hubungan selatan thai-bangkok



1.0 PENDAHULUAN
Sejarah awal Kerajaan Melayu Patani mempunyai sejarah yang cukup lama, daripada negeri-negeri di semenanjung Melayu seperti Melaka, Johor dan Selangor. Sejarah Pattani merujuk kepada kerajaan Melayu Tua berpengaruh Hindu yang bernama Langkasuka. Sebelum kedatangan pengaruh agama Islam pada abad ke-14, masyarakat telah mengamalkan agama Hindu dan Buddha.[1] Istilah ‘Patani’ digunakan di dalam esei ini merangkumi wilayah yang dahulunya kerajaan Melayu Patani. Perkataan ‘Pattani’ merupakan istilah yang diterjemah dari bahasa Thai dan hanya menumpukan Wilayah Pattani yang ditetapkan oleh kerajaan Thailand. Selatan Thailand iaitu Patani, Satun, Narathiwat, dan Yala yang dikenali sebagai Patani Raya.[2] Patani ialah negara Islam yang bebas dari penjajahan sehinggalah Thailand mendakwa kekuasaan.
            Namun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam. Selepas kejatuhannya terhadap kekuasaan Thailand, orang Melayu Muslim di Selatan Thai mula memberontak kekuasaan tersebut. Keinginan mereka ialah untuk menjadi sebahagian dari dunia budaya Melayu-Muslim dengan pemerintahan autonomi. Disebabkan, kawalan yang ketat yang dilakukan oleh pemerintah pusat di Bangkok telah mengakibatkan keinginan untuk memperolehi autonomi tersebut tidak tercapai. Wilayah-wilayah yang terletak sepenuhnya di bawah kuasa kerajaan Thailand pada tahun 1902.[3] Dengan itu, bermulanya  hubungan Selatan Thailand dengan Bangkok yang membawa perubahan sosio-politik, ketidakstabilan politik, perpecahan wilayah dan krisis pucuk pimpinan. Bahkan pada 1909, Perjanjian Bangkok antara Inggeris dan Siam. Akhirnya Patani menjadi wilayah rasmi Siam yang kemudian merubah namanya menjadi Thailand sampai sekarang ini.
2.0 HUBUNGAN SELATAN THAILAND DAN BANGKOK
2.1 DASAR PEMUSATAN KUASA PUSAT 1902 (THESAPHIBAN)

Pada 5 Oktober 1902, Kerajaan British, tanpa memperduli rayuan Raja-Raja Melayu, telah mengiktiraf Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai jajahan Siam yang sah. Kerajaan Siam bersetuju untuk melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara kecuali di Patani yang telah dihapus pemerintahan Melayu. Patani diperintah secara langsung oleh Siam melalui Gabenor.[4] Gabenor dan kakitangannya adalah beragama Buddha dan berbangsa Siam. Mereka bukan sahaja tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu tetapi jahil tentang kebudayaan, agama dan adat resam orang Melayu. Keadaan semakin bertambah buruk apabila pegawai-pegawai Siam ini mentadbir Patani sebagai seorang penjajah, rasuah dan salah guna kuasa. [5]
            Siam mula mengukuhkan cengkamannya terhadap Patani melalui dasar Thesaphiban. Dasar Thesaphiban diperkenalkan oleh Raja Siam Chulalongkorn dan diteruskan oleh pemerintah pusat iaitu sistem pemerintahan raja-raja Melayu telah dihapuskan. Melalui dasar Thesaphiban, bermulanya, reformasi pentadbiran iaitu Siam telah dibahagikan kepada beberapa Monthon atau kawasan.[6] Wujud ketidakadilan apabila pesuruhjaya yang  dilantik telah mengambil alih kekuasaan daripada pembesar-pembesar  Melayu. Ini menyebabakan, pembesar kehilangan hak untuk memerintah akibat pemusatan kuasa. Raja-Raja Melayu Patani berusaha merayu kepada pihak berkuasa British di Singapura supaya menghalang kerajaan Siam daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri mereka. Ini menimbulkan konflik yang serius antara kedua belah pihak. Namun desakan dan aduan raja-raja Melayu tidak dipedulikan oleh kerajaan Thailand di Bangkok.[7]
2.2 PERJANJIAN BANGKOK 10 MAC 1909
Perjanjian Bangkok 1909 atau dikenali sebagai Perjanjian Anglo Siam 1909.  Pada 10 Mac 1909, Perjanjian ini diadakan di Istana Raja Thailand di Bangkok yang diusahakan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir John Anderson dan Setiausaha Luar negeri Siam. Di bawah artikel 1 Perjanjian Bangkok 1909, Siam bersetuju untuk menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak miliknya ke atas Negeri-Negeri Melayu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk pulau-pulau berdekatan, kepada Britain. Jelaslah bahawa, Patani menjadi ‘duri dalam daging’ bagi Siam. Kerajaan British turut meminta jaminan daripada kerajaan Siam bahawa Patani tidak akan diserah atau dipajak kepada kuasa-kuasa asing lain yang.[8]
            Dengan termetrainya Perjanjian Bangkok, Patani secara rasmi telah dipisahkan daripada negeri-negeri Melayu Semenanjung dan diserap secara paksaan menjadi wilayah Siam. Orang Melayu Patani ternyata kecewa dengan Perjanjian Bangkok 1909 yang memisahkan Patani daripada Negeri-Negeri Melayu lain. Mereka menolak percantuman paksaan Patani dengan Siam atas dasar bahawa Patani adalah negeri Melayu, beragama Islam dan kebudayaan Melayu yang amat berbeza sama sekali dengan Siam yang berketurunan Siam, beragama Buddha dan berkebudyaan Siam.[9] Dalam membicara tentang Perjanjian Bangkok 1909 tidak ramai yang membahas tentang ‘ketinggalan’ Patani, Narathiwat, Yala dan Setul di dalam Perjanjian itu. Kegagalan Perjanjian tersebut untuk memisahkan Patani daripada jajahan Siam telah memberi kesan buruk kepada kestabilan serantau. Justeru kegagalan itu, telah mencetuskan kekacauan di Patani pada 1910 dan sehingga kini Patani sedang bergolak dengan keganasan.
2.3 PERISTIWA CUKAI 1923
Pada tahun 1923, orang-orang Melayu mula menolak untuk membayar pajak tanah kepada pemerintah Thailand sebagai protes terhadap reformasi pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 1921.[10] Reformasi pendidikan yang mewajibkan semua anak untuk masuk sekolah dasar negeri selama empat tahun untuk belajar bahasa Thailand. Penegakan hukum secara tegas adalah penghinaan besar untuk Muslim Melayu, yang dianggap sebagai serangan langsung terhadap budaya, agama dan bahasa.
            Pergerakan atau bantahan terhadap pemerintahan Thailand bermula akibat perasaan tidak berpuas hati terhadap perbuatan pegawai-pegawai Siam-Thai yang menerima wang dan  sikap mereka yang tidak mengambil tahu akan hal pentadbiran serta memperbaiki negeri. Misalnya, umat Islam Patani di seluruh Wilayah-wilayah Patani telah bersatu untuk mengelakkan diri dari membayar kenaikan kadar cukai dan sewa tanah. Gerakan bantahan yang dilancarkan oleh orang-orang Melayu, telah mendapat sokongan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin iaitu bekas Raja Melayu Patani yang terakhir. Namun demikian, pergerakan ini telah menemui kegagalan. Ia telah dapat dihancurkan oleh pasukan polis dan tentera Siam hingga berlaku pertempuran di Rakak, daerah Maya, di Wilayah Patani.[11] Ini disebabkan, beberapa banyak ketua-ketua Melayu Patani yang telah dituduh bersubahat dalam pergerakan ini telah ditangkap kemudian dihantar ke Bangkok dengan alasannya sebagai kaum penderhaka, terdapat juga antara mereka yang telah mati dan terus berkubur di tempat kejadian.
2.4 DASAR RATHANIYOM 1939
Pemimpin berpemikiran nasionalis iaitu Phibun Songgram, pada tahun 1938, telah memperkenalkan polisi asimilasi terhadap seluruh masyarakat Patani. Maksudnya, seluruh rakyat yang berada dalam kekuasaan wilayah Thailand diintegrasikan ke dalam satu kesatuan bangsa yang disebut bangsa Siam atau Thai. Hal ini, telah memberi impak negatif kepada umat Islam di selatan dalam memperjuangkan aspirasi budaya dan agama mereka. Undang-undang Islam berkenaan perkahwinan dan harta pusaka yang selama ini diamalkan telah dimansuhkan. Masyarakat Islam juga terpaksa berdepan dengan polisi kebudayaan Thailand yang mewajibkan semua rakyat tanpa mengira agama dan budaya mengadaptasi corak pakaian Barat, bertutur hanya dalam bahasa Thai serta mengamalkan budaya dan adat resam masyarakat Thai.[12]
            Perbezaan dari segi sosio-budaya dan agama ini mengakibatkan berlaku tentangan daripada masyarakat Melayu. Walaupun kerajaan Thailand telah mengadakan proses integrasi yang lebih lembut selepas kejatuhan Phibul. Namun demikian, proses tersebut gagal memenangi hati orang Mealyu di bahagian wilayah selatan. Hal ini disebabkan, terdapat kelemahan ketara dalam setiap polisi yang telah dilaksanakannya. Dengan itu, wujud penantangan apabila kesan-kesan asimilasi dapat dilihat seperti sekolah pondok dijadikan sekolah berbentuk secular dan bahasa Thai yang berleluasa serta merosotnya penggunaan bahasa Melayu.[13] Penentangan ini telah membawa kepada konflik berdarah serta tertuduhnya beberapa gerakan gerila bawah tanah sehingga memaksa kerajaan Thai membuat beberapa tindakan agresif seperti menangkap individu yang disyaki.   

2.5 PEMBUNUHAN TUAN HAJI SULONG 1948
Dalam membincangkan perjuangan politik di Selatan Thailand, nama Haji Sulong akan sentiasa menjadi sebutan. Pembaharuan dan pengorbanan beliau tidak ternilai harganya. Haji Sulong menyaksikan peristiwa-peristiwa negatif yang berkaitan dengan dasar asimilisasi Thai tersebut. Pada tahun 1947, perjuangan masyarakat Islam Patani bertambah memuncak hingga tahun 1954. Selama tujuh tahun, Haji Sulong Al-Fatani terus mempertahankan agama dan bangsa sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Patani (MAIP).[14]
            Tujuan pertubuhan ini adalah untuk menggalakkan kerjasama dan mewujudkan pakatan di kalangan alim ulama dan guru-guru agama bagi menghadapi tindakan pihak kerajaan yang cuba mengasimilasi orang-orang Melayu dan mencabuli agama Islam.[15] Pada tahun 1947, beliau telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan Siam berhubung dengan dasar di Selatan Thai yang terdiri dari empat wilayah iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun. Antara tuntutannya ialah 4 wilayah tersebut mesti ditadbir oleh pemimpin Islam yang terpilih. Beberapa tuntutan itu dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Pridi Panomyong tetapi peralihan kuasa kepada rejim Pibun Songkram telah memilukan bagi umat Islam Selatan Thai.
            Kesannya pada 16 Jun 1948, Haji Sulong telah ditahan dan didakwa sebagai pengkhianat. Penahanan beliau telah membawa kepada beberapa pemberontakan berdarah orang Melayu Pattani. Keputusan perbicaraan terhadap beliau menggugurkan tuduhan pengkhianat, tetapi beliau disabitkan menghina kerajaan dan dihukum penjara 7 tahun. Namun beliau dibebaskan selepas 3 tahun setengah. Selepas dibebaskan, lidah beliau menjadi kelu dan tidak dapat bertutur seperti biasa, dipercayai akibat didera dengan teruk semasa ditahan. Penentangan berterusannya terhadap dasar kerajaan Siam “Thai Rathnaniyom” telah membawa kepada pembunuhan Haji Sulong yang penuh misteri, iaitu beliau telah diminta hadir bertemu ketua penyiasat polis di Songkhla. Beliau telah memenuhi permintaan tersebut dengan hadir ke Songkhla, tetapi selepas itu beliau tidak lagi kembali.
3.0 MASALAH HUBUNGAN SELATAN THAILAND DENGAN BANGKOK BERPUNCA DARIPADA KETIDAKADILAN PENTADBIRAN PUSAT
Isu utama yang muncul pada hari ini ialah ketidakadilan pentadbiran kerajaan pusat yang mana merangkumi semua aspek sosial seperti ekonomi, pendidikan, politik, hak asasi manusia dan lain-lain lagi. Pendekatan keganasan yang digunakan oleh pihak berkuasa seperti dalam Tragedi Tak Bai juga merupakan salah satu keadilan yang mereka tuntutkan. Mereka juga bangkit menuntut agar kerajaan Thailand membawa keadilan di tiga wilayah sejajar dengan hak orang Melayu sebagai golongan minoriti dalam negara Thailand. [16]

3.1 POLITIK DAN KEMERDEKAAN
Perkembangan politik di wilayah Selatan Thailand dibelenggu oleh tindakan seperti penindasan, diskriminasi, pembunuhan dan rasuah.        Pertelingkahan antara orang Melayu Islam di Patani dengan kerajaan Thailand adalah berkisarkan kepada tuntutan kemerdekaan. Tuntutan kemerdekaan ini disebabkan tindakan kerajaan Siam menjajah negeri Patani yang dahulunya dimiliki oleh Kesultanan Melayu Patani. Menurut Miall, Ramsbotham menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu kumpulan etnik bangkit memberontak. Salah satunya ialah wujud peristiwa yang menekan kelompok ini suatu masa dahulu dan segala kekuasaan mereka telah dirampas dari segi politik dan ekonomi.[17] Penentangan terhadap dasar-dasar politik kerajaan Thailand telah member kesan negatif kepada budaya dan identiti orang Melayu Patani. Pemberontakan orang Melayu Patani untuk mendapatkan hak politik di Patani dianggap mengancam pendominasian kuasa selama ini di Patani. Justeru, tanggapan kerajaan Thailand yang menjadi proses asimilasi sebagai alat untuk mengatasi masalah pemberontakan dan mencapai perdamaian dan pembangunan negara ternyata meleset.
            Pegangan dan kepercayaan yang kuat khususnya orang Melayu Patani terhadap budaya dan identiti mereka bertindakbalas dengan dasar-dasar kerajaan Thailand sehingga menimbulkan konflik yang berpanjangan. Keadaan ini merupakan perkaitan antara isu politik dengan isu budaya dan identiti yang mana pada awalnya orang Melayu Patani menuntut kemerdekaan tetapi serangan kerajaan Thailand adalah ke atas budaya dan identiti. Kedua-dua elemen ini boleh dikatakan menjadi isu baru kepada konflik di Selatan Thailand pada hari ini. Oleh itu, kerajaan Thailand menggunakan pendekatan asimilasi sebagai jawapan untuk mengatasi tuntutan hak politik mereka di Patani. OMIP kini mengalami proses asimilasi ke dalam budaya dan identiti Thai-Buddha.
3.2 IDENTITI
Penentangan masyarakat Melayu Patani untuk mengembalikan hak politik mereka ke atas negeri Patani mengundang isu-isu baru yang membawa permasalahan yang berpanjangan. Ramai pegawai berbangsa Siam yang bertugas di tiga wilayah hari ini masih lagi tidak menghormati budaya dan cara hidup orang Melayu.[18] Seperti yang berlaku di kaunter-kaunter kerajaan iaitu layanan yang diberikan tidak sama dan lebih mengutamakan orang berbangsa Thai.[19] Mereka dipaksa mengamalkan bahasa, corak pemakaian, pendidikan, sejarah dan adat budaya yang berteraskan Thai-Buddha.
            Isu identiti telah wujud apabila kerajaan Thailand mengeluarkan dasar berbentuk asimilasi dan akhirnya membawa kepada pergolakan yang semakin rumit. Selain itu, dari segi bahasa iaitu anak-anak muda hari ini lebih gemar bertutur dalam bahasa Thai berbanding bahasa Melayu. Konflik yang berlaku pada tahun 2004 adalah berkait rapat dengan isu identiti. Insiden seperti pembakaran sekolah, tembak guru dan penjawat awam adalah untuk menunjukkan bahawa sistem pendidikan berkonsep Thai-Buddha masih lagi berlaku dan ia masih ditentang oleh orang Melayu Patani.
3.3 EKONOMI
Pendapatan rendah dan jumlah keluarga yang miskin merupakan isu ekonomi yang menjadi faktor kepada perletusan konflik tahun 2004. Namun ketiga-tiga wilayah di Selatan Thai mempunyai sumber semulajadi yang boleh menjana pendapatan penduduk tetapi tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan Thailand. Masyarakat Melayu Patani kehilangan peluang pekerjaan memandangkan keadaan konflik yang kian meruncing. Selain itu, berlaku ketidakseimbangan ekonomi kerana jurang antara kaum yang menguasai ekonomi juga sangat ketara apabila kebanyakan perusahaan dalam bidang pertanian, perindustrian dan perikanan dikuasai oleh kaum Cina dan Thai-Buddha.[20]
            Kebanyakan yang menyertai projek-projek perindustrian, perladangan dan perikanan adalah dikalangan orang Thai-Buddha dan Cina. Manakala orang Melayu Patani tidak mampu bersaing dengan peniaga-peniaga lain dan hanya mampu menjalankan perusahaan diperingkat kecil-kecilan sahaja.[21] Tambahan pula, hasil-hasil yang diperolehi melalui penerokaan sumber-sumber alam di Selatan Thailand tidak disalurkan untuk membangunkan tiga wilayah tetapi dihantar ke pentadbiran pusat untuk pembangunan wilayah lain.
3.4 PENDIDIKAN
Pendidikan merupakan agen kepada proses asimilasi kebudayaan Thai di Patani. Di bawah Akta Pelajaran 1921, mewajibkan penggunaan bahasa Thai dan pelajar Melayu mesti dihantar ke sekolah kebangsaan Siam. Akta ini  menimbulkan isu berkaitan dengan pendidikan di ketiga-tiga wilayah. Kerajaan bertanggapan bahawa taraf pendidikan sekular masih lagi ditahap yang rendah dan ia perlu dipertingkatkan melalui sistem integrasi nasional. Namun demikian, pandangan penduduk tempatan terhadap dasar ini merupakan proses atau amalan yang bersifat perkauman.
            Pada tahun 1993, isu ini telah dibangkitkan kembali oleh masyarakat Melayu Islam Patani. Tindakan membantah sistem pengajian ini telah memaksa Jabatan Pendidikan Wilayah mengajukan kepada Kementerian Pendidikan bagi membentang pembentukan semula sistem persekolahan di kawasan orang Melayu Islam Patani di Parlimen. Justeru, pada Mac 1993, Kementerian Pendidikan mengumumkan perlaksanaan sistem pendidikan baru terhadap wilayah muslim yang mana melatih penduduk tempatan sebagai guru agama dan memperkenalkan pengajaran Islam dalam pendidikan umum dan membenarkan pelajar memakai pakaian mengikut ajaran Islam sebagai pakaian seragam[22] untuk ke sekolah. Isu pendidikan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia masih lagi tumbuh dalam masyarakat sekarang.
3.5 HAK ASASI MANUSIA
Kebebasan, keadilan dan hak individu menjadi isu utama yang dipersoalkan di Selatan Thailand pada hari ini. Tindakan tentera yang keras dan ganas dalam menyurahkan sesuatu perhimpunan dikatakan telah melanggar hak asasi manusia. Pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh Thaksin sehinggalah sekarang menunjukkan bahawa wujud manipulasi ke atas sistem undang-undang yang sedia ada dalam mengawal konflik ini. Akta darurat yang membolehkan pihak berkuasa menangkap tanpa waran, mendengar perbualan telefon, membuat penapisan sumber berita dan lain-lain lagi merupakan contoh manipulasi undang-undang di tiga wilayah oleh kerajaan. [23]
            Hak kebebasan orang Melayu Islam Patani cuba dinafikan oleh kerajaan Thailand terutamanya bebas daripada penangkapan, penganiayaan, hukuman kejam dan lain-lain lagi. Penduduk awam khususnya sering terdedah dengan penangkapan tanpa bukti oleh pihak berkuasa dan ada sesetengah yang ditangkap tidak lagi kembali dan dipercayai dibunuh. Begitu juga dengan kelompok agama seperti ustaz dan imam-imam, mereka terdedah dengan serangan tembak curi dan penculikan. Oleh itu, keadaan ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan gagal memberi perlindungan keselamatan dan keamanan di ketiga-tiga wilayah tersebut sepertimana menjadi kewajipan mereka melindungi hak rakyat.[24]




4.0 KESIMPULAN
Konflik yang berlaku saban hari di Selatan Thailand menunjukkan bahawa konflik ini mempunyai epicentre yang masih belum dirungkaikan. Epicenter bermaksud dasar dan pendekatan kerajaan sendiri yang menjadi punca kepada peningkatan konflik. Terdapat matlamat-matlamat tersembunyi dipihak kerajaan Thailand dalam melaksanakan dasar-dasar tersebut sehingga membawa kepada konflik yang berpanjangan. Kebanyakan dasar dan pendekatan yang digunakan adalah berat sebelah dan tidak menghormati hak dan kepentingan masyarakat Melayu Patani. 
            Dari segi perlaksanaannya, lebih kepada pemaksaan dan penekanan. Jelaslah bahawa, matlamat pihak kerajaan Thailand adalah ingin membentuk perdamaian negatif di ketiga-tiga wilayah tersebut, memandangkan kerajaan Thailand berada dipihak yang besar kuasanya dalam perhubungan konflik asimetrik. Manakala, orang Melayu Patani yang mempunyai kuasa kecil sentiasa menentang kuasa besar namun mereka tidak berupaya. Keupayaan ini muncul daripada pegangan identiti yang cukup kuat khususnya melalui agama Islam yang mereka anuti. Selain itu, permuafakatan dan peryatuan atas nama identiti turut mengundang beberapa pihak dari luar untuk turut membantu memperkasakan keupayaan mereka untuk bangkit menentang kerajaan Thailand. 
            Sebagai kesimpulan, masalah hubungan berlaku antara Bangkok dan Thailand berpunca daripada ketidakadilan pentadbiran kerajaan pusat iaitu merangkumi semua aspek sosial seperti ekonomi, pendidikan, politik, hak asasi manusia dan lain-lain lagi. Ketidakfahaman antara budaya juga merupakan satu perkara yang penting dalam konflik namun ia akan dapat diatasi sekiranya dibentuk saluran komunikasi yang konstruktif agar wujudnya timbal balas yang baik.


5.0 BIBILIOGRAFI
Buku
Ahmad Fathy al-Fatani. Pengantar Sejarah Patani. Malaysia: Pustaka Darussalam, 1994.
Ahmad Omar Chapkia. Peradaban Melayu Timur Laut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan          Pustaka, 2003.

Che Man, W. K. Muslim Separatism: The Moros of Southern Philippines and the Malays of           Southern Thailand. Singapore: Oxford University Press, 1990.

Denudom, T. I. Politics, Economy, Identity Or Religious Striving For The Malay Patani : A           case study of the conflict state between Thailand and Malay State of Patani     Department of East and Southeast Asia Languages. Sweden: Lund University. 2005.

Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,            2002.

Kobkua Suwannathat-Pian. Sejarah Thai Zaman Bangkok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa            dan Pustaka, 1991.

McCargo, Duncan. Tearing Apart The Land: Islam and Legitimancy in Southern Thailand.            Singapore: NUS Press, 2009.

Miall, H. Contemporary Conflict Resolution: The Prevention, management and      transformation of deadly conflict. Cambridge: Polity Press, 1999.

Mohd. Zamberi A. Malek. Umat Islam Patani Sejarah dan Politik. Shah Alam: Penerbit    Hizbi, 1993.

Mohd. Zamberi A. Malek. Patani Dalam Tamadun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa          dan Pustaka, 1994.

Mohd. Zamberi A. Malek. Pensejarahan Patani. Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.
Nik Anuar Nik Mahmud. Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1758-1984. Bangi: Penerbit            Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006.

Siti Hawa Haji Salleh. Hikayat Patani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
Wan AzahammWan Mohamad. Sejarah Revolusi Thai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan           Pustaka, 1987.

Journal
Che Mohd Aziz Yaacob, “Isu dan penyelesaian: Konflik pemisah di Selatan Thailand”,     Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic studies, Vol. 38(1) (2011):    24.
Kamarulzaman Askandar, “Conflict and Conflict Management in Southeast Asia: Trends and        Patterns”, Kajian Malaysia, Vol. 57(1) (2000): 5-6.


















[1] Siti Hawa Haji Salleh, Hikayat Patani, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992), 5.
[2] Mohd. Zamberi A. Malek, Patani Dalam Tamadun Melayu, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994),   80-82.
[3] Mohd. Zamberi A. Malek, Pensejarahan Patani, (Kuala Lumpur:Universiti Malaya, 2006),  139.
[4] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002), 101.
[5] Mohd. Zamberi A. Malek, Patani dalam Tamadun Melayu, (Kuala Lumpur:Universiti Malaya, 1994),  83-85.
[6] Kobkua Suwannathat-Pian, Sejarah Thai Zaman Bangkok, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991), 159.
[7] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002), 101.
[8] Wan Azaham Wan Mohamad, Sejarah Revolusi Thai, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987), 61.
[9] Mohd. Zamberi A. Malek, Patani dalam Tamadun Melayu, (Kuala Lumpur:Universiti Malaya, 1994),  74.
[10] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002), 103.
[11] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani Sejarah dan Politik, (Shah Alam: Penerbit Hizbi, 1993), 12.
[12]Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1758-1984, (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006), 55.
[13] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani Sejarah dan Politik, (Shah Alam: Penerbit Hizbi, 1993), 14.
[14] Ahmad Fathy al-Fatani, Pengantar Sejarah Patani, (Malaysia:Pustaka Darussalam, 1994), 74.
[15] Ahmad Omar Chapkia, Peradaban Melayu Timur Laut, ( Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003), 311.
[16] Duncan McCargo, Tearing Apart The Land: Islam and Legitimancy in Southern Thailand, (Singapore: NUS Press, 2009), 56-58.
[17]H. Miall, Contemporary Conflict Resolution: The Prevention, management and transformation of deadly conflict, (Cambridge: Polity Press, 1999), 107.
[18]T. I. Denudom, Politics, Economy, Identity Or Religious Striving For The Malay Patani : A case study of the conflict state between Thailand and Malay State of Patani Department of East and Southeast Asia Languages, (Sweden: Lund University. 2005), 17.
[19] Che Mohd Aziz Yaacob, “Isu dan penyelesaian: Konflik pemisah di Selatan Thailand”, Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic studies, Vol. 38(1) (2011): 24.
[20] Ibid., 28.
[21] W. K. Che Man, Muslim Separatism: The Moros of Southern Philippines and the Malays of Southern Thailand, (Singapore: Oxford University Press, 1990), 37.
[22] Pakaian seragam yang mengikut ajaran Islam bermaksud pakaian yang memenuhi tuntutan syariat Islam seperti menutup aurat bagi lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki perlu memakai seluar panjang manakala perempuan memakai baju kurung atau seumpamanya dan bertudung. Manakala warna pakaian seragam adalah selaras dengan pakaian seragam pelajar-pelajar yang berbangsa Thai.
[23] Che Mohd Aziz Yaacob, “Isu dan penyelesaian: Konflik pemisah di Selatan Thailand”, Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic studies, Vol. 38(1) (2011): 29-30.
[24] Kamarulzaman Askandar, “Conflict and Conflict Management in Southeast Asia: Trends and Patterns”, Kajian Malaysia, Vol. 57(1) (2000): 5-6.

Ulasan

Catatan Popular