Soalan: bincangkan peranan sejarah dalam hubungan Bangkok-patani antara 1902 hingga 1990- an.



Soalan: bincangkan peranan sejarah dalam hubungan Bangkok-patani antara 1902 hingga 1990- an.
1.0       Pendahuluan
Sejarah adalah sesuatu yang telah peristiwa berlaku yang membawa kepada perubahan dari segala aspek yang membentuk sesuatu yang baru. Hal ini membawa kepada penerokaan peranan sejarah dalam hubungan Bangkok-Patani yang memperlihatkan kepada kita bahawa sejarah itu menggambarkan perubahan yang terjadi pada hari ini adalah kesan peninggalan masa lalu. Semenanjung Tanah Melayu mempunyai dua bahagian iaitu utara dan selatan iaitu di bahagian utara terdapat kawasan Segenting Kra hingga sempadan jajahan Setul Singgora, Yala dan Bangnara dan segala jajahan ini tertakluk kepada kerajaan Siam atau Thailand. Sebilangan  penduduk di utara semenanjung ini adalah orang Siam-Thai kecuali enam buah jajahan iaitu Setul, Carak, Tiba, Patani,Yala dan Bangnara yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.[1]  Manakala bahagian selatan terdapat beberapa buah kerajaan Melayu pada hari ini iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan sebagainya. Pembangunan negeri Patani memperlihatkan bahawa Patani merupakan sebuah kerajaan orang-orang Siam-Asli yang pemerintahannya berpusat di daerah Perawan, asalnya Patani ini adalah daripada sebuah kampung yang didiami oleh seorang nelayan Melayu Tua yang bernama “Tani”, beliau seorang yang baik budi bahasanya dan beliau menjadi ketua nelayan di kampung tersebut, semua masyarakat disitu menggelarkannya “Pak Tani” sehingga tempat tersebut diambil sempena nama beliau dan dijadikan Patani. Setelah kawasan tersebut menjadi kota ianya ditadbir oleh Raja Seri Wangsa. Orang-orang Arab yang berniaga disitu juga menyebut tempat tersebut “Fathoni”. Bagi Bangkok pula ianya didirikan oleh Raja Rama pertama iaitu Phra Puttu Yu’ Fa Chula Lok yang berketurunan Maha Chakri pada tahun 1782 setelah berlakunya pembunuhan Raja Siam-Thai Phya Tak Sin oleh panglimanya sendiri iaitu Raja Rama pertama tersebut.[2]  Hubungan Bangkok-Patani ini terjadi disebabkan Pemerintah Thai-Siam atau Bangkok ini berperasaan ingin menakluki Patani sejak tahun 1603 Masihi lagi. Sejarah memperlihatkan bahawa pemerintah Thailand dahulu mahu menakluki Patani yang merupakan sebuah negeri yang makmur, kaya dengan hasil buminya, perniagaan dan perdagagan yang maju dan juga mahu menghapuskan orang Melayu kerana kebencian mereka terhadap masyarakat Melayu Patani. Terdapat pelbagai peristiwa sejarah yang boleh dikaji sebelum tahun 1902 hingga 1990 memainkan perananya dalam hubungan Bangkok-Patani yang memperlihatkan kegemilangan sebuah kerajaan Patani yang kuat jatuh ketangan Bangkok.

2.0       Sejarah Kegemilangan Kesultanan Patani Semasa Pemerintahan Empat Ratu Dan  Sikap Para Pedagang Barat Serta Ancaman Siam.
Kegemilangan kesultanan Patani bermula dengan Pemerintahan Empat Ratu yang menjalankan pemerintahan dan pentadbiran yang menjadikan Patani sebuah negara yang maju dan makmur dari aspek perdagangannya hingga menjadikan Patani terkenal dalam kalangan para pedagang barat. Seperti yang dijelaskan oleh Ahmad Fathi al-Fatani pada tahun 2001 dalam Ghosts of the Past in Southern Thailand yang diselenggara oleh Patrick Jory. Kegemilangan ini dikatakan selari dengan pengembangan perdagangan barat dengan negara-negara Timur.  Pada tahun 1538, terdapat 300 Portugis yang tinggal di Patani bagi tujuan perdagangan.[3] Empat Ratu yang terkenal dan mereka menjalinkan hubungan dengan negara barat dan penentangan yang diterima iaitu bermula dengan Ratu Hijau (1584-1616), Patani menjalinkan hubungan dengan Belanda dan Inggeris, Ratu Biru (1616-1624) memperlihatkan persaingan Inggeris dengan Belanda di Patani, Pemerintahan Ratu Ungu (1624-1635) menunjukkan Patani diserang oleh Siam dan Belanda dan Ratu Kuning (1635-1686) Patani membina hubungan dengan Johor. Bermula dengan pemerintahan Ratu Hijau ini menjadikan Patani sebuah negara yang aman dan penuh kemakmuran dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakyat dan kejayaan cemerlangnya iaitu meningkatkan lagi keagungan Kerajaan Islam Patani, beliau amat dikasihi rakyatnya serta terkenal dalam kalangan ngara-negara Asia Hingga Eropah.
