benerdit anderson: adakah sejarah siam itu unik



1.0 PENGENALAN
            Zaman pemerintahan Siam telah bermula berabad-abad yang lalu di bawah pemerintahann raja-rajanya. Pemerintahan di Siam bermula dengan kenaikan takhta Rama I pada 6 April 1782, disusuli dengan keturunan baginda yang berikutnya. Sejak daripada pemerintahan Rama I lagi, raja-raja Siam telah menampakkan usaha yang tinggi dalam melaksanakan rancangan pemulihan. Rancangan pemulihan oleh raja-raja Siam berterusan sehinggalah kepada pemulihan dan pemodenan Siam yang dilihat sebagai pemulihan yang lebih moden. Pemodenan ini dilakukan pada zaman pemerintahan Raja Mongkut (Rama IV) dan anaknya, Raja Chulalongkorn (Rama V) dengan tujuan untuk menyelamatkan negara Siam daripada penjajahan Barat.[1] Ramai yang menanggap Siam telah berjaya mengekalkan kedaulatan negerinya daripada cengkaman penjajahan Barat dan kejayaan ini sangat dipandang tinggi kerana Siam adalah salah satu negera yang mampu mencapai kejayaan unggul ini di rantau Asia Tenggara. Pemodenan yang dijalankan oleh Raja Chulalongkorn ini dianggap sebagai sesuatu yang unik oleh kebanyakan ahli sejarah. Namun begitu, dalam kebanyakan ahli sejarah tersebut, terdapat seorang ahli sejarah terkenal yang berasal dari Universiti Cornell, iaitu Benedict Anderson, yang mempertikaikan tentang keunikan sejarah Thai. Pertikaian ini telah dibahaskan dalam karyanya, iaitu “Studies of the Thai state: The state of Thai Studies”. Menurut beliau, tiada sebarang keunikan dalam sejarah Siam abad ke-19, malahan Rama V, iaitu Raja Chulalongkorn hanya layak dibandingkan dengan Muhammad IV dari Kelantan dan Maharaja Abu Bakar di Johor.


2.0 ISU PERBINCANGAN
2.1 Rancangan Pemulihan dan Pemodenan yang Dilakukan oleh Raja Chulalongkorn (Rama V) antara Tempoh 1873-1910
            Ramai ahli sejarah melihat kejayaan Rama V ini sangat unik sehinggakan sangat dihargai oleh masyarakat sezaman dengan baginda pada waktu itu. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pemulihan yang dilancarkan oleh Rama V lebih bertujuaan untuk meningkatkan kedudukan institusi raja dan kuasa baginda sendiri. Buktinya, dalam melancarkan pemulihan kecil dan pemulihan lengkap, Rama V lebih banyak menumpukan perhatian pada merampas semula kuasa pentadbiran daripada golongan khunnang, iaitu golongan bangsawan yang telah berkuasa secara tidak langsung sewaktu baginda masih di usia muda. Oleh itu, selepas meningkat usia 20 tahun, Rama V cuba melaksanakan pemulihan dengan bersandarkan kepada dua objektif utama, iaitu untuk mendapatkan semula kuasa, pengaruh, dan penghormatan yang patut kepada institusi raja, serta untuk berjuang menyelamatkan kedaulatan dan keselamatan Siam yang menghadapi ancaman hebat dari kuasa-kuasa Barat.[2] Semasa pemulihan kecil, iaitu antara tempoh tahun 1873-1875, baginda telah menubuhkan beberapa pertubuhan baru seperti Majlis Privi dan Majlis Kebangsaan, Pasukan Biduanda Diraja, serta Jabatan Pemeriksa Kira-Kira untuk membantu baginda melancarkan rancangan pemulihan dan pemodenan.
Rama V meneruskan semula usaha pemodenannya dengan rancangan pemulihan lengkap, iaitu pada tempoh 1880-an sehingga 1910. Rama V telah mengubah aspek yang paling penting dalam pemodenannya, iaitu mengubah sistem pentadbiran tradisional senobadi Jatusadom kepada sistem kabinet dan thesaphiban.[3] Di ibu kota, Rama V ini telah memperkenalkan sistem pentadbiran pusat yang dikenali sebagai sistem thesaphiban di wilayah pada tahun 1892. Tanpa sistem pentadbirannya yang cekap ini, Siam pastinya tidak mampu menentang cabaran kuasa Barat yang disebabkan oleh kelemahan kuasanya ke atas wilayah-wilayah. Memang tidak dapat dinafikan rancangan pemodenan oleh Chulalongkorn ini dilakukan atas kebijaksanaan baginda pada masa itu, namun begitu kebanyakan pemulihan tersebut tidaklah begitu unik jika dibandingkan dengan kuasa besar lain seperti Jepun dan Belanda. Segala keunikan yang dibanggakan oleh ahli sejarah terdahulu telah pun dipertikaikan oleh seorang ahli sejarah, iaitu Benedict Anderson. Beliau telah menghuraikan dengan lebih jelas mengenai perdebatan ini dalam karyanya, iaitu “Studies of the Thai state: The state of Thai Studies”.








2.2 Pandangan Benedict Anderson mengenai Sejarah Siam Abad ke-19 dan Abad ke-20
Benedict Anderson merupakan seorang profesor dari Universiti Cornell. Dalam karyanya iaitu “Studies of the Thai state: The state of Thai Studies”, beliau telah membahaskan tentang pemulihan serta pemodenan yang dilakukan oleh raja-raja Thai, terutamanya oleh Raja Chulalongkorn atau lebih dikenali sebagai Rama V. Pada bahagian awal dalam karyanya itu, Anderson telah mengemukakan pandangannya terhadap pengkajian sejarah Siam. Salah satunya menurut beliau, terdapat pengkaji Asia Tenggara masing-masing cuba untuk mencari dan membuat perbandingan tentang keunikan negara yang dikajinya. Siam yang dikatakan sebagai sebuah negara yang tidak pernah dijajah, telah dianggap sebagai ipso facto unique, iaitu membawa maksud fakta yang sangat unik.[4] Keunikan ini dibanggakan oleh kebanyakan orang, termasuk juga oleh ahli sejarah sendiri tanpa dikaji dengan lebih terperinci terlebih dahulu ‘keunikan’ yang dimaksudkan itu.
Pada saat semua pengkaji giat berusaha untuk menonjolkan keunikan tentang Burma, Indonesia, atau Vietnam, pakar pengkaji Thai turut melakukannya dan menyatakan keunikan Thai dengan mengemukakan pandangan masing-masing. Maka dari situ telah timbul satu prinsip atau kenyataan yang tetap tentang negara Thai moden yang disepakati dalam kalangan sarjana. Sehingga kini prinsip ini masih dianggap sebagai fakta benar oleh orang ramai, terutama kepada mereka yang tidak mengkaji dengan lebih mendalam tentang sejarah Thai. Anderson telah menyenaraikan prinsip unik berkenaan, antaranya ialah, Siam tidak dijajah oleh mana-mana kuasa. Fakta ini memberi tanda bahawa Siam sebagai sebuah negara yang unik pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 dalam sejarah Asia Tenggara. Kedua, Siam  adalah negara moden pertama yang merdeka di Asia Tenggara. Selain itu, Dinasti Chakri juga dikatakan memainkan peranan dalam sejarah Siam sebagai memodenkan dan menyatukan negara Siam. Yang terakhir ialah, fakta mengenai kejayaan Siam adalah disebabkan kestabilan kehidupan masyarakat Thai dan juga kerana pemimpin yang patriotik.[5]
Berdasarkan empat prinsip ini yang dipegang oleh kebanyakan ahli sejarah, Anderson telah membahaskannya dengan mengemukakan dua perbandingan dan persoalan yang munasabah, iaitu dalam prinsip 3 & 4, adakah peranan sejarah dinasti Chakri difahami sebagai analogi atau persamaan dengan pemimpin nasionalis di lain-lain negara di Asia Tenggara, bermula dengan generasi Rizal di Filipina? Adakah mereka memahami apa itu patriot nasionalis? Manakala dalam prinsip 1 & 2 pula, Anderson mempersoalkan adakah layak pada asasnya sejarah negara Siam dibandingkan dengan Jepun, iaitu sebuah kuasa yang hebat pada abad tersebut? Bagi menjawab dan menjelaskan persoalan tersebut, Anderson telah memberi pandangannya sendiri bahawa sebenarnya pemerintah monarki Thai ketika itu telah melakukan beberapa adaptasi budaya dan pengaruh barat ke dalam budaya sedia ada. Tujuan adaptasi budaya ini adalah supaya Siam dapat lari daripada penjajahan dan seterusnya dapat memodenkan masyarakat yang tradisional.
Anologi ini juga telah diterima oleh Jacobs dalam karya Modernization without Development (1971) dengan menyatakan bahawa dalam mempelajari pembangunan Siam, terdapat persamaan yang besar antara pembaharuan Siam dan Jepun sepanjang petengahan abad ke-19. Pada waktu itu, berlaku cabaran dalam pembangunan moden yang diwujudkan oleh kedua-dua kerajaan ini. Walaupun kedua-dua kerajaan ini mempunyai persamaan dalam pemodenan yang dijalankan oleh pemerintah masing-masing, akan tetapi akhirnya Jepun lebih membangun dan berjaya dalam pemodenan yang dirancang manakala Siam pula adalah sebaliknya. Pernyataan oleh Jacobs ini selari dengan pendapat Anderson, iaitu perbandingan sejarah Siam dengan negara Jepun semasa pemerintahan Maharaja Meiji adalah tidak sepadan, sebaliknya pemodenan Siam itu lebih releven dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan seperti Brunei, Jawa, negeri-negeri di Tanah Melayu dan dengan pemerintahan moden kolonial di Asia Tenggara.[6]
Berdasarkan penerangan ini, Benedict berpendapat bahawa sarjana yang mengkaji tentang Thai sebenarnya tidak menguasai dan memahami sepenuhnya kedua-dua analogi tadi sehingga membuatkan ianya sukar untuk dibahaskan. Oleh itu, Aderson telah mengemukakan beberapa hipotesis yang menarik dan bertentangan sama sekali dengan prinsip terdahulu. Menurut beliau, Siam sememangnya tidak dijajah secara terus, tetapi sebenarnya dijajah secara tidak langsung oleh kuasa luar. Siam juga sebenarnya merupakan negara terakhir sekali yang merdeka di Asia Tenggara, dan dinasti Chakri yang dikatakan berperanan memodenkan Siam sebenarnya hanya memodenkan beberapa perkara yang dimodenkan oleh gabenor pemerintahan kolonial yang ada pada zaman itu. Hipotesis yang terakhir ialah, sama ada Siam dikatakan berjaya atau gagal, ianya merupakan kesan daripada imperialisme Eropah di Asia Tenggara. Pemerintah Thai jika dibuat perbandingan secara rigid, dan kehidupan atau suasana politik Thai (sejak 1930-an) adalah tidak stabil sebenarnya. Oleh itu, berdasarkan kepada hipotesis ini, Anderson menegaskan bahawa sejarah Siam ini tidak mempunyai sebarang keunikan, seperti yang dibanggakan oleh ahli sejarah sebelum ini. Pemodenan Thai pada abad ke-19 hingga abad ke-20 juga dikatakan tiada sebarang keunikan. Pemulihan oleh Rama V ini tidak selayaknya dibandingkan dengan negara Jepun yang jauh lebih unik pemodenannya oleh Maharaja Meiji. Pembaharuan yang dilakukan oleh Chulalongkorn lebih kurang sama dengan polisi baru pemerintahan kolonial misalnya Belanda di Indonesia serta British di Burma, dan bukan seperti pembaharuan yang dilakukan oleh Meiji.[7]
            Anderson ada mempertikaikan perbandingan pemodenan Siam dengan pemodenan Jepun di dalam karyanya itu. Pada pandangan beliau, tidak akan ada orang yang dapat memahami keadaan politik moden tentera Thai yang sebenarnya tanpa memahami dengan jelas terlebih dahulu tentang asal-usul sejarah Thai. Anderson telah membuat perbandingan antara ketenteraan Siam dengan ketenteraan Jepun yang hebat. Ketenteraan Meiji mula berkuasa pada tahun 1868 melalui rampasan kuasa. Jepun telah menggunakan persamaan organisasi ketenteraan Barat, dan taktik serta senjata mereka telah berjaya mengalahkan tentera laut Bakufu. Kerajaan baru Jepun segera mewujudkan pemerintahan ditaktor ketenteraan atas nama pemulihan maharaja Jepun. Meiji telah membubarkan sistem ketenteraan yang feudal dan pada 1972 sebuah sekolah pendidikan yang dikhaskan untuk ketenteraan bagi membangunkan generasi mereka telah didirikan. Pembaharuan ini membuktikan kehebatan Jepun pada masa itu sehingga berjaya dalam peperangan dengan China dan Rusia.
Berbeza pula dengan keadaan ketenteraan di Siam, iaitu semasa kenaikan takhta Raja Chulalongkorn sewaktu berlaku rampasan kuasa ketenteraan Meiji di Jepun. Kementerian peperangan Thai belum ditubuhkan lagi sehinggalah pada tahun 1894, iaitu tahun sebelum peperangan Jepun-Sino. Pengerahan tentera juga masih belum diwujudkan lagi sehingga tahun 1905, di mana tempoh ini agak lewat berbanding dengan Jepun. Di samping itu juga, tiada perhubungan yang dibuat antara pembangunan pendidikan dengan ketenteraan seperti yang dilakukan oleh Meiji. Malahan, pengwajiban pendidikan awal kepada masyarakat Siam tidak dilakukan secara rasmi sehinggalah kepada pemerintahan Rama VI. Perbezaan keadaan ini boleh dilihat pada awal abad ke-20 di mana pada waktu itu, hampir keseluruhan kanak-kanak Jepun memasuki sekolah rendah dan sekolah menegah, manakala pengajian tinggi telah dikendalikan dengan sebaiknya oleh kerajaan Jepun. Namun sebaliknya berlaku di negara Thai pada tahun 1957, iaitu hanya separuh daripada penduduknya berjaya menamatkan pendidikan rendah. Pada akhir tahun 1974, purata bilangan murid warga Thai yang menamatkan pendidikan sekolah adalah 5.56 peratus sahaja. Tahap pengajian tinggi antara kedua-dua negara ini juga boleh dilihat pada penubuhan Chulalongkorn University yang merupakan universiti pertama di Siam dan ditubuhkan sepenuhnya oleh kerajaan Thai pada tahun 1917, iaitu perbezaan empat dekad selepas penubuhan Imperial University di Tokyo.[8]
Menurut Anderson juga, antara tempoh 1840-1940  negara Thai telah berhenti melibatkan diri dalam peperangan. Hal ini demikian kerana, sebelum penjajahan Perancis dan British yang berlaku antara 1885 dan 1909, keselamatan luar negara monarki Thai telah diberi jaminan oleh kuasa-kuasa luar empayar Eropah. Berdasarkan keadaan ini, istilah “ketenteraan Thai” pada dasarnya adalah ketinggalan zaman kerana tidak pernah dibawa bertempur menghadapi ancaman luar. Battye (1974) telah membuktikan bahawa unit tentera yang berkhidmat kepada pemerintahan Jakri pada abad ke-19 kebanyakannya dianggotai oleh orang Vietnam, Khmer, Mon, dan Lao. Mereka ini datangnya daripada tawanan perang, pendatang, dan pengembara yang menawarkan khidmat kepada raja. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Siam lebih ramai yang meanggotai unit ini, berbanding dengan orang Siam sendiri. Tentera darat dan tentera laut Thai moden ini tidak mempunyai fungsi pertahanan luaran yang sebenarnya, dan hampir tidak berfungsi kecuali untuk pertahanan dalam negeri sahaja dan keadaan ini berbeza dengan Jepun. Anderson menanggap angkatan tentera Thai hanya kelihatan sebagai satu cara untuk penyatuan dalaman sistem kerajaan dan hanya menjadi lambang kemodenan untuk dimegahkan ke seluruh dunia. Menurut Batson (1977), angkatan tentera Siam dilihat sebagai terlalu besar untuk tujuan mengekalkan pemerintahan dalaman, dan kelihatan terlalu kecil sekiranya berlaku konflik dengan kuasa Eropah. Hal ini demikian kerana tentera Thai dibentuk bukanlah bertujuan untuk berperang tetapi sebaliknya untuk menunjuk-nunjuk sahaja.[9] Berdasarkan fakta ini, maka Anderson beranggapan bahawa kehebatan tentera Siam pra-1840 hanya layak dibandingkan dengan negara Asia Tenggara selepas tahun 1940.
Pentadbiran dan pemerintahan Siam dan Jepun juga menunjukkan perbezaan dan tidak layak diperbandingkan. Semasa rampasan kuasa pada 1932, di Thailand telah terdapat perbezaaan ketara dalam perbandingan antara pemerintahan Meiji Jepun dan Siam Jakri. Pada tahun 1932 tidak pernah berlaku di Jepun, iaitu tentera Jepun pada zaman moden itu tidak pernah berpaling dan menentang pemerintahan beraja Jepun. Hal ini demikian kerana, pemerintah di Jepun kekal sebagai objek dan bukannya sebagai subjek politik. Oleh itu, apabila raja menjadi objek utama dalam pemerintahan, maka ramai yang akan mempertahankan raja dari sebarang ancaman dan akan terus menumpahkan taat setia yang sepenuhnya kepada raja. Namun di Siam, Dinasti Jakri sama seperti negara Asia Tenggara yang lain pada abad ke-19 di mana pemerintah memainkan peranan sebagai subjek berbanding dengan peranan objek. Keadaan ini menyebabkan ketenteraan Siam kekal mundur dan sempit berbanding dengan Jepun. Kita juga boleh mengambil satu fakta perbandingan yang penting, iaitu sistem penggantian raja di Jepun berada dalam keadaan aman kerana raja Jepun berperanan sebagai simbol. Sebaliknya di Siam pula pemilihan pemerintah akan mengalami campur tangan oleh pihak Eropah. Hal ini kelihatan sama dengan pemerintahan negara Asia Tenggara yang lain, contohnya seperti di Tanah Melayu.
Kerajaan Siam juga turut membuat pembaharuan dalam ekonomi dengan menggunakan buruh Cina dalam kegiatan ekonominya. Menurut Anderson, dasar imagrasi orang Cina difahami sebagai kepentingan kepada sesebuah dinasti dan bukannya untuk keperluan negara. Imigrasi ini bertujuan untuk menstabilkan kuasa dinasti dalam tempoh jangka pendek, namun malangnya keadaan ini akhirnya memberi kesan ketidaksatabilan dan perpecahan dalam masyarakat Thai untuk jangka masa yang panjang. Dasar imagrasi yang dijalankan oleh pemerintah Thai ini lebih kurang sama dengan yang dilakukan oleh British dan Belanda, serta Sultan Perak dan Sultan Johor semasa pemerintahan di Indonesia dan Tanah Melayu.[10] Anderson tidak menafikan bahawa keadaan ini memberi perkembangan dalam ekonomi Thai selepas Perjanjian Bowring 1855 sehinggakan permintaan meningkat untuk penggunaan buruh Cina dalam kerja-kerja pertukangan. Imagrasi Cina memberi kepentingan yang besar dalam menentukan keperluan tenaga kerja untuk pemerintah. Penyediaan dana untuk membayar upah mereka telah digunakan untuk menggalakkan mereka bekerja dalam pelbagai tugasan.
Tambahan pula, menurut Skinner (1957), kaedah memberi upah buruh ini telah diiktiraf sebagai lebih efisyen berbanding dengan kaedah kerahan. Penggunaan buruh Cina digunakan secara meluas dalam pembinaan terusan, landasan kereta api, perlombongan bijih timah, pemunggahan barangan, dan pelabuhan komersial. Sistem pembayaran upah buruh Cina menunjukkan bahawa pemerintah Jakri dengan bijaknya mewujudkan penstrukturan baru untuk buruh Cina. Antaranya ialah, cukai kepala perlu dibayar dengan kadar yang rendah bagi menggalakkan orang Cina terus menetap di Siam. Aktiviti ketagihan candu, perjudian, pelacuran, dan meminum arak terus digalakkan dalam komuniti migrasi ini bagi memastikan buruh Cina menghabiskan bayaran upah mereka dengan banyak di Siam berbanding untuk dihantar kepada keluarga mereka di China.[11] Menurut Skinner, sistem pajakan candu dalam kalangan masyarakat dihapuskan pada 1908 dan sebaliknya telah menjadi kawalan monopoli negara. Situasi ini mempunyai persamaan dengan kerajaan kolonial British di Tanah Melayu, di mana mereka mengelak membayar cukai perusahaan British dengan meningkatkan pemajakan candu terhadap komuniti China. Kaedah ini turut digunakan oleh kerajaan kolonial Belanda di India. Jelas bahawa cara yang digunakan oleh kerajaan Siam bukanlah sesuatu yang baru kerana ia terlebih dahulu pernah dipraktikkan oleh kerajaan kolonial yang lain.


3.0 ANALISIS
            Pada pandangan saya, pemodenan oleh Rama V ini jika dikaji dengan lebih mendalam sebenarnya tidak mempunyai sebarang keunikan, sama seperti yang ditegaskan oleh Benedict Anderson dalam karyanya, iaitu “Studies of the Thai state: The state of Thai Studies”. Sebagai contoh dalam bidang ketenteraan, Rama V telah melatih angkatan tentera Pasukan Biduanda Diraja Krom Mahalek Luang dengan mengikut cara tentera Barat, dan bukannya mengikut cara baginda sendiri. Dalam karyanya, Anderson juga ada menyatakan bahawa penubuhan anggota tentera Siam lebih banyak diguna untuk mempertahankan keadaan dalam negara sahaja dan tidak berpeluang bertempur untuk menghadapi ancaman luar, sekaligus menjadikan angakatan tenteranya lemah. Keunikan sejarah Siam juga boleh disangkal melalui sistem pendidikannya yang dikatakan agak lewat ditubuhkan oleh pemerintah Siam. Jika dibuat perbandingan dengan negara hebat seperti Jepun, sememangnya sistem pendidikan Siam agak perlahan, baik dari segi sekolah rendah, sekolah menengah, atau pendidikan tinggi. Seperti yang diperkatakan, pada pertengahan abad ke-20, hanya separuh sahaja daripada masyarakat Siam yang memasuki sekolah rendah. Pendidikan tinggi Siam juga agak lewat ditubuhkan berbanding dengan negara Jepun. Dalam bidang ekonomi, pada pandangan saya, pemodenan oleh Rama V turut tidak menunjukkan sebarang keunikan. Rama V telah menggunakan orang Cina dalam membangunkan ekonomi negara. Bagi menggalakkan imagrasi Cina ke Siam, maka pemerintah Siam telah menjanjikan beberapa kepentingan kepada mereka, antaranya kadar pembayaran cukai kepala adalah rendah. Kaedah yang digunakan ini jika diperhatikan sebenarnya menyerupai kaedah yang digunakan oleh kuasa besar lain di tanah jajahan masing-masing, seperti pihak kolonial British dan Belanda. Jelaslah bahawa, sejarah Siam sebenarnya tidak mempunyai sebarang keunikan seperti yang diperkatakan oleh ahli sejarah tradisional.
4.0 KESIMPULAN
            Memang tidak dinafikan pemulihan oleh Rama V memberi kesan yang diharapkan pada masa itu, iaitu untuk mengekalkan kedaulatan Siam dari ancaman luar dengan mengekalkan pentadbiran diraja. Namun demikian, segala pemulihan ini tidaklah menunjukkan sebarang keunikan sekiranya perkara ini dikaji dengan lebih mendalam. Pemodenan oleh Rama V sebenarnya lebih kepada tujuan mempertahankan kedudukan Siam dalam hubungannya dengan kuasa Barat, serta untuk menyelamatkan kedudukan baginda berdua dalam masyarakat Thai. Penilaian yang lebih tepat terhadap kejayaan dan pencapaian Rama V seharusnya dinilai berdasarkan konteks semasanya. Pada zaman pemerintahan Rama V, baginda berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai untuk mengatasi dan menyelamatkan Siam daripada ancaman penjajahan Barat. Baginda terpaksa menggunakan kefahaman dan kebijaksanaanya sendiri bagi mempertahankan kedaulatan Siam. Memang benar Rama V melakukan beberapa kesalahan dalam tindakan yang diambil, namun baginda tetap memahami betapa pentingnya Siam mempunyai kedaulatan dan keselamatan negara daripada penjajahan Barat. Tanpa kepimpinannya yang mengkagumkan, berkemungkinan besar prestasi Siam tidak dapat mencapai peringkat yang cemerlang pada tahun 1910. Di sinilah sumbangan besar yang diberikan oleh Chulalongkorn terhadap kesejahteraan Siam.




BIBLIOGRAFI
Benedict Anderson. (1978). “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”. Dalam E. B.
Anyal, The Study of Thailand: Analysis of Knowledge, Approaches and Prospects in
Anthropology, Art History, Economics, History and Political Science. Athens: Ohio
University.
Kobkua Suwannathat-Pian. (1991). Sejarah Thai Zaman Bangkok. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.


[1] Kobkua Suwannathat-Pian, SejarahThai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 159
[2] Kobkua Suwannathat-Pian, SejarahThai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 191-192
[3] Kobkua Suwannathat-Pian, SejarahThai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 199
[4] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 197
[5] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 198
[6] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 199
[7] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 200
[8] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 201
[9] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 204
[10] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 220
[11] Benedict Anderson, “Studies of Thai State: The state of Thai Studies”, Athens: Ohio University, 1978, hlm. 222

Ulasan

Catatan Popular