ke Bangkok untuk meminta
kebenaran Siam untuk menyerang Kedah serta meluaskan pengaruh Siam di
negeri-negeri Melayu yang lain.[49]
Alasan beliau ialah Sultan Ahmad Tajuddin II gagal untuk memenuhi permintaan
ketenteraan serta dituduh ada hubungan dengan pihak Burma.[50] Hal ini telah meyakinkan Siam bagi menyerang
Kedah.
Menurut
Muhamamad Isa Othman, beliau menyatakan bahawa serangan Siam ke atas Kedah
berlaku akibat cita-cita politik Tunku Yaakop yang mahu meluaskan pengaruhnya di
Kedah.[51]
Tunku Yaakop telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan Gabenor Nakhon Sri
Thammarat. Bagi mencapai tujuan politik, beliau mendakwa Sultan Ahmad Tajuddin
II membuat pakatan sulit dengan pihak Burma untuk menentang Siam serta dituduh
gagal mentadbir Kedah sehingga mengakibatkan rakyat Kedah berpecah-belah.[52]
Selain itu, baginda juga didakwa mengabaikan pentadbiran kerana berpindah ke
Merbok.[53]
Di samping itu, baginda gagal menghadirkan diri ke Ligor dan Bangkok walaupun
beberapa kali dijemput.[54]
Alasan-alasan ini cukup untuk membuat Siam untuk menyerang Kedah pada November
1821. Sultan Ahmad Tajuddin dalam hal ini dilihat telah gagal melakukan
tindakan bagi mempertahankan kedudukannya serta mempertahankan negerinya.
3.0 KESIMPULAN
Terdapat beberapa
langkah yang telah diambil oleh pemerintah Kedah bagi mengatasi tekanan
daripada kerajaan Siam. Langkah yang telah diambil ialah dengan melakukan
pembayaran ufti Bunga Emas dan Perak. Selepas perang Siam-Burma, Kedah telah
melakukan tindakan dengan mengakui semula ketuanan Siam terhadapnya. Ini
dilakukan bagi mengurangkan tekanan Siam terhadapnya yang sebelumnya curiga
akibat tindakan Kedah membantu Burma semasa Perang tersebut. Kedah juga dalam
tempoh ini telah secara terpaksa melaksanakan arahan daripada Siam dengan
membantu Siam menghapuskan pemberontakan di Patani dan membantu Siam dalam
serangan ke atas Burma. Menjelang waktu-waktu akhir sebelum serangan Siam ke
atas Kedah pada 1821, Kedah turut menerima tekanan dari Siam berpunca akibat
daripada pergolakan dalaman berkaitan isu perebutan kuasa dalam negeri. Akhir
sekali, tekanan daripada Gabenor Nakhon Sri Thammarat terhadap Sultan Ahmad
Tajuddin II dilihat sebagai tekanan secara langsung kepada pemerintah Kedah itu
namun beliau gagal mengatasi tekanan tersebut, maka akibatnya Perang Kedah-Siam
1821 telah meletus yang menyaksikan Kedah dijajah Siam selama hampir dua puluh
satu tahun.
[1] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821 The Search for Security and Independence. 11.
[2] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[3] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah 1681-1942. 28.
[4] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 25.
[5] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 166.
[6] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 57.
[7] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 70.
[8] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 71.
[9] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 72.
[10] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 72.
[11] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[12] Bonney, R. (1971). Kedah 1771-1821.
84.
[13] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 114.
[14] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 115.
[15] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 115.
[16] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 114.
[17] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 115.
[18] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 120.
[19] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[20] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 121.
[21] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[22] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[23] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[24] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 130.
[25] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 133.
[26] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 132.
[27] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[28] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[29] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[30] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 142.
[31] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[32] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[33] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[34] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[35] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 147.
[36] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[37] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 24.
[38] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[39] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 25.
[40] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 25.
[41] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[42] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[43] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 26.
[44] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[45] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[46] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 28.
[47] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 163.
[48] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[49] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821. 164.
[50] Bonney, R. (1971). Kedah
1771-1821.
[51] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 28.
[52] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah. 29.
[53] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
[54] Muhammad Isa Othman. (1990). Politik
Tradisional Kedah.
Ulasan
Catat Ulasan