kaedah yang dilakukan perlis menghadapi tekanan siam
1.0
PENGENALAN
Negeri
Perlis yang merupakan salah satu negeri Melayu utara telah dipilih untuk dikaji
dalam tugasan ini. Kerajaan Perlis pada awalnya merupakan sebahagian daripada
Kerajaan Kedah. Pemisahan Perlis daripada Kedah telah bermula pada tahun 1770
apabila Sultan Muhammad Jiwa memberikan tiga buah daerah iaitu Kubang Pasu,
Setul dan Perlis kepada Tunku Dhiauddin sebagai ‘ubat penenang’ agar tidak
berlaku perebutan atau rampasan takhta dalam pentadbiran Kedah.[1]
Secara rasminya, Tunku Dhiauddin menjadi pembesar Perlis yang pertama. Perkara
ini merupakan satu tempoh peralihan kepada kerajaan Kedah di mana bermulalah
pengasingan kuasa pentadbiran Perlis secara tidak langsung daripada kerajaan
Kedah. Namun begitu, hal ini pada peringkat awalnya tidak menjejaskan kedudukan
Kedah sebagai kuasa pusat pemerintahan bagi daerah Perlis kerana pembesarnya
merupakan anak Sultan Kedah.
Kemunculan Perlis sebagai sebuah kerajaan
yang sendiri bermula daripada usaha untuk mengeluarkan Perlis daripada
pemerintahan Kedah apabila Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II mengurniakan
Perlis kepada Syed Hussein Jamalullail sebagai membalas jasa Syed Hussein yang
membantu Kedah menyerang balik serangan Siam-Ligor ke atas Kedah bersama-sama
Tunku Anum dan Tunku Bisnu.[2]
Penaklukan Siam di Kedah pada 1821 hingga 1841 telah mengecilkan wilayah Kedah
dengan tujuan melemahkan kekuatan Kedah. Kewujudan Perlis sebagai sebuah negeri
selepas tempoh tersebut akhirnya benar-benar terjadi. Negeri lain yang wujud
ketika itu juga ialah Setul dan Kubang Pasu. Namun negeri-negeri ini tidak
bertahan sebagai sebuah kerajaan sendiri seperti Perlis kerana tidak berjaya
menghadapi tekanan daripada Siam mahupun Kedah. Tunku Bisnu yang menjadi
pemerintah Setul ketika tempoh penaklukan Siam, terpaksa melepaskan takhta
selepas negeri tersebut diambil alih secarang langsung oleh Siam pada awal
kurun ke-20. Negeri Kubang Pasu dibawah Tengku Anum pula terpaksa diserahkan
semula kepada Kedah setelah Tengku Anum meninggal dunia.[3]
Siam telah banyak memberikan tekanan
kepada Kedah yang secara tidak langsung tekanan ini mempengaruhi pemerintahan
Perlis semasa Perlis masih lagi berada di bawah Kedah. Selepas Perlis menjadi sebuah
kerajaan baru yang terpisah daripada Kedah pada tahun 1841, pemerintah Perlis
seperti sedar bahawa mereka pasti akan menerima tekanan secara langsung
daripada Kerajaan Siam. Begitu juga dengan kerajaan Kedah yang tidak mugkin akan
berdiam diri dan ingin merampas kembali penguasaan negeri Perlis berada dibawah
kerajaan Kedah seperti sebelum ini.
Oleh hal yang demikian, kaedah yang
terbaik bagi mengelakkan tekanan langsung daripada Siam dan menjaga kedaulatan
negeri Perlis yang baru sahaja berkerajaan sendiri perlu dilakukan oleh
pemerintah-pemerintah Perlis. Perlis telah melakukan beberapa kaedah atau
langkah bijak bagi menyelesaikan hal ini teutamanya dalam menjaga hati Maharaja
Siam melalui hubungan baik dengan kerajaan Siam yang secara tidak langsungnya
turut berjaya menyekat hasrat Kedah untuk menguasai semula Perlis. Pelbagai
kaedah lain juga digunakan oleh Perlis bagi memastikan mereka tidak akan
menerima tekanan daripada kerajaan Siam dan juga mengelakkan Kedah daripada
mencampuri urusan pentadbiran negeri Perlis yang sentiasa berusaha untuk
mendapatkan kemnbali Perlis sebagai wilayah di bawah Kedah. Hal ini merupakan
perkara yang dibincangkan dalam tugasan ini.
