ketenteraan di thailand





1.0 PENGENALAN
            Negara Thailand sememangnya dikenali sebagai negara yang mengamalkan pemerintahan Monarki Mutlak yang mana pentadbirannya tertumpu kepada Raja yang menentukan perjalanan pemerintahan keseluruhannya. Pewaris kepada kerajaan monarki Thailand iaitu Raja Vajiravudh dan Raja Prajadhipok pula telah merombak dan melakukan beberapa perubahan besar yang telah mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak sehingga membawa kepada Revolusi 1932.[1] Tercetusnya revolusi 1932 di Thailand menandakan berakhirnya sistem raja berkuasa mutlak dan digantikan dengan sistem pemerintahan golongan tentera. Era pemerintahan tentera dikatakan telah membangunkan negara Thailand dari pelbagai segi dan aspek. Tentera dikatakan sebagai agen permodenan (modernizing elements) yang bertanggungjawab dalam pembangunan negara Thailand khususnya dalam sektor politik, ekonomi dan sosial. Esei ini akan menelusuri beberapa langkah yang telah dilaksanakan oleh tentera di Thailand. Esei ini turut akan menjawab beberapa persoalan seperti bagaimana  sistem politik militari berpelembagaan berjaya  menggantikan sistem politik monarki mutlak? Apakah pembaharuan yang dijalankan golongan militari dalam membangunkan masyarakat di Thailand? Bagaimana pula mereka meningkatkan mutu ekonomi masyarakat Thailand? Kemusykilan yang lebih besar adakah perkembangan yang dibawa oleh golongan tentera ini dapat dinikmati secara adilnya di antara wilayah di bahagian utara dan selatan Thailand? Oleh itu, esei ini akan memfokuskan penilaian terhadap sejauhmanakah tentera boleh dianggap sebagai agen pemodenan dalam ruang lingkup sekitar tahun 1946 sehingga 1980-an.

2.0 FAKTOR CAMPURTANGAN TENTERA DALAM PENTADBIRAN
Negara dunia ketiga seperti Thailand mempunyai dua jenis orientasi dan ideologi yang dipegang oleh pihak tentera. Jenis yang pertama adalah tentera yang menjunjung konsep liberalisasi Barat untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pentadbiran dan politik.  Kedatangan kuasa Eropah ke Asia Tenggara bukan sahaja untuk kepentingan ekonomi, malah turut menyebarkan doktrin perlembagaan mereka. Jenis yang kedua pula ialah tentera tradisional yang tidak terlibat dalam politik. Golongan tentera ini hanya menumpukan soal keselamatan dan kekuatan ketenteraan negara sahaja. Di Thailand, walaupun tentera tradisional melakukan rampasan kuasa seperti Revolusi 1932, namun mereka tidak mendukung Doktrin Liberal Barat malah amat menyanjung tinggi institusi beraja di Thailand yang dianggap suci.
Rampasan semula kuasa di Thailand pada tahun 1976 pula adalah disebabkan tentera berpendapat bahawa kerajaan Thailand gagal menjaga kepentingan dan kebajikan mereka sehingga pengurangan yang ketara bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat kepada tentera Thailand. Setelah tentera tidak lagi terlibat dalam pentadbiran, keadaan politik di Thailand semakin meruncing selepas tahun 1973. Dalam tempoh tiga tahun yang diberikan kepada perdana menteri untuk memerintah Thailand, malangnya kejayaan dan kemajuan yang dijanjikan tidak berlaku. Hal ini telah memaksa tentera untuk merampas semula kuasa pada tahun 1976.[2] Jika diteliti, kebanyakan rampasan kuasa yang melibatkan tentera selalunya berlaku di negara yang kurang dengan pembangunan dan amat jarang penggulingan oleh pihak tentera berlaku di negara yang maju dan membangun.