Sejak pemerintahan Ratu Hijau lagi Siam mahu menakluki kekayaan Patani,  Raja Siam Naresuan (1590-1605) telah mendaratkan armadanya yang diketuai oleh Opya-Deca namun cubaan ini gagal kerana mendapat tentangan hebat oleh orang-orang Melayu Islam Patani dengan bantuan para pedagang asing dengan pengenalan penggunaan senjata api. Siam mengambil kejadian kekalahan ini sebagai pengajaran lalu mereka bertindak memiliki senjata api lalu membelinya di Patani dan senjata api ini juga menjadi permintaan utama dikalangan peniaga Jepun. Terjadinya hubungan Patani-Belanda semasa pemerintahan Ratu Hijau, bermula dengan penjajahan Portugis ke atas Melaka pada 1511 iaitu bermulanya pertapakan orang-orang Eropah ke atas Asia tenggara. Syarikat Hinda Timur Belanda atau V.O.C Vereebidge Oost-Indishe Componie yang ditubuhkan pada 20 Mac 1601 mewujudkan beberapa siri pelayaran yang dilakukan sekitar 1595-1601 bagi mendapatkan bahan-bahan mentah disamping membendung kegiatan Portugis di rantau Asia Tenggara.[4] Masyarakat Patani telah mempunyai kesedaran bahawa orang Barat mempunyai tujuan mereka yang tersendiri apabila menjalinkan hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara iaitu samaada memberikan bantuan ataupun menyebabkan malapetaka. Sememangnya wujud kebencian antara para pedangang ini iaitu Portugis amat membencikan pedagang Belanda kerana mereka merasai kedatangan Belanda akan merosakkan dasar perniagaan mereka dengan bangsa-bangsa Asia.[5] Selain itu juga, perasaan tidak puas hati ini berlanjutan kepada kedatangan Inggeris ke Patani iaitu melalui sebuah kapal “The Globe” yang diketuai oleh Anthony Hips, Belanda dan Portugis tidak berpuas hati dengan kedatangan Inggeris ini
Pemerintahan Ratu Biru menggantikan Ratu Hijau yang mangkat pada 1616 pada usia 63 tahun tidak membawa banyak perbahan dalam pentadbiran. Baginda hanya menyusun kembali pentadbiran istana dan menguruskan Terusan Tambangan yang mempunyai masalah air yang deras. Namun, sikapnya yang berhati-hati dan mementingkan keselamatan Patani menyebabkan baginda menjalankan urusan membuat bedil meriam-meriam besar daripada tembaga kuning dan tukang yang membuat meriam itu merupakan seorang bangsa Cina yang telah memeluk Islam yang bernama “Tok Khiam”, pembuatan meriam ini adalah bertujuan untuk persediaan menentang musuh-musuh Patani seperti Siam. Ratu Biru amat berwaspada dengan Siam kerana kekuatan Siam lebih berganda kerana mereka memiliki pelbagai jenis senjata api dan meriam-meriam yang dibelinya semasa pemerintahan Raja Hijau.[6] Pembuatan bedil meriam  ini menjadi peristiwa sejarah yang besar kepada kerajaan Melayu Patani. Terhasilnya tiga pucuk meriam besar iaitu dinamakan Seri Negara, Seri Patani dan Maha Lela dan diletakkan diatas roda pedati sebagai alat senjata peperangan. Semasa pemerintahan baginda juga peperangan telah berlaku antara Belanda dan Inggeris. Belanda melancarkan serangan terhadap Inggeris hingga Inggeris keluar dari Patani pada 1623 kerana kapal Inggeris Simpson dan Hound dibedil oleh kapal-kapal Belanda semasa mereka tiba di Kuala Patani 17 Julai 1619, kapal Inggeris tersebut memuatkan pelbagai barang dagangan, setelah ditewaskan mereka ditawan dan segala harta dirampas Belanda menyebabkan mereka kerugian dan bertindak mengundur dari Patani. Belanda mulai rasa selesa kerana persainganya telah keluar. Sikap Belanda juga tidak dapat diduga iaitu semasa tahun 1634, Belanda merancang dengan Siam untuk memusnahkan Patani dan menaklui Patani, Siam telah memberi Belanda kawasan untuk memonopoli gaharu dan cendana sebagai balasan membantu Siam membedil Patani dari jalan laut, namun Belanda datang lewat semasa pertempuran berlaku, Siam yang menerang dari darat kalah dipukul mati oleh orang Patani dengan gagah.[7]
Seterusnya ialah pemerintahan Raja Ungu iaitu permaisuri yang menggantikan kakandanya Ratu Biru, baginda juga merupakan bekas permaisuri Sultan Abdul Ghafur Pahang, semasa pemerintahannya baginda merapatkan hubungan Patani dengan negeri-negeri Melayu semenanjung yang berkerajaan Islam yang bersikap memusuhi Siam yang akhirnya membawa kepada peperangan besar.[8] Strategi awal Ratu Ungu pada tahun 1631 ialah, Baginda telah menghantar tentera Islam Patani menyerang Patalung yang bersempadan dengan Ligor, Thailand dan berjaya menawan dua buah kapal Siam yang sedang dalam pelayaran menuju ke Betawi. Perwakilan kerajaan Siam dihantar untuk memujuk Ratu Ungu mengembalikan dua buah kapal mereka. Tetapi Ratu Ungu berkeras dan mengutuk serta mengecam hebat Raja Siam sebagai pembunuh, pengkhianat, penjahat dan tidak layak memakai takhta Kerajaan Siam. Kecaman tersebut disampaikan kepada Raja Siam Prasat Tong melalui wakilnya Antonij Caen. Kebencian Raja Siam terhadap Patani bertambah meluap-luap. Sikap Belanda juga tidak dapat diduga iaitu semasa tahun 1634, Belanda merancang dengan Siam untuk memusnahkan Patani dan menaklui Patani, Siam telah memberi Belanda kawasan untuk memonopoli gaharu dan cendana sebagai balasan membantu Siam membedil Patani dari jalan laut, namun Belanda datang lewat semasa pertempuran berlaku, Siam yang menerang dari darat kalah dipukul mati oleh orang Patani dengan gagah.[9] Serangan ketiga masih mahu dilakukan oleh Patani kepada Siam, Siam memohon bantuan Belanda lagi, namun Belanda bersikap acuh tidak acuh tetapi disebabkan polisi hubungn diplomatik Siam-Holland lalu mereka bersetuju membantu Siam, tetapi terdapat campurtangan Sultan Rijaluddin Muhammad Syah yang pergi ke Ayuthia menasihati Raja Siam Prasat Tong agar mengirim wakil perdamaian dengan Patani, hal ini memperlihatkan bahawa Siam sekali lagi kalah pada Patani. Namun Ratu Ungu enggan memaafkan Siam dan engan menghantar bunga emas. Belanda campurtangan lalu menyebabkan Ratu Unggu mengirim perutusan rasmi memulihkan kedua-dua kerajaan tersebut.
Pemerintahan seterusnya oleh Ratu Kuning, baginda mempunyai keperibadian yang baik disebabkan sikapnya yang tidak membelanjakan hasil dari cukai kerajaan yang diterimanya, namun gigih berusaha menghasilkan produksi hasil tanaman bunga dan sayur-sayuran dan keuntungan inilah yang dibelanjakan. Baginda turut menubuhkan Sebuah Syarikat Perkapalan Raja Patani unuk meningkatkan taraf perdaganagn ekonomi antarabangsa. Baginda juga mengadakan hubungan kebudayaan Melayu  dengan Johor. Namun telah berlaku kemerosotan kegemilangan empayar Melayu Islam. Hal ini berlaku kerana sikapnya yang mahu berbaik-baik dengan Siam, kemuliaan hatinya menggangu urusan pentadbiran disebabkan kurangnya tumpuan, pengkhianatan suaminya dengan penari istana Johor membuat baginda mendapat tekana psikologi. Pertahanan negeri menjadi lemah dan mendedahkan Patani kepada ancaman musuh tradisinya. Tahun 1671-1679 memperlihatkan bahawa Siam telah menggempur Patani semasa Patani menghantar perwakilannya mengakibatkan Ratu Kuning Berundur ke Kota Jambal, maka berakhirnya zuriat pemerintahan Raja Seri Wangsa iaitu pengasas utama yang mendirikan Kerajaan Islam Patani.[10]

3.0       Sejarah Kemerosotan dan Kejatuhan Patani Akibat Penjajahan Siam dan Berakhirnya Empayar Melayu Islam Patani.
Menurut Arrifin, La’umen dan Suhaymi dalam Sejarah Patani pada 2007-2009 yang diambil daripada penyelenggaraan Patrick Jory iaitu zaman keemasan Patani dan kedaulatan Patani secara beransur-ansur telah berakhir sekitar pertengahan abad ke-17 apabila keluarga Raja Seri Wangsa selepas Raja Kuning tiada lagi warisnya dan takhta Patani bertukar kepada keturunan raja-raja Kelantan. Pertukaran takhta kerajaan kepada kaum kerabat raja Kelantan menjadikan pentadbiran Patani tidak teratur dan kucar-kacir disebabkan penghijrahan masyarakat Melayu Kelantan ke Patani secara beramai-ramai. Interaksi antara masyarakat Patani dan masyarakat Melayu Kelantan di selatan telah menimbulkan isu-isu kebangkitan nasionalis dan ahli poltik kerana ianya menyentuh soal persempadanan negara dan masyarakat. Namun melalui petikan yang ditulis oleh Kapten Inggeris Alexander Hamilton, pada 1718 peniaga yang datang dari Tonkin, China, Siam dan Asia Selatan yang menjalankan aktiviti perdagangan di Patani berkeadaan selamat dan aman. Hamilton berkata, hal tersebut memperlihatkan bahawa walaupun Patani sudah semakin merosot tetapi disebabkan pengekalan monarki beraja yang masih wujud, maka ketaatan masih berlaku hingga munculnya nasionalisma Patani dalam arus masa yang sama pada tahun 2000.
Sekali lagi diperlihatkan bahawa sejarah masa lampau mempunyai perkaitannya dengan masa kini. Zaman perikatan raja-raja Patani dengan penaklukan yang berlaku kepada Patani, penubuhan pentadbiran yang dijalankan oleh kaum kerabat diraja Kelantan boleh memberi justifikasi bersejarah yang membawa satu bentuk pengubahsuaian kepada perwujudan nasionalis-nasionalis Patani, terutamanya berikutan permusuhan yang berlaku disebabkan oleh kerjasama Malaysia dengan Thailand dalam operasi keselamatan yang dijalankan terhadap mereka pada tahun 2000, iaitu keinginan Kelantan untuk berpisah dari Malaysia dan menyertai Patani sebagai sebuah negeri.
Abad ke-17 dak ke-18 memperlihatkan bahawa kemerosotan ekonomi dan gangguan politik yang terjadi kepada Patani tidak menamatkan kosmopolitan dan bahasa dalam Patani. Sejak terjadinya hal tersebut, kesusasteraan, kelas-kelas agama dan rangkaian sekolah-sekolah Islam telah ditubuhkan bagi penyebaran intelektualisma Islam. Kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat Patani semakin meluas dan bahasa Arab telah membuatkan masyarakat Patani lebih terikat kepada dunia Arab. Terdapat ulama Islam Sunni yang menuturkan bahasa Melayu dan bahasa Arab kerana sebahagian dari mereka ialah permastautin di Arab Saudi dan mereka inilah yang menjadi tulang belakang kepada rintangan dan serangan yang datang daripada musuh tradisi Patani iaitu Siam.[11]
Musuh utama Patani adalah Thailand yang merupakan penganut agama Buddha yang yang sangat bencikan masyarakat Islam Melayu patani, sejak pemerintahan Ratu Hijau lagi pada 1616 mereka telah cuba menakluki Patani. Patani mengalami kekalahan pertama kali pada siam menurut Ibrahim Syukri dalam Sejarah Kerajaan Melayu Patani pada abad ke-18 semasa pemerintahan Sultan Mahmud kekalahan ini bererti Kerajaan Melayu Patani hilang kemerdekaan dan terhapusnya kedaulatan raja-raja Melayu yang dikuasai selama beratus-ratus tahun. Maka melalui penaklukan inilah raja Siam-Thai ingin memperhambakan rakyat jelata Patani. kekalahan ini berpunca daripada rahsia pertahanan dan kekuatan orang-orang Melayu telah pecah dibuka oleh Nai Chan Tung yang mengkhianati Sultan Mahmud kepada panglima Siam-Thai, Sultan Mahmud telah mangkat dalam peperangan, kelengkapan alat senjata Melayu tidak memadai dan kekuatan perang orang-orang Siam lebih banyak dari orang Melayu.[12]

4.0       Sejarah Penaklukan Dan Penindasan Penjajahan Siam Ke Atas Patani
            Reformasi pentadbiran Bangkok terhadap wilayah-wilayah naungan Thailand telah berlaku pada akhir abad ke-19. Kebimbangan pihak Siam terhadap imprialisme barat yang sedang berlumba-lumba meluaskan kawasan jajahan di rantau ini mengakibatkan penubuhan Kementerian Dalam Negeri dan perlantikan Putera Damrong Rajanubhad sebagai menterinya dan tugasnya adalah memperbaharui corak kementeriannya dari segi pentadbiran, sistem perundangan dan cukai perbendaharaan di negeri-negeri Melayu utara. Baginda telah mengubah sistem pemerintahan kepada sistem Theshapiban. Sistem ini  menjadikan pentadbiran wilayah dan negeri akan disusun semula dan dikumpulkan menjadi satu unit yang dikenali sebagai Monthon. Gabenor Wilayah atau Raja Negeri adalah tanggungjawab persuruhjaya tinggi dan mereka tidak berkuasa terhadap kakitangan bawahan. Peraturan 1899 ini bertujuan untuk melumpuhkan kekuasaan gabenor wilayah dan menguatkan cengkaman terhadap kerajan pusat di Bangkok supaya kuasa pentadbiran wilayah dan negeri naungan dapat dikawal, terutamanya daripada gangguan penjajah asing dari barat.
Selepas itu, terdapat banyak lagi perubahan yang dijalankan oleh pentadbiran Bangkok yang membuatkan Patani resah. Sehingga pada tahun 1902 pemberontakan menentang Siam telah dijalankan oleh umat Islam Patani yang sebelum itu dijalankan oleh Tengku Abdul Kadir iaitu Kerajaan Siam cuba menghapuskan segala kebudayaan orang Melayu Patani yang beragama Islam itu bersabit dengan undang-undang atau hukuman keadilan, jenayah, harta benda dan lain-lain, Siam cuba melaksanakan ajaran Islam dalam kalangan umat Islam Patani, melalaikan hukuman orang Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat, pegawai-pegawai Siam yang memperkosa anak-anak gadis Islam, percampuran pesuruhjaya Siam dalam urusan kutipan cukai bagi tujuan menghantar ufti Bunga Emas ke Bangkok dan Pesuruhjaya Siam mengenakan paksaan terhadap pebayaran cukai garam sebanyak $6,000 atau $7,000 setahun. Bangkangan ini disuarakan oleh raja-raja Melayu Reman, Patani, Legeh dan Teluban. Berdasarkan faktor-faktor inilah berlakunya pemberontakan menentang Siam. Penentangan yang dilakukan ini telah menyebabkan penahanan raja-raja Melayu Patani disebabkan ketidakpuasan hati mereka daripada pegawai-pegawai Siam yang semakin keterlaluan. Pada awal Januari 1902, Tengku Abdul Kadir merayu kepada Gabenor Swettenham supaya mempengaruhi Kerajaan Great Britain agar campurtangan dalam masalah Patani dan melepaskannya dari cengkaman Siam, jika tidak mereka akan memberontak dengan mendapatkan kuasa Eropah yang lain namun ianya tidak berjaya kerana campurtangan Swettenham dan R. W Duff yang berpihak kepada Siam.[13] Tengku Abdul Kadir telah ditangkap akhirnya atas tuduhan bermuafakat dan menderhaka kepada Siam serta melengkapkan senjata untuk memberontak dan dikatakan merupakan Raja Melayu paling merbahaya dan telah dijatuhakan hukuman 10 tahun penjara di Pitasuloke, baginda dikatakan disiksa dan diikat dalam penjara besi dan disumbatkan ke penjara gelap. Pada Mac 1902 dengan rasminya jawatan baginda dilucutkan dan berakhirlah pemerintahan Raja Melayu Kerajaan Patani Darul Maarif dan kemudian penangkapan Raja Legeh Tengku Ngah Samsudin, Raja Teluban dan Raja Reman Tuan Lebeh Long Raya. Penangkapan mereka ini membuatkan kebencian umat Islam Patani dan umat Islam Kelantan yang bersaudara dengan Patani kerana sejarah hubungan keluarga antara Patani-Kelantan begitu kuat terutamanyaRaja Patani Tengku Abdul Kadir Kamaruddin adalah besan Sultan Muhammad (1900-1920) yang memerintah Kelantan. Pelbagai pihak yang mengancam tindakan ganas pihak Siam serta bersimpati terhadap nasib Raja Patani, kerabat diraja Kelantan dan akhbar-akhbar turut mendesak kerajaan Inggeris supaya campurtangan dan membebaskan Raja Patani daripada Siam dan mengambilalih pentadbiran Patani dari Siam. Akhbar Malay Mail menyiarkan tajuk utama berjudul ‘Special Telegram-Siam in Patani. Raja Kidnapped. Serious Troubel Feared’.[14]

5.0       Sejarah Penyatuan Umat Islam Patani Kesan Daripada Penindasan Siam 1909-1990
Walaupun Patani hilang kemakmuran selepas zaman empat ratu, tidak bererti Patani mundur di dunia Islam, kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Siam telah menjadikan Patani matang pada pucuk pimpinan keislamannya dan menjadikan patani kini sebagai salah satu pusat intelektual di Asia tenggara, pelbagai permodenan yang dilakukan terhadap mereka seperti dasar  Rathinyom pada abad ke-20 atau pun pengasimilasian adat Thailand seperti pengharaman bahasa Melayu dan hanya bahasa Thai sahaja menjadi bahasa rasmi, pemakaian dan budaya masyarakat Melayu patani berubah kepada pemakaian Eropah dan dari aspek ekonomi masyarakat Melayu Patani terpaksa membayar cukai sedangkan mereka kurang pekerjaan, malah diarah kerja kerah membina istana Putera Damrong. Dari aspek pendidikan juga mereka turut diharamkan penggunaan Bahasa Melayu, pengajaran Al-Quran dan Bahasa Arab, institusi pondok juga perlu mengikut silibus kerajaan Thailand. Hal ini mengakibatkan masalah hubungan antara Bangkok dan Patani yang berlarutan akibat penghapusan sistem pondok dan dasar Rathinyom yang menindas masyarakat Patani. Patani pada tahun 1932, berlaku pemberontakan merampas kuasa Bangkok yang dijalankan oleh “Kumpulan Rakyat” yang terdiri daripada pegawai tentera dan juga pemimpin-pemimpin kaum Islam seperti Haji Abdul Wahab dan Haji Shamsudin Mustafa. Tujuan mereka untuk mengubah cara pemerintahan autokrasi kepada demokrasi(kedaulatan rakyat).
Pada 1933, Siam telah memansuhkan Manthon dan ini menjadikan Patani semakin terpisah dengan negeri-negeri semenanjung Tanah Melayu dengan menjalankan sistem demokrasi yang menaikkan rasa semagat kebangsaan Siam. Semasa tahun 1943, Phibul Songgram menjalankan dasar mensiamkan orang-orang Melayu secara lebih meluas dipanggil “ Greather Siam”  dan memansuhkan jawatan Qadi Islam di Patani pada 1944 di wilayah Yala, Patani, Narathiwat dan Setul serta membatalkan undang-undang Islam berkenaan nikah cerai dan harta pusaka, segala undang-undang sivil  berkenaan Islam mesti diputuskan oleh mahkamah Siam. Dua tahun ini memperlihatkan Islam semakin genting, lalu ahli-ahli ulama yang diketuai oleh Haji Sulong Bin Abdul Kadir mendirikan Pertubuhan Islam Patani iaitu “Hai’ah al-Nafz al-Ahkam al-Syar’iah” yang bertujuan memperkemaskan kerjasama ketua-ketua agama yang mempertahankan gerakan Siam yang hendak mensiamkan orang-orang Melayu dan mencabul agama Islam.[15]
Pada 1947, pertubuhan Semangat Patani telah ditubuhkan  dam Tuan Haji Sulong telah menjadi Pengerusi dan mereka mengeluarkan bantahan terhadap Prodi Phanomyong, bantahan ini berdasarkan kehidupan masyarakat melayu yag ditindas pegawai siam, mereka ditangkap dan dihukum mati, disamping itu perbuatan rasuah, penipuan dan penyelewengan seringkali diberitakan di sekitar Patani. Akibat daripada itu Haji Sulong ditangkap dan dipenjarakan bersama anaknya. Penahanan ini menaikkan semangat para penyokong berjumlah 300 orang penyokong yang berkumpul di hadapan balai polis pada 19 Januari. Perang dunia kedua mencetuskan kesedaran nasionalisme