2.0 ISI
Kaedah yang digunakan oleh Perlis
dalam menghadapi dan menangani tekanan daripada Siam ialah dengan membayar ufti
dalam bentuk bunga emas dan perak. Perlis dikatakan tidak pernah ketinggalan
dalam menghantar bunga emas dan perak kepada Siam. Langkah ini sangat penting
bagi negeri Perlis untuk menampakkan Perlis sebagai sebuah negeri naungan Siam
yang unggul. Melalui kaedah ini juga, Perlis dapat mengelakkan serangan
daripada Siam atas dasar tiada alasan bagi Siam untuk menyerang Perlis
sebagaimana yang pernah dilakuakan oleh Siam ke atas Kedah pada 1821.[4]
Perlis telah menghantar tidak kurang
daripada 20 buah bunga emas dan perak pada setiap tiga tahun bermula dari tahun
1841 hingga 1909. Bayaran ufti bunga emas dan perak ini menjadi satu
kepentingan atau agenda utama bagi kerajaan Perlis. Salah satu pendapatan wang
untuk membiayai bunga emas dan perak ini ialah dikutip daripada rakyat lelaki
dewasa.[5] Pembayaran
bunga emas dan perak ini sebenarnya telah menyebabkan ekonomi Perlis turut
terjejas. Perlis pernah hampir muflis menjelang awal abad ke-20. Seorang
pelawat asing iaitu W.W. Skeat yang melawat negeri Perlis ketika dalam satu
ekspedisi pada tahun 1900, telah menyatakan bahawa jumlah hasil tahunan negeri
Perlis adalah dalam $27,000 yang mana ianya tidak mencukupi untuk membayar
perbelanjaan kerajaan.[6]
Beliau turut juga menyatakan bentuk pembayaran bunga emas yang dibuat oleh
Perlis kepada Siam. [7]
Berlaku
persaingan antara Perlis dan Kedah dalam penghantaran bunga emas dan perak
kepada Siam. Kedua-dua negeri ini berlumba-lumba mengambil hati Siam. Kedah
menganggap kedudukan Perlis lebih rendah memandangkan jumlah penghantaran bunga
emas dan perak bagi Perlis lebih kecil berbanding Kedah. Siam sebenarnya tidak
menetapkan sebarang jumlah penghantaran bunga emas kerana jumlah tersebut
bergantung kepada kemampuan sesebuah negeri naungan Siam tersebut.
Kaedah
seterusnya yang digunakan oleh Perlis untuk menangani dan menghadapi tekanan
daripada Siam ialah dengan menunjukkan ketaatan kepada kerajaan Siam. Hal ini
penting bagi mendapatkan kepercayaan yang kuat daripada Maharaja Siam. Bukan
itu sahaja, kaedah ini juga perlu bagi mengelakkan sebarang syak wasangka yang
negatif dalam pemikiran pemerintah Siam terhadap pemerintah Perlis. Hal ini
bagi memastikan tiada tekanan yang diberikan oleh Siam terhadap Perlis dan
pastinya ingin menjaga hubungan yang baik dengan Siam untuk kepentingan
kedudukan Perlis agar tidak diganggu gugat oleh kerajaan Kedah.
Contoh
yang paling ketara yang dilakukan oleh pemerintah Perlis untuk menunjukkan ketaatsetiaan
terhadap Siam adalah dengan meminum ‘air taat’ dalam upacara-upacara perayaan
di Siam. Amalan meminum ‘air taat’ dihadapan Maharaja Siam merupakan cara
simbolik bagi raja-raja Melayu untuk melafazkan ketaatan kepada penaung iaitu
Maharaja Siam. Raja Syed Hussein misalnya telah pergi ke Bangkok untuk
mengahadiri upacara pembakaran mayat mendiang Rama III dan juga pertabalan Rama
IV atau Maharaja Mongkut sebagai pengganti Rama III pada tahun 1851. Raja Syed
Hussein sekali lagi menghadirkan diri dalam upacara pembakaran mayat dan
pertabalan Maharaja Siam pada 1868. Kali ini ialah upacara pembakaran mayat
mendiang Maharaja Mongkut dan pertabalan Maharaja Chulalongkorn atau Rama V. [8]
Kehadiran
Syed Hussein dalam upacara-upacara ini menunjukkan satu taat setia yang
dilakukan oleh Raja Perlis untuk menjaga hubungan baik dengan Siam. Malah,
dalam upacara keagamaan ini, ada diantaranya yang bertentangan dengan ajaran
Islam termasuklah meminum ‘air taat’ kepada Maharaja Siam. Pastinya Syed
Hussein tidak senang hati dengan upacara seperti ini, namun, perasaan itu
terpaksa diketepikan untuk kepentingan Perlis.