3.0 PENTADBIRAN TENTERA SEKITAR TAHUN 1946 SEHINGGA 1980-AN
3.1 Perubahan Dalam Bidang Politik
3.1.1 Pembentukan Dasar Baharu
            Dasar baru dibentuk setelah renjatan kuasa dilakukan diantara tahun 1948 sehingga 1951 oleh Jeneral Sarit Thanarat dan Jeneral Phao Sinayon yang memecahkan pendominasian kuasa oleh Phibun pada tahun 1955. Semasa pemerintahan Phibun beliau telah mengehadkan aktiviti politik dan menabur janji bahawa Thailand akan mengadakan pilihan raya untuk memilih pemerintah yang berkelayakan. Namun, janji hanya tinggal janji selepas proses pemecahan kuasa dilakukan Sarit Thanarat mencuba mengusir Phibun dan Phao seta merampas tampuk pemerintahan pada semtember 1957 dengan memperkenalkan suatu dasar yang dikenali sebagai Dasar ‘Martial Law’ pada tahun 1958 yang lebih bercorakkan autokrasi dengan matlamat mahu mengembalikan kebudayaan masyarakat Thailand dan memajukan ekonomi serta memodenisasikan aspek sosial masyarakat Thailand. 
            Sistem demokrasi yang berorientasikan Paw Kun yang diperkenalkan untuk menggantikan corak demokrasi barat yang juga dikenali sebagai demokrasi Agama Buddha. Sarit memperkenalkan dasar ini yang berkonsepkan kepada budaya tradisi dan adat resam tempatan masyarakat Thailand yang memperlihatkan fungsi atau kuasa daripada keturunan di sebelah bapa seperti yang diamalkan dalam budaya Thailand serta merangkumi kesemua aspek dalam kehidupan mereka.[3]
            Beliau juga mewujudkan pemerintahan enlightened the spot iaitu pemerintahan bercorak kuku besi tetapi lebih kepada mementingkan keperluan masyarakat dan untuk kebaikan sejagat. Pemerintahan ini diletakkan di bawah pemantauan seorang ketua pemerintah yang high-class dan terdiri daripada beberapa pemerintah bawahan yang berwibawa. Pemilihan pemerintah tidak dibuat secara pilihan raya kerana ia dilihat sebagai pencetus kepada perbalahan dan kewujudan ketidak sefahaman dalam kalangan masyarakat Thailand pada ketika itu.
            Jeneral Sarit telah mengangkat semula Institusi Beraja dengan menekankan dua peranan khusus sistem monarki iaitu bertindak sebagai pengesah dalam politik kerajaan dan dasar dalam rejim ketenteraan dan sebagai penggerak kepada program yang direncanakan oleh rejim ketenteraan berkaitan derma sosial dan tugas-tugas amal.[4] Hal ini seeolah-olah telah ‘memberi nyawa’ kepada Institusi Beraja Thailand bangkit memainkan peranan mereka dalam sistem politik dan sosio-budaya masyarakat Thailand. Rentetan peristiwa ini telah menyebabkan demokrasi Paw Kun dapat diterima untuk diamalkan dalam kalangan masyarakat kerana ia telah mengembalikan peranan raja itu sendiri membolehkan Golongan Militari ini mendapat tempat dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam ‘badan politik’ di Thailand. Dasar ini masih dilegasikan oleh pemerintah seterusnya iaitu Pangglima Thanom Kittikachom (1963-1973) dengan bantuan Praphat Charusatien. Kedua-dua mereka ini hanya menerusakan pembaharuan dalam politik yang telah dilaksanakan oleh Sarit.



3.1.2 Interaksi Dengan Negara Luar
Pihak Militari Thailand telah menyertai secara aktif dalam SEATO ( Southeast Asia Treaty Organisation). Pemantauan yang khusus diberikan oleh Amerika Syarikat dalam pelbagai aspek termasuklah kepakaran dalam mengurus ketenteraan, kelengkapan ketenteraan serta penambahbaikan pelbagai kemudahan dalaman untuk memajukan sistem pertahanan yang sedia wujud. Sarit bijak dalam melakukan interaksi politik ini yang dilihat membawa lebih banyak kelebihan kepada Thailand.[5]
Selain itu, Sarit juga memperbaharui Organisasi Militari Thailand dengan menyertai JUSMAG ( Joint United States Military Assistance Group) dan menganggotai MACTHAI ( Military Assistance Command Thailand) yang turut menyumbang kepada penambah baikan kepada Golongan Militari dengan penambahan ketentaraan dan kekuatan ketenteraan dapat diperkukuhkan dan ia dilihat sebagai suatu pencapaian baru sejajar dengan matlamat asal Sarit yang sememangnya ingin memperkukuhkan Golongan Militari di Thailand.[6] Kerajaan Militari Thailand juga telah mewujudkan Pusat Latihan Mekanik Motor ( Motor Mechanics Training Centre) pada tahun 1969 dan pada tahun 1971 Thailand telah mencapai jumpah ketenteraan seramai 170, 000 orang dan proses peningkatan jumlah ini merupakan persediaan bagi menghadapi ancaman komunis. Golongan Militari Thailand juga terlibat dalam misi membanteras kegiatan Komunis sera menghantar unit-unit tentera udara, laut dan darat di luar Thailand seperti di Laos dan Vietnam. Interaksi politik dan sosial ini telah memberi kekuatan kepada Institusi Ketenteraan Thailand.[7]
3.1.3 Kekuatan Pertahanan Negara
Rentetan daripada Interaksi antara Thailand dengan negara-negara luar seperti Amerika Syarikat dan Australia telah mengukuhkan pertahanan ketenteraan yang menjadikan Thailand sebagai sebuah negara yang kuat dan gah di mata negara-negara sekitarnya. Pelbagai kelebihan dan keistimewaan diterima oleh Thailand seperti bantuan ketenteraan, kelengkapan ketenteraan, program-program ketenteraan dan semua aktiviti yang dijalankan berada di bawah pemantauan tentera-tentera dari Amerika Syarikat dan Australia.[8]
Thailand dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai gerakan Parti Komunis yang aktif dan kekuatan ketenteraan yang dimiliki mampu membanteras Parti Komunis di Thailand dan negara-negara yang terlibat dengan kehadiran Komunis seperti Laos turut dibantu oleh kekuatan ketenteraan Thailand untuk membasmi kehadiran komunis ini di negara-negara Asia Tenggara.[9] Hal ini jelas memperlihatkan Thailand sememangnya maju dalam bidang ketenteraan dengan jumlah ketenteraan yang mencukupi, kelengkapan perang dan latihan ketenteraan yang bersepadu telah menjadikan Thailand sebuah negara yang kuat pertahanannya dan sentiasa bersedia dengan ancaman luar.
3.2 Memajukan Ekonomi
3.2.1 Rancangan Ekonomi Kebangsaan Pertama (1961-1966)
Pihak kerajaan telah membangunkan beberapa infrastruktur dan kemudahan seperti pengangkutan, jalan raya, tenaga kerja, jaringan komunikasi dan sebagainya untuk merealisasikan pelan ekonomi yang pertama ini agar dapat dijalankan seperti yang telah dirancang. Thai Technical and Economic Cooperation Committee dan National Economic Development Board ditubuhkan pada tahun 1959 untuk merangka rancangan-rancangan pembangunan ekonomi ini.[10] Dalam rancangan ekonomi ini, golongan tentera turut memberi penumpuan kepada pertanian di Thailand agar pertanian komersial di Thailand dapat diwujudkan. Militari juga berperanan dalam mempelbagaikan jenis tanaman seperti padi, jagung, ubi kayu, nenas, kelapa, getah, tebu, sayur-sayuran dan buah-buahan.[11] Sebagai contoh, perluasan kawasan tanaman padi berjaya mencapai sehingga 15 peratus di anatara tahun 1950 hingga 1967 dan kawasan lain juga turut berkembang menjelang tahun 1968. Hal ini menunjukkan bahawa peranan golongan tentera cukup penting sebagai elemen yang berperanan memajukan pembangunan ekonomi di negara Thailand antara tahun 1950-an sehingga tahun 1990-an.
 Amerika Syarikat telah memberi sumbangan kepada Thailand sebagai balasan kerana Thailand telah membantu dalam perang Vietnam dan pinjaman modal daripada Jepun dan Taiwan yang menyebabkan pengaliran wang masuk menjadikan modal Thailand menjadi banyak dan mampu merangka lebih banyak program pembangunan ekonomi.[12]
  Jeneral Sarit turut melibatkan masyarakat Thailand dalam perdagangan bebas untuk memecahkan pendominasian pelabur Cina di dalam ekonomi. Dengan itu, Sarit telah melantik pegawai-pegawai tenteranya sebagai ketua syarikat supaya keuntungan yang diperoleh dapat dinikmati oleh pegawai-pegawainya sahaja dan bukannya pelabur Cina. Usaha yang dilakukan oleh Sarit ini adalah bertujuan untuk mewujudkan kepakaran dalam kalangan mereka sendiri.
3.2.2 Rancangan Ekonomi Kedua ( 1967-1971)
 Rancangan ekonomi kedua yang diperkenalkan pada tahun 1967-an sehingga 1971-an adalah di bawah pemerintahan Thanom. Thanom mengambil alih tampuk pemerintahan tentera selepas Sarit. Rancangan ekonomi kedua yang djalankan di bawah kepimpinan Thanom telah diberi nama baru iaitu kepada National Economic and Social Devolopment Plan. Rancangan ini memberi penumpuan kepada sistem pendidikan di Thailand, sumber tenaga kerja serta pelarasan diberikan kepada ketidak sejajaran pemilihan pekerjaan serta meningkatkan pertanian. Pelan ekonomi kedua ini telah menyatakan fungsi pelabur swasta dalam usaha meningkatkan bidang perindustrian, perkhidmatan dan perdagangan. Perkembangan dalam bidang perindustrian menyebabkan Thailand dapat menghasilkan barangan import seperti kaca, plastik, tayar kasut dan barangan elektronik kecil.[13] Hal ini menjadikan Thailand tidak lagi bergantung kepada barangan import bahkan mampu menegeksport barangan keluar negara kerana mereka mampu menghasilkan barangan sendiri. Keadaan ini amat berbeza sekali semasa Thailand berada di bawah sistem monarki mutlak raja kerana segala penguasaan hanya dimiliki oleh raja dan keluarga diraja sahaja tanpa mengira kepentingan rakyat.
3.3 Kesejahteraan Sosial
            Sekitar tahun 1950-an, Phibun secara keseluruhannya telah mengabaikan beberapa aspek penting sosial misalnya peluang pengajian tinggi, perniagaan, ketenteraan dan golongan sami Buddha. Kemasukan pelajar ke universiti turut diperketatkan syarat dan tidak meluas sehingga tahun 1960-an. Dalam aspek ketenteraan misalnya, kebanyakan ahli tentera adalah mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.
Apabila memasuki arena politik, kebanyakan ahli tentera akan menikmati kekayaan masyarakat sehingga ia menimbulkan kemarahan ramai pihak. Sekitar 1950-an, Sarit telah berusaha mengukuhkan pentadbiran. Antara usaha yang telah dijalankan oleh beliau adalah membaikpulih sistem jalan raya, jenayah dikurangkan, aktiviti pelacuran di bawah pengawasan undang-undang dan larangan terhadap penjualan candu. Selain itu, perkhidmatan eletrik juga telah diperbaik dan kajian terhadap bidang pertanian turut diperhebat. Bahkan kerajaan turut mengambil berat tentang hal kemasukan pelajar ke pengajian tahap yang lebih tinggi. Bilangan sekolah telah ditambah dan tahap kualiti pendidikan juga ditambahbaik. Secara keseluruhan, pentadbiran Sarit adalah lebih baik dan hampir mencapai tahap kualiti yang terbaik.
            Perkembangan yang berlaku pada tahun 1960 sehinggalah tahun 1980-an adalah menggalakkan meskipun terdapat beberapa masalah yang terjadi. Kebanyakan orang Cina telah mula dapat menerima Thailand dan berlaku asimilasi antara orang Cina dan penduduk tempatan menerusi perkahwinan dan sebagainya. Perubahan drastik Thailand terutama di sekitar Bangkok meningkat dengan baik. Bahkan kawasan perkampungan turut berubah sama sekali menjadi lebih moden dan maju. Kawasan jalan raya juga diselenggara dan dibina dengan baik kerana ia menjadi laluan utama golongan tentera dan integrasi penduduk kampung ke ekonomi nasional.[14]




4.0 WILAYAH SELATAN THAILAND
4.1 Tahun 1948-1957
            Pada peringkat pentadbiran pertama pemerintahan Phibun, kebanyakan dasar yang dijalankan oleh beliau mengundang rasa tidak puas hati terhadap golongan Islam di bahagian selatan Thailand terutama Pattani. Antara polisi yang menjadi masalah adalah Rattaniyom dan bagi merungkaikan kemelut tersebut, Phibun  telah melantik Che Abdullah Lang Putih sebagai Menteri Khusus di Kementerian Pelajaran. Beberapa polisi telah digubal namun tidak banyak memberi kesan terhadap tiga wilayah utama iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat. Kebanyakan keistimewaan yang dinikmati di utara Thailand tidak dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan selatan. Penduduk di wilayah selatan berasa seolah-olah terpisah daripada negara Thailand dan kebajikan mereka terabai. Beberapa siri perundingan telah dijalankan bagi mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan kemelut di antara dua pihak tetapi masalah semakin serius pada tahun 1953, majlis pengajian agama telah ditutup dan membuatkan ramai masyarakat Islam di wilayah selatan menjadi marah. Perkara ini berlanjutan sehinggalah kerajaan Phibun jatuh dan digantikan dengan Sarit Thanarat.[15]
4.2 Tahun 1957-1980
            Sarit Thanarat telah melakukan kudeta sehingga memaksa Phibun turun daripada pemerintahan. Perlembagaan dan polisi telah diubah dan Sarit melihat institusi pondok sebagai langkah berkesan bagi mengawal penduduk Islam di selatan Thailand. Pondok telah diwajibkan untuk berdaftar dengan kerajaan. Peringkat awal, sistem pengajian pondok diberi kebebasan dan sekitar tahun 1961, sukatan pelajaran mula ditetapkan oleh kerajaan. Pada 1960-an.
Langkah kerajaan adalah bertujuan bagi menyamaratakan bilangan penduduk Islam dan Buddhis di kawasan tersebut. Pada tahun 1966, kerajaan telah dipegang oleh Thanom. Beliau telah mengambil langkah drastik dengan mengharamkan penubuhan pondok serta pondok sedia ada perlu ditukar menjadi sekolah. Bahasa rasmi perlu menggunakan bahasa Thailand dan pelajar beragama Buddha bebas memasuki pondok yang telah diubah menjadi sekolah itu. Perkara ini telah menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati kerana daulat Islam seolah-olah tercemar dengan tindakan beliau.
Tahun 1973 menjadi titik tolak kepada kerajaan Thai yang dipimpin oleh generasi muda yang berusaha menuntut kemerdekaan dan hak yang adil daripada golongan pemerintah. Antara kumpulan-kumpulan yang muncul adalah Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Pattani, Barisan Revolusi Nasional dan Pertubuhan Pembebasan Pattani. [16] Selepas tahun 1975, masalah antara kedua-dua pihak masih berlarutan kerana bagi masyarakat Pattani, agama Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan daripada politik. Hak-hak mereka sebagai rakyat Thailand masih dinafikan dan kemodenan hanya dinikmati oleh penduduk yang tinggal di wilayah utara khususnya Bangkok.






5.0 RUMUSAN
            Jika dilihat secara keseluruhan, tidak dinafikan bahawa pemerintahan tentera adalah jauh lebih baik daripada pemerintahan sistem beraja Thailand. Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan beraja harus dipuji kerana berjaya mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan Thailand. Kerajaan tentera telah cuba membawa masuk demokrasi dalam pentadbiran dan juga melakukan pembaharuan demi pembaharuan ke atas Thailand. Sepanjang  tahun 1932 sehingga 1980-an, sebenarnya keadaan politik tidak stabil sehingga berlakunya 15 kali rampasan kuasa, 14 kali pilihanraya dan 13 perlembagaan. Walaupun begitu, pemerintahan tentera dilihat berjaya menstabilkan ekonomi dan sosial masyarakat Thailand. Namun, perkara tersebut dilihat hanya memihak kepada masyarakat yang berada di utara Thailand. Segala pemodenan dan pembangunan tidak mengalir ke bahagian selatan Thailand kerana masalah budaya, agama dan politik. Kesimpulannya, tentera sememangnya merupakan elemen pemodenan yang bertanggungjawab membawa pembaharuan dan pembangunan Thailand antara tahun 1946 sehingga 1980-an. Walaupun pemodenan yang dilakukan adalah bersifat tertumpu ke arah pusat negara tetapi perkara itu telah membuka mata ramai pihak kepincangan yang dimiliki oleh kerajaan terdahulu.





BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad. Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan         Pustaka, 1991.
Corrine Phuangkasem. Thailand and SEATO. Bangkok: Thai Watana Panich CO., LTD, 1973.
Girling, John L. S. Thailand, Society and Politics. Ithaca: Cornell University Press, 1981.
Hirsch, P. Devolopment Dilemmas in Rural Thailand. Singapore: Oxford University Press, 1990.
James C. Ingram. Economic Change In Thailand (1850-1970). California: Stanford University       
            Press, 1983.
Kobkua Suwannathat – Pian. Kings, Country, and Constitutions, Thailand’ s Political
           Development, 1932-2000.
London : Reotledge Curzon, Analysis of Thai Constitution,  
            2003.
McCargo, Duncan. Tearing apart the land : Islam and legitimacy in Southern Thailand.     Singapore: NUS Press, 2009.
Mokarapong, Thawatt. History of The Thai Revolution. Bangkok: Chalermnit, 1972.
Muhammad Halib & Tim Huxley. An Introduction To Southest Asian Studies. London:   
            Tauris Academic Studies, London. 1996.
Suksamaran, Somboon. Military Elite in Thai Politics. Singapore: Institute of Southeast Asian       Studies, 1984.
Wyatt, David K. Thailand: A Short History. Chiangmai: Silkworm Books, 1991.
Zakaria Haji Ahmad & Harold Crouch. Military-Civilian Relations in South-East Asia.
             Singapore: Oxford University Press, 1985.


[1] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991. hlm 70-71.
[2] Zakaria Haji Ahmad & Harold Crouch. Military-Civilian Relations in South-East Asia. Singapore: Oxford University Press, 1985. Hlm 295.
[3] Kobkua Suwannathat-Pian. Kings, Country and Constitutions: Thailand’s Political Development.
New York: RoutledgeCurzon, 2003. Hlm. 12.
[4] Kobkua Suwannathat – Pian. Kings, Country, and Constitutions, Thailand’ s Political Development, 1932-2000.   London : Reotledge Curzon, Analysis of Thai Constitution, 2003. Hlm. 14.
[5] Corrine Phuangkasem. Thailand and SEATO. Bangkok: Thai Watana Panich CO., LTD, 1973. Hlm. 48.
[6] Corrine Phuangkasem. Thailand and SEATO. 1973. Hlm. 49.
[7] Abu Talib Ahmad. Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
Hal. 226.
[8] Corrine Phuangkasem. 1973. Thailand and SEATO.  Hlm 48- 49.
[9] Corrine Phuangkasem. 1973. Thailand and SEATO.  Hlm  49.
[10] Hirsch, P. Devolopment Dilemmas in Rural Thailand. Singapore: Oxford University Press, 1990. Hlm. 50.
[11] James C. Ingram. Economic Change In Thailand (1850-1970). California: Stanford University Press, 1983. Hlm.          
    261.
[12] Muhammad Halib & Tim Huxley. An Introduction To Southest Asian Studies, London : Touris Academic Studies. 1996. Hlm. 199.
[13] James C. Ingram. Economic Change in Thailand (1850-1970), California: Standford University Press, 1983.  Hlm.
     261.
[14] Wyatt, David K. Thailand: A Short History. Chiangmai: Silkworm Books, 1991. Hlm. 290-297.
[15] John L. S. Girling, Thailand, Society and Politics. Ithaca: Cornell University Press, 1981. Hlm. 23.
[16] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Hlm.  289.

Ulasan

Catatan Popular