yang padu, GEMPAR iaitu Gabungan Melayu Patani Raya telah ditubuhkan pada 1 Mac 1948 yang didaftarkan dibawah badan kebajikan yang bertujuan memperjuangkan politik pembebasan menuju cita-cita agama, bangsa dantanah air. Antara tokoh-tokohnya ialah Tuan Haji Sulong, Tengku Abdul Jalal, Tengku Ismail dan ramai lagi. GEMPAR menerima sokongan dari KERIS atau Kesatuan Rakyat Indonesia, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan banyak pertubuhan lagi. GEMPAR telah menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu supaya Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Hak Kebebasan Awam serta mengutuk pentadbiran pemerintahan Thai yang memerintah menerusi kuasa tentera dan polis. GEMPAR menggesa penangguhan pengiktirafan kerajaan Thailand yang baru dan sokongan-sokongan lain dari Pertubuhan Negara-negara Asia dan Asia Tenggara, Negara-negara Liga  Arab, Indonesia, Pakistan dan India.[16]
Menjelang kejatuhan rejim Sarit Thannarat pada Disember 1963, muncul perkembangan politik terbaru umat Islam pada 1964  iaitu muncul kegiatan kebajikan Islam di kota Bangkok iaitu Persatuan Belia Islam Thailand atau Young Muslim Assosiasion of Thailand, perjuangan golongan muda lepasan university ini menarik minat ramai pelajar dan pemuda Islam berpolitik, termasuk di wilayah-wilayah Patani. tujuan utama organisasi adalah untuk menyatupadukan persatuan dan pertubuhan Islam dalam Thailand dan menyatukan ketetapan aktiviti selaras dengan pergerakan Islam sejagat. Pada 9 Oktober 1970, tertubuhnya Barisan Nasional Pembebasan Patani atau National Front Liberation of Patani iaitu hasil pergabungan tiga pertubuhan iaitu GEMPAR, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Patani United Liberation Organization (PULO). Pertubuhan ini telah banyak melancarkan serangan gerila dibawah komandan Pok Yeh Dureh Madiyoh) atau Pak Yeh yang sangat ditakuti oleh tentera dan polis Thai. Kejayaannya dalam melakukan serang hendap dan terbuka amat diberi perhatian khusus oleh pihak keselamatan Thai. [17] Tertubuhnya Barisan Bersatu Mujahidin Patani yang memperjuangkan kemerdekaan Wilayah-wilayah Islam Selatan Thai yang meliputi Patani, Yala, Naratiwat dan Senggora. Persatuan ini ditubuhkan pada 16 September 1984 yang berjuang menuntut perbebasan dan kemerdekaaan semula Negara Patani Darul Maarif disamping menegakkan Daulah Islam Patani dan melaksanakan tuntutan Allah.
Bangkok menghadapi zaman kesulitan dan pelbagai tuntutan dari sekeliling penjuru wilayah-wilayah negaranya iaitu pemberontakan Phi Bun di Wilayah Ubon, pemberontakan Ngio di sempadan utara Shan, Burma dan pemberontakan utama dari Islam Patani yang menjadi ancaman terbesar Bangkok. Umat Islam Patani memperlihatkan perkembangan bersenjata yang berpotensi mendapat kejayaan namun Bangkok mengahantar tenteranya bagi menghalang tindakan Patani. Pada 8 Februari 1980, peristiwa pengeboman perhentian kereta api dlakukan oleh pejuang-pejuang Malayu Patani  dan Bangkok menghantar Operasi Ratnachai yag bergerak jam tiga pagi bagi menghancurkan serangan PULO namun Operasi Ratnachai ini gagal mencari sasaran.[18] Seterusnya iaitu pada 2 Disember 1990, berlaku peristiwa yang amat penting di Hadyaiiaitu Parti Komunis Malaya atau PKM mengadakan perjanjian damai bagi menamatkan perjuangannya Selama 41 tahun dan mereka mengadakan upacara perletakan senjata dan ikrar taat setia PKM kepada Yang Di Pertuan Agong, Malaysia. Penyelesaian secara terhormat ini bagi mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keamanan dempadan Malaysia-Thailand. Sungguhpun begitu Thailand masih lagi mahu menentang pergerakan-pergerakan nasionalisme Patani.

5.0       Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, ini memperlihatkan gambaran peranan sejarah yang menjadi perkara penting bagi mengetahui sejarah sesebuah perjuangan rakya terutamanya masyarakat Islam Patani yang masih lagi berjuang hingga ke hari ini bagi memerdekakan negara Patani daripada cengkaman Siam. Dahulunya Patani dilihat sebuah empayar perdagangan yang cemerlang namun akhirnya setelah ditakluki Siam kerajaan Melayu Patani ini semakin merosot dan penduduknya semakin menipis, namun agama Islam menjadi teras dan tunjang pembentukan sistem intelek yang tinggi dan memupuk semangat nasionalisme yang tinggi dalam diri penduduk Patani.[19] Sejarah klasik Patani sebenarnya yang menyediakan garis panduan kepada msayarakat Melayu Patani sekarang bagi mengalahkan penjajahan Siam. Pertelingkahan Siam-Patani tidak lagi berakhir hingga ke hari ini jika menurut risalah militan Patani. Sejak Januari 2004, wilayah-wilayah Thai, Patani, Yala dan Narathiwat mempunyai masalah keganasan dan masalah politik yang sama yang mengakibatkan nyawa 7,000 orang terkorban. Hal ini menurut para ulama adalah berpunca daripada rancangan militan tempatan. Kumpulan militan yang muncul ini berusaha mendapatkan ideologi pemisah yang menekankan penindasan dan budaya Melayu dan membawa idea-idea bahawa Islam ditindas dan didera oleh Thailand. Risalah-risalah ini menjadi tanda tanya selama beberapa dekat ianya diedarkan, malahan risalah tersebut menurut Paul Handley menceritakan hal dalaman diraja. Risalah ini menjadi penyumbang kepada kefahaman mengenai keganasan, kepimpinan dan salah satu medium komunikasi masyarakat dan memperlihatkan kegunaan sejarah kepada masyarakat seperti yang dinyatakan dalam bab ke-12 Patani Militant Leaflets and The Uses of History karya Duncan MacCargo. Keamanan dan kemakmuran serta kemakmuran Patani dan Thailand tidak dapat diputuskan hingga ke hari ini dan adakah ianya akan terus bergolak atau sebaliknya kerana kedua-dua negara mempunyai peranan sejarah mereka yang tersendiri.










Bibliografi
Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani. (2002) Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patan: Sejarah dan Politik. (1993). Shah Alam: Hizbi.
Patrick Jory (peny.), Ghosts of th Past in Southern Thailand: Essays on the History and Historiography of Patani. (2013). Singapore: National University of Singapore Press.

           







               





[1] Ibrahim Syukri, 2002, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.Bab 1
[2] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, m/s 69.
[3] Patrick Jory (peny), 2013, Ghosts of the Past in Southern Thailand: Essays on the Historiography of Patani, Singapore: National University of Singapore. Chapter 9, m/s 207.
[4] Mohd. Zamberi A. Malek, 1993, Umat Islam Patani: Sejarah dan Politik, Shah Alam : Penerbit HIZBI, m/s 5.
[5] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, m/s 43.
[6] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, m/s 52.
[7] Patrick Jory (peny), Ghosts of the Past in Southern Thailand, m/s 210.
[8] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 64.
[9]  Patrick Jory (peny), 2013, Ghosts of the Past in Southern Thailand, m/s 210.
[10] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 81-82.
[11] Patrick Jory (peny), Ghosts of the Past in Southern Thailand , m/s 210-212.
[12] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, m/s 73.
[13] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 145.
[14] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 161.
[15] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, m/s 107-109.
[16] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 209.
[17] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 318-319.
[18] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, m/s 347.
[19] Patrick Jory (peny), Ghosts of the Past in Southern Thailand, m/s 224.

Ulasan

Catatan Popular