Ketaatsetiaan
terhadap Maharaja Siam penting apabila Raja Syed Hussein ingin memohon menjadi
pembantu Raja Long Krok atau Paduka Seri Maharaja Lela. Dalam hal ini, Siam
telah mengenakan tekanan tidak langsung kepada Perlis iaitu Rama III merombak
pemerintahan Kedah. Hal ini semestinya memberikan kesan kepada daerah Perlis
yang ketika itu dalam cubaan ingin menjadi sebuah kerajaan yang bebas
sepenuhnya daripada kerajaan Kedah. Rama III telah menghantar Chaophraya Yomraj
dan Phraya Siphipat untuk melakukan rombakan pemerintahan Kedah dan mereka
mencadangkan untuk melantik pembesar-pembesar Melayu sendiri yang memegang
jawatan sebagai pembantu Raja Long Krok. Pada ketika ini, seseorang pembesar
Melayu yang ingin menjadi pemerintah Perlis perlu dilantik oleh Maharaja Siam
itu sendiri. Syarat yang dikenakan untuk menjadi pembantu Raja Long Krok ialah
pembesar itu mesti mempunyai pertalian dengan bekas Sultan. Namun, apa yang
lebih penting sekali ialah pembesar Melayu itu mesti setia kepada Maharaja
Siam. Ini merupakan peluang yang baik kepada Syed Hussein. Tidak lama selepas
itu mejadi Raja Perlis yang rasmi apabila empat bulan kemudian Raja Long Krok
meninggal dunia.[9]
Hubungan
yang baik dengan pemerintahan Siam terutamanya apabila mempunyai hubungan rapat
dengan keluarga Maharaja Siam penting bagi Perlis untuk menghadapi tekanan
daripada Siam mahupun daripada Kedah. Hal ini sangat jelas ditunjukkan ketika
Raja Syed Sofi berani memerintahkan pegawai-pegawainya untuk memulaukan Syed
Mansor yang telah dihantar oleh Sultan Kedah, iaitu Sultan Abdul Hamid.
Chulalongkorn pada 7 April 1897 telah melantik Sultan Abdul Hamid sebagai
Pesuruhjaya Penguatkuasaan Monthon
Saiburi yang dengan tujuan mengetatkan
kawalan pusat ke atas negeri naungan-naungannya termasuklah daerah Perlis.
Melalui konsep Monthon ini, beberapa
daerah disatukan ke dalam Monthon
yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi atau Khaluang Thesabhipan yang dilantik
oleh Menteri Dalam Negeri.[10]
Berbalik kepada tujuan Syed Mansor dihantar ke Perlis, tujuannya adalah untuk
membantu melancarkan pemerintahan Raja Perlis. Namun begitu, kehadiran beliau tidak
disambut baik oleh anggota pemerintahan Perlis. Tiada teguran daripada
pemerintah Siam tentang apa yang dilakukan oleh Raja Syed Sofi kerana baginda mempunyai
hubungan yang baik dengan keluarga Maharaja Siam di mana baginda pernah menjadi
anak angkat Maharaja Siam ketika menuntut di Bangkok.[11]
Membina sebuah hubungan yang baik ini juga boleh dikatakan sebagai satu kaedah
yang diguna pakai oleh pemerintah Perlis bagi menghadapi tekanan yang diterima
oleh mereka.
Selain
itu, kaedah yang turut digunakan oleh pemerintah Perlis dalam menghadapi
tekanan daripada Siam ialah melalui pemberontakan dan pakatan sulit. Pemberontakan
dan pakatan sulit dilakuakan secara bersama dengan golongan kerabat Diraja
Kedah. Syed Hussein ingin melepaskan diri daripada kuasa penaung Siam terutama
sekali wakil Maharaja iaitu Raