langkah-langkah yang dilakukan pemerintahanuntuk mengukuhkankedudukan melaka



PENGENALAN

            Pada awal abad ke-14, Melaka hanya merupakan sebuah perkampungan kecil nelayan[1].Penduduknya terdiri daripada Orang Laut dan Orang Selat yang menyara kehidupan dengan menangkap ikan dan berdagang secara kecil-kecilan. Namun begitu, Melaka telah muncul sebagai pusat perdagangan, perkembangan agama Islam dan Kerajaan Melayu yang terkuat di Kepulauan Melayu yang berkembang daripada sebuah petempatan kepada sebuah kerajaan dan seterusnya membentuk empayar. Sugguhpun terdapat percanggahan pendapat tentang tarikh pembukaan negeri Melaka tetapi kebanyakan ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa Melaka  di buka sekitar 1400-an. Melaka telah diasaskan oleh Parameswara dan Melaka telah mendapat nama sempena nama sebatang pokok tempat Parameswara bersandar semasa berburu. Pemerintahan kesultanan Melayu Melaka dapat di bahagikan kepada empat tahap iaitu tahap pembukaan sekitar 1400-1424 yang diperintah oleh Parameswara dan anaknya Mahkota Iskandar Syah. Tahap kedua ialah tahap pengukuhan  iaitu pada tahun 1424-1446 dibawah pemerintahan Sultan Muhammad Syah seterusnya pengganti baginda manakala tahap ketiga ialah tahap kegemilangan (1446-1488) dibawah pemerintahan sultan mansur Syah dan tahap kejatuhan (1488-1511) dibawah pimpinan Sultan Mahmud Syah.[2] Kegemilangan Melaka telah dapat dicapai ekoran daripada langkah-langkah yang telah dilaksanakan bagi mengukuhkan negeri tersebut oleh raja-raja dan pembesar selepas pengasasannya.

LATAR BELAKANG PEMERINTAH MELAKA SELEPAS PENGASASANNYA SEHINGGA DEKAD 1430-AN
            Parameswara merupakan pemerintah Melaka yang pertama beliau merupakan seorang yang bercita-cita tinggi. Sebagai contoh sewaktu percubaan menjadi raja di Palembang dan Temasik walaupun percubaan itu gagal. Beliau juga seorang yang berpandangan jauh sebagai contoh memerintah rakyat bercucuk tanam kerana hasil pengeluaran beras dan tebu tidak mencukupi. Tindakannya menyusun satu pasukan laut yang cekap untuk memberi perlindungan kepada pedagang telah menjadikan Melaka sebagai pelabuhan entrepot yang penting ketika itu. Tindakan Parameswara mengawal Selat Melaka yang menjadi faktor terpenting bagi survival ekonomi dan keutuhan Melaka.[3] Pasukan laut terbabit terdiri daripada orang Laut di sekitar selat Melaka yang menjadi tulang belakang kekuatan tentera laut Melaka. Kedudukan dan peranan "kelautan' dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan kian menonjol di beberapa tahap awal abad ke-15.[4]
            Pemerintah Melaka kedua ialah Megat Iskandar Syah yang memerintah dari 1414-1424M. Di sebut dalam Sejarah Melayu sebagai 'memerintah istiadat takhta kerajaan baginda'.[5] Antara peraturan yang ditentukan oleh baginda ialah mewujudkan menteri yang bertanggungjawab menyusun istiadat di balairung, melantik  para bentara yang bertugas di balairung dan melantik para biduanda.
            Megat Iskandar Syah kemudian digantikan oleh Sultan Muhammad Syah 1424-1444M. Baginda telah berkahwin dengan Tun Wati anak Seri Nara Diraja atau Tun Pepatih Besar.[6] Beliau telah banyak melakukan pembaharuan dalam pemerintahan Melaka. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh beliau ialah menerangkan dengan terperinci beraneka jenis peraturan, tanggungjawab individu di istana, memastikan berbagai-bagaib bidang kuasa para pembesar, menentukan hak serta bidang kuasa raja Melaka, memformalkan amalan adat istiadat yang berhubung dengan peraturan kerajaan dan penentuan protokol.[7]

LANGKAH-LANGKAH YANG DI LAKUKAN OLEH PEMERINTAH BAGI MENGUKUHKAN NEGERI MELAKA HINGGA DEKAD 1930-an.

POLITIK
Keperibadian dan Kebijaksanaan Pemerintah
Kemunculan negeri Melaka sebagai salah sebuah kuasa yang berjaya dari segi ekonomi dan kestabilan pentadbirannya, banyak di dokong oleh keperibadian dan kebijaksanaan golongan pemerintahnya. Pentarikhan Melaka mula di jadikan kerajaan oleh Parameswara atau Raja Iskandar Shah tidak dapat diperkatakan dengan tepat kerana ketiadaan sumber-sumber sejarah yang membolehkan kita berbuat demikian. Namun, kebanyakan ahli sejarawan pada kurun ini bersetuju mengatakan bahawa Melaka diasaskan pada penghujung kurun ke14. Menurut O.W. Wolters, Raja Iskandar Shah telah mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira 1399 atau 1400.[8] Parameswara adalah seorang yang berani serta bercita-cita tinggi. Perkara ini dapat dibuktikan sewaktu percubaan baginda untuk menjadi raja di Palembang dan Temasik, walaupun percubaannya gagal. Baginda adalah seorang yang berpandangan jauh sebagai seseorang pemerintah. Sedar akan pengeluaran hasil seperti tebu dan beras yang sedikit tidak mampu untuk menjadikan Melaka maju, baginda telah memerintahkan agar rakyatnya bercucuk tanam. Hasilnya, Melaka telah maju dan tersebar luas di Kepulauan Melayu. Baginda juga telah menyusun satu pasukan laut yang cekap untuk memberi perlindungan kepada pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Melaka, sehinggakan Melaka gemar didatangi oleh pelbagai pedagang dari China, India dan Arab kerana faktor keselamatannya lebih terjamin. Menurut O.W. Walters dan Profeser Wang Gungwu, mereka mendakwa bahawa Parameswara merupakan tokoh politik melayu yang amat istimewa, malah ketokohan dan kebolehannya tiada tolok bandingnnya di Nusantara.[9]
Kepimpinan yang bijaksana ini telah diteruskan oleh Sultan Megat Iskandar Syah, namun pemerintahan baginda berakhir apabila baginda mangkat selepas memerintah Melaka selama dua tahun. Dalam tempoh yang singkat ini, tidak banyak perubahan yang telah di lakukan oleh Sultan Megat Iskandar Syah kerana baginda hanya meneruskan tradisi kegemilangan pemerintahan daripada Parameswara atau Sultan Iskandar Syah. Namun selepas itu, Sultan Muhammad Syah mengambil alih pemerintahan Melaka pada 1424-1444, dan dikatakan baginda telah melaksanakan dasar perluasan dan penaklukan di sekitar kawasan Melaka. Ini amat berketepatan dengan petikan naskah Sejarah Melayu yang menyebut bahawa ;
“Maka diganti oleh Sultan Mahmud (tentunya Muhammad di sini) Syah. Baginda itu terlalu kuasa kerana waktu dia raja segala tempat-tempat yang dekat-dekat di situ dibawa(h) perintahnya...” [10]
Sultan Muahmmad Syah juga merupakan raja terakhir yang membuat lawatan berpanjangan kerana tiada angkatan laut yang rasmi untuk menghantar baginda balik ke Melaka. Hal ini menyebabkan beginda menyedari akan perubahaan dasar kerajaan China dan merasakan perlunya Melaka bertahan dengan cara sendiri dari serangan Siam dan musuh-musuh yang lain. Langkah awal baginda lakukan adalah menguatkan hak ke atas Beruas dan Terengganu, dua kawasan di sebelah Utara Semenanjung Tanah Melayu sebagai sempadan dengan Siam. Baginda juga telah mempeekemaskan lagi peraturan pelabuhan seperti cukai diturunkan, menyediakan pelbagai kemudahan seperti gudang, penginapan, makanan dan tempat memperbaiki kapal-kapal dagang bagi menarik pedagang asing singgah berdagang di Melaka. Strategi ini telah menyebabkan Melaka telah muncul sebagai pelabuhan entreport yang terpenting di Kepulauan Melayu.

Menjalankan Hubungan Diplomatik dengan Kuasa-kuasa Luar.
Melaka juga telah mengambil anisiatif dengan menjalankan hubungan diplomatik dengan kuasa luar dan besar dan salah satunya adalah China (1403-1433). Dalam aspek keselamatan, Melaka bernasib baik kerana telah mendapat perlindungan dariada negeri China. Hal ini kerana Melaka terpaksa mempersembahkan 40 tahil emas kepada Siam jika tidak Melaka akan diancam. Melaka pada masa itu belum lagi mempunyai kekuatan yang setaraf dengan Siam. Tindakan Siam tersebut juga adalah berikutan pembunuhan Temagi iaitu wakil pemerintah Siam di Singapura oleh Parameswara. Pada tahun 1403M, utusan China iaitu Laksamana Yin Cheng telah datang ke Melaka dan ini memberi peluang kepada parameswara untuk menangani masalah dengan Siam. Melaka melalui Parameswara berharap dapat menfaatkan pengaruh China yang merupakan Negara terkuat di Asia pada masa itu untuk membela kedaulatannya.[11] Perhubungan diantara Melaka dan China semakin utuh pada tahun 1405 selepas utusan rombongan kerajaan Melaka tiba di Ibu Negara China, di mana Maharaja Ming telah telah memberi pegiktirafan kepada Parameswara sebagai raja Melaka dan dianugerahi Cap Kempal, sepasang kain sutera berkerajaan dan paying berkerajaan.[12] Siam telah bertindak menyerang Melaka dan merebut Cap Kempanya, namun Maharaja Ming telah menghantar Zheng He Ke ke Siam untuk menghalang persengketaan Siam dan Melaka. Parameswara teah menghantar utusan ke China yang menyatakan tentang pencerobohan orang Siam terhadap Melaka pada tahun 1407 dan sehubungan dengan itu, Maharaja China telah memberi amaran kepada kerajaan Siam supaya tidak mengganggu Melaka lagi. Pada tahun 1409, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka dengan membawa dikri Maharaja China sebagai lambing menaikkan taraf Melaka menjadi sebuah kerajaan.[13]
Selain daripada itu juga, Melaka turut mengadakan hubungan diplomatik dengan pihak kerajaan Jawa bagi mengatasi masalah kekurangan bahan makanan. Pertambanhan bilangan penduduk yang ramai mendorong Sultan Mahkota Iskandar Syah untuk menghantar duta ke Jawa kerana hendak berbaik-baik dengan pemerintah Jawa yang baru iaitu Vikramarvaddhana (1389-1429). Melaka juga melakukan hubunga diplomatik dengan Pasai melalui kegiatan perdagangan. Salah satu sebab Parameswara membuat hubungan ini adalah untuk memperkenalkan Melaka kepada dunia luar bagi mengukuhkan kedudukan mereka di samping untuk mendapatkan barangan dagangan. Hubungan Melaka dengan Pasai juga terjalin melalui perkahwinan Sultan Megat Iskandar Syah dengan Puteri Raja Pasai. Melalui perkahwinan ini telah membawa kepada pengislaman beramai-ramai rakyat Melaka yang mengikut raja mereka memeluk Islam.

Membentuk sebuah Empayar dan Menakluki Kawasan-kawasan Sekitar.
            Perubahan dalam aspek perlaksanaan dasar China terhadap Asia Tenggara selepas 1433 telah memberikan kesan yang mendalam terhadap Melaka Sultan Muhammad Syah telah mencari alternatif selepas pengunduran China dari Asia Tenggara yang bermakna lenyapnya kuasa istimewa Melaka dibawa perlindungan politik dan ketenteraan China. Mengikut prinsip sosiopolitik China, hubungan tributari hanya dilakukan antara China dan negeri-negeri Asia Tenggara yang berdaulat sahaja. Ertinya hanya negeri yang dapat menunjukkan tauliahnya sebagai sebuah negeri yang merdeka dan bebas.[14] Hubungan ini membolehkan negeri-negeri ‘naungan’ membuat rayuan kepada China untuk mendapatkan perlindungan sekiranya diserang oleh negeri serantau yang lebih berkuasa. Melaka juga telah menakluk kawasan Aru, Rokan, Siak, Kampar, Inderagiri dan Tungkal yang merupakan kawasan di pantai Timur Sumatera. Kawasan ini membentuk bahagian Zon Barat dan dilengkapkan dengan Zon Bahagian Timur seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh Kepulauan Kecil menganjur sehingga ke Brunei untuk membentuk bahagian Selatan. Penaklukan ketiga-tiga zon ini membolehkan Melaka mengawal sepenuhnya kapal-kapal yang menggunakan Selat Melaka sebagai jalan perhubungan di antara Timur dengan Barat.

Sistem Pemerintahan Dan Pentadbiran dalam Negeri.
Kestabilan kerajaan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 juga disebabkan keadaan struktur pentadbiran dan politik yang sistematik. Bagi mengukuhkan lagi perjalanan pentadbiran ini, sistem perlembagaan telah diperkenalkan yang mana ianya diketuai oleh Sultan, Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Berenam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Sistem ini dipelopori oleh Sultan Muhammad Syah. Tulang belakang bagi sistem pentadbiran Melaka terdiri daripada Orang Besar Berempat iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Selain itu terdapat juga jawatan-jawatan lain yang menyokong ke arah pentadbiran yang lebih baik dan lancar di Melaka. Selain itu, jawatan lain seperti Datuk, Pemungut Cukai, Pegawai Pentadbiran, Jurutulis, Arkitek dan Saudagar turut diadakan dan ini menunjukkan terdapat sistem pentadbiran yang tersusun dan teratur di Melaka.
Pembesar terutama di Melaka adalah Bendahara yang juga dikenali sebagai Menteri Utama Melaka dan menjadi orang kedua terpenting selepas Sultan. Beliau juga boleh memberi arahan tanpa perintah daripada Sultan jika untuk kepentingan negara.[15] Malah apabila seseorang Sultan mangkat beliaulah yang bertanggungjawab menjaga alat-alat kebesaran diraja dan selepas tujuh hari menjemput Raja untuk ditabalkan. Antara gelaran-gelaran bagi bendahara ialah Paduka Raja, Paduka Tuan, Seri Maharaja, Seri Wak Raja dan Seri Amar Diraja. Pada zaman pemerintahan Parameswara, pentadbirannya dibantu oleh Bendahara, Tun Pepatih Besar dan Bendahara Seri Wak Raja.[16] Manakala semasa pemerintahan Seri Maharaja ataupun Sultan Muhammad Syah baginda telah dibantu oleh Bendahara Seri Amar Diraja.
Penghulu Bendahari pula bertangunggjawab ke atas Bendahari raja di negeri naungan. Beliau juga menyimpan daftar hamba raja, mengurus kelengkapan dalam istana, mengurus makanan, menjemput tetamu dan memegang kepala usungan di sebelah kanan apabila raja berangkat pada Hari Raya. Wilayah pegangan Bendahara ialah Sungai Ujong dan memegang gelaran Seri Nara Di Raja.
Temenggung pula di kenali sebagai Menteri Keselamatan dan bertanggungjawab melaksanakan peraturan dan keselamatan negeri terutamanya mengenai keselamatan. Sebagai Ketua Polis Negara, beliau boleh menangkap orang yang bersalah, memasung dan menghukum mereka. Dalam majlis adat istiadat istana, beliau bertugas sebagai ketua protokol dan mengatur tempat duduk mengikut pangkat masing-masing. Diantara gelaran temenggung adalah Seri Maharaja dan Setia Awadana. Dibawah jawatan temenggung terdapat dua jawatan tentera iaitu Hulubalang Besar dan Laksamana. Apabila raja berangkat dengan menaiki gajah, adalah menjadi tugas Temenggung mengepalai gajah itu.[17]


MEMELIHARA PENGIKUT ( ORANG  LAUT )
            Orang Laut sentiasa memberikan taat setia dan sokongan ketenteraan kepada pemerintah. Kerjasama yang erat antara pihak pemerintah dan Orang Laut telah berjaya mengatasi kegiatan lanun yang mengganas di sepanjang Selat Melaka. Apabila keselamatan terjamin, para pedagang bebas melakukan aktiviti perdagangan dengan Melaka. Tindakan Parameswara menjadikan Orang Laut sebagai sebahagian daripada institusi dan sistem kerajaan.[18] Orang Laut mengakui kedaulatan Parameswara dan akan melindungi keselamatannya. Manakala Parameswara pula melindungi kehormatan dan kebajikan mereka. Orang Laut dijadikan sebahagian besar daripada angkatan Laut Melaka dan merupakan sumber tenaga yang paling penting untuk menjaga keamanan di samping menggalakkan saudagar asing ke pelabuhannya.[19]

Memperkenalkan Undang-undang.
Bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan dalam kerajaan Melaka, pelbagai undang-undang telah diwujudkan. Ini termasuklah undang-undang awam dan jenayahnya sendiri yang didasarkan undang-undang syriah dan juga undang-undang adat. Terdapat dua undang-undang utama di Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka yang juga di kenali sebagai Undang-undang Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun meliputi semua tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk Melaka. Satu lagi ialah Undang-undang Laut Melaka yang juga dikenali sebagai Adat Pelayaran Melaka, Kitab Peraturan Pelayaran dan Hukum Undang-undang Laut. Undang-undang ini meliputi perusahaan perkapalan, jual beli di atas kapal, peraturan pelayaran bidang kuasa nakhoda dan tanggungjawab pelbagai pegawai kapal seperti Kiwi, Maula kiwi, Malim, dan sebagainya. Selain itu juga, turut diwujudkan adalah Undang-undang Pebian yang mengandungi hal-ehwal peraturan dan sistem perkastaman, cukai, tanggungjawab dan kuasa Syahbandar Melaka dan banyak lagi.

EKONOMI
Perkembangan Perdagangan di Melaka.
            Setelah 3 tahun Melaka dibuka oleh Parameswara, penduduk Melaka yang berasaskan perikanan hanya berjumlah kira-kira seribu orang dan telah meningkat berkali ganda kepada hampir 6000 orang. Ini ditambah pula dengan kepesatan Melaka sebagai pusat perdagangan yang menjalankan pelbagai perdagangan barangan enterport seperti buah Pala, kain, batik, hamparan, bulu burung, cengkih, kayu dan cendana. Melihat kepada kepesatan ini, pihak pentadbir Melaka telah menyediakan pelbagai kemudahan dengan tujuan untuk menarik minat lebih banyak lagi kapal dagang berdagang di Melaka. Kapal-kapal dagangan ini akan di kenakan cukai 6 peratus dan perahu peribumi hanya 3 peratus. Melaka juga terkenal dengan pusat pelabuhan yang mementingkan keselamatan, pentadbiran yang teratur, dan cekap dalam mengendalikan pasar kosmopolitan. Menurut laporan China; Peraturan dan peruntukan kemudahan yang baik seperti gudang berkunci ada pengawal dan ada loceng untuk memberitahu jika ada kecemasan atau kekecohan. Apabila bersama dengan wakil-wakil perdagangan antara negara yang datang berdagang, raja menyediakan pasukan pengawal dengan hebatnya demi menjaga keamanan, kayu diikat dan menempakan keempat-empat pintu. Pada waktu malam ada orang mengawal.

MENAKLUKI HASIL BUMI JAJAHAN TAKLUK.
            Melaka mengeksport bijih timah yang telah dicair dan dijadikan kepingan jongkong. Selain bijih timah yang diperoleh secara melombong di kawasan pedalaman, Melaka juga mengumpul bijih timah dari kawasan yang menjadi jajahan takluk seperti Kelang, Selangor, Bernam, Manjung, Beruas dan Kedah. Tujuan penguasaan dan penaklukan hasil bumi jajahan takluk adalah untuk memperkembang kegiatan perdagangan dan ekonomi Melaka. Contoh : Penguasaan terhadap Siak bermakna Melaka boleh mengawal pengeluaran emasnya untuk di bawa ke Melaka bagi tujuan bahan perdagangan dengan saudagar asing. Penaklukan terhadap Kampar pula penting untuk mengawal eksport lada dan emas yang dikeluarkan oleh daerah-daerah pedalaman Minangkabau.[20] Manakala penguasaan Melaka ke atas Riau-Lingga pula mempunyai matlamat perdagangan secara tidak langsung, iaitu supaya bahan-bahan keluarannya dapat dieksport ke Melaka di samping dapat membekalkan kepada Orang Laut sebagai pendayung kapal perang tentera laut Melaka untuk tujuan penaklukan.[21]
            Melaka di beri jaminan oleh jajahan takluknya dari segi keselamatan pelayaran melalui Selat Melaka, mata wang untuk urusniaga, pelaut untuk perkapalan, askar bagi keselamatnnya dan bekalan makanan untuk penduduknya.[22] Dengan menguasai hasil bumi jajahan takluknya membolahkan pemimpim Melaka menubuhkan kuasa politik dan pentadbiran istana terhadap golongan pembesar Melaka, dan membina empayar Melaka melalui kuasa tentera serta memperkukuhkan pengaruh politik Melaka.

SOSIAL
MEMPERKENALKAN KONSEP DAULAT DAN DERHAKA.
            Konsep ini bermula apabila berlangsungnya persetiaan antara Demang Lebar Daun dan Seri teri Buana di Palembang.[23] Ia meletakkan raja sebagai sesuatu yang agung dan wajib dihormati. Manakala rakyat pula tidak boleh dizalimi oleh raja. Raja dikatakan mempinyai beberapa sifat mulia dan luarbiasa yang biasanya ada kaitan dengan kedaulatannya. Menurut Zainal Abidin Abdul Wahid:
' Daulat boleh diertikan sebagai severeignity'. Kedaulatan seseorang raja melayu itu bukanlah semata-mata suatu konsep undang-undang, tetapi mencakupi agama dan budaya. Daulat itu memeberikan kepadanya banyak hak dan keistimewaan. Meletakkkanya dalam masyarakat tanpa boleh dicela atau dikritik. Daulat itu juga menuntut taat setia yang tidak boleh  di persoalkan lagi daripada rakyatnya'.[24]
Daulat yang ada pada raja meliputi peribadi dan tubuh raja bukan kawasan pemerintahannya. Daulat juga dihubungkan dengan karisma raja dan 'tuah' yang dimiliki oelh raja. Raja akan dianggap bertuah dan tinggi daulatnya  apabial keadaan negeri menjadi aman dan makmur dan kaya raya: perdagangan yang pesat, tanam-tanaman yang tumbuh subur serta hasil ternakan yang membiak dan rakyat yang bertambah ramai.[25]
Manakala konsep dehaka pula ialah kesetiaan rakyat kepada pemerintah dimana jika rakyat melanggar atau ingkar pada arahan sultan maka dia akan di timpa tulah raja. Samada dalam bentuk sumpahan atau hidup mmelarat atau merana sepanjang hayat.[26]
Ini menunjukkan berlaku proses timbal balik antara raja dan rakyat dimana kedua-duanya saling memerlukan untuk membentuk sebuah pemerintahan yang aman dan harmoni, seterusnya menjadikan Melaka empayar yang unggul. Tanpa seorang raja yang berdaulat, tiadalah negara. Dalam keadaan begitu rakyat terpaksa hidup dalam keadaan yang berpecah belah dan amat primitif sekali.[27]

Mewujudkan Sistem Adat Kebesaran Di Melaka.
            Bagi mengukuhkan lagi kedaulatan diraja, Sultan Muhammad Syah telah menjalankan beberapa pembaharuan dengan mengadakan adat istiadat yang berpandukan kemegahan Kerajaan Srivijaya yang adat ini bercampur dengan Hindu, Melayu Asli dan Islam. Ia adalah adat (undang-undang diraja) dan istiadat (aturan negeri dan perlaksanaan upacara) Melayu berasal dari Palembang.[28] Adat dan istiadat ini dibawa bersama ketika Parameswara melarikan diri dari Palembang. Sistem adat ini mencerminkan bahawa Kesultanan Melayu Melaka mempunyai tahap kewibawaan yang tinggi berbanding pemerintah di negeri yang lain.[29] Diantara kebesaran yang di gunakan ialah seperti pakaian diraja iaitu menggunakan kain Melayu nipis warna putih, lilitan kepala, baju kain hijau nipis.[30] Adat menyambut dan menghantar utusan dari sebuah negeri juga diwujudkan. Sebelum sesuatu utusan dari negeri lain hendak menghadap raja akan masuk ke balai penghadapan dengan membawa cepar dan kerikal. Kemudian cepar ini akan di letakkan dihadapan Bendahara oleh Kepala Bentara Kanan dan diserahkan kepada orang-orang yang membawa surat sebagai utusan dari negeri lain. Adat memakai payung juga diberikan dimana payung putih untuk raja dan payung kuning untuk anak raja. Implikasi daripada peraturan dan adat-adat yang dikenakan dapat mengangkat lagi darjat seseorang pemerintah dan tiada sesiapa pun yang boleh disamakan dengan raja.

Pengaruh Kemasukan Agama Islam
            Sultan Mahkota Iskandar Syah telah berkahwin dengan puteri Raja Islam dari Pasai pada tahun 1414 dan oleh dengan itu baginda telah memeluk islam seperti yang telah disyaratkan oleh Raja Pasai apabila Sultan Melaka meminta para pedagangnya berniaga di Melaka.[31] Semasa pemerintahan Seri Maharaja, baginda telah di Islamkan oleh Sayyid Abdul Aziz dari Jeddah dan memakai gelaran baru iaitu Sultan Muhammad Syah. Pengislaman raja ini telah banyak mempengaruhi kepada kemunculan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam terpenting di kepulauan Melayu. Ini ditambah lagi dengan kemerosotan Kerajaan Majapahit telah menyebabkan beberapa buah negeri di Asia Tenggara melepaskan diri dari pengawalannya dan bersekutu dengan negeri-negeri Islam yang baru termasuklah kerajaan Melaka. Kemasukan Islam ke Melaka telah berjaya menarik ramai pedagang Islam berdagang di Melaka dan perkara ini sangat menguntungkan dari segi ekonomi. Kapal-kapal yang datang dari segenap penjuru seperti Gujerat, Telok Iran, Arab, Laut Merah, Jawa, China, Mesir, Afrika Timur dan banyak lagi.

Kesimpulan.
Kejayaan dan kemajuan Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu yang berjaya
banyak didokong oleh keupayaan pemerintahnya. Bermula dengan pengasasan Kesultanan Melayu Melaka oleh Parameswara berjaya mengukuhkan kedudukan negeri Melaka sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Tidak dapat dinafikan juga bahawa corak dan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Parameswara telah memberi impak yang besar kepada tampuk pemerintahan raja-raja zaman seterusnya. Pada ketika itu, jatuh atau bangun sebuah negara adalah dipengaruhi oleh  tahap kewibawaan dan kebijaksanaan seseorang pemerintah di samping dengan bantuan para pembesarnya. Melaka telah mengalami zaman pengukuhan dan zaman kegemilangan sehingga awal kurun ke 15 yang mana pada akhirnya terpaksa menempuh  zaman kejatuhannya setelah ditawan oleh Portugis pada tahun 1511.











Bibliografi

Bahasa Othman. 1989. Melaka Sejarah Awal Negara Kita. Shah Alam: Marwilis
 Publisher & Distribute Sdn Bhd.

Ismail Hussien, A Aziz Deraman dan Abd. Rahman Al-Ahmadi. 1993. Tamadun Melayu
jilid satu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kang Yuanzhi, 2002. Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu. Bangi : Universiti
Kebangsaan Malaysia..

Malaysia Kita, 1991. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Kuala Lumpur
Kobkua Suwannathat~Pian, 2003. Asia Tenggara Hubungan Tradisional Serantau. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim, 1990. Kesulatanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek
tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Kuala
 Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahmat Saripan. 1983. Dokumentasi Seminar Sejarah Melaka. Melaka Marathon
Engriving

Tan Ding Eng. 1975. Sejarah Malaysia dan Singapura. Kuala Lumpur. Siri Sejarah Fajar
Bakti.

Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Khoo Kay Kim, Muhd. Yusof bin Ibrahim, Nik Hassan
Shuhaimi bin Nik Abdula Rahman dan Mohd. Amin bin Hassan, 1992. Malaysia,
Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



[1] Tan Ding Eng. 1975. Sejarah Malaysia dan Singapura. Kuala Lumpur. Siri Sejarah Fajar Bakti. Hal. 1
[2] Rahmat Saripan. 1983. Dokumentasi Seminar Sejarah Melaka. Melaka Marathon Engriving. Hal 19
[3] Muhammad Yusoff Hashim. 1990. Kesultanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka
   pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.
  139.                                                                                                                                                                                               
[4] Ismail Hussien, A Aziz Deraman dan Abd. Rahman Al-Ahmadi. 1993. Tamadun Melayu jilid satu. Kuala Lumpur:  
  Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 191
[5] W.G Shellabear. (ed) di petik dari Muhammad Yusuff Hashim. op. cit hal. 148
[6] Bahasa Othman. 1989. Melaka Sejarah Awal Negara Kita. Shah Alam: Marwilis publisher & Distribute
   Sdn Bhd. hal 17
[7] Muhammad Yusoff Hashim, loc. cit. hal. 148.
[8] Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Khoo Kay Kim, Muhd. Yusof bin Ibrahim, Nik Hassan Shuhaimi bin
  Nik Abdula Rahman dan Mohd. Amin bin Hassan, 1992. Malaysia, Warisan dan Perkembangan. Kuala
  Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 15.
[9] Muhammad Yusoff Hashim, 1990. Kesulatanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka
   pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Op. Cit., hlm137.
[10] Ibid, hlm 100.
[11] Kang Yuanzhi, 2002. Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia,
     hlm 64.
[12] Ibid, hlm 65.
[13] Tan Ding Eing, 1975. Sejarah Malaysia dan Singapura. Op. Cit., hlm 3.
[14] Kobkua Suwannathat~Pian, 2003. Asia Tenggara Hubungan Tradisional Serantau. Kuala Lumpur :
   Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 85.
[15] Malaysia Kita, 1991. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Kuala Lumpur, hlm 121.
[16]Mohd Jamil Mukmin, 1994. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Kuala Lumpur : Nurin 
   Enterprise, hlm 66.
[17]Shellabear, W.G.,1903.  Sejarah Melayu, American Mission, Singapura, (edisi kedua), hlm 129. Juga  
   boleh lihat Haron Daud., 1989. Sejarah Melayu satu kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Kuala
   Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 117.
[18] ibid. hal. 145.
[19]ibid. hal. 46                                                               
[20] Muhammad Yusoff Hashim, op. cit., hal. 244.
[21] Ramlah Adam, loc. cit.
[22] Ismail Hussien, A. Aziz Deraman dan Abd. Rahman Al-Ahmadi, op. cit., hal. 148
[23] Haron Daud. 1989. Sejarah Melayu. Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 153
[24] Zainal Abidin Abdul Wahid 1966. Sejarah Melayu. hal.208-9. ibid. hal. 94.
[25] Muhammad Yusoff Hashim, op. cit., hal. 152
[26] ibid. hal. 154.
[27] Kobkua Suwannathat ~ Pia. 2003. Asia Tenggara. Hubungan Tradisional Serantau. Kuala Lumpur:
    Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 29.
[28] Ismail Hussein, A. Aziz Deraman dan Abdul Rahman Al-Ahmadi. Op. Cit.,  hlm 73.
[29] Wan Shamsudin, 1964. Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya 1400-1967.Singapura : MPH Printing dan
    Supply Sdn. Bhd, hlm 6.
[30] Ismail Hussein, A. Aziz Deraman dan Abdul Rahman Al-Ahmadi., op. cit., hlm 75.
[31] Tan Ding Eing, 1975. Sejarah Malaysia dan Singapura. Op. cit., hlm 5

Ulasan

Catatan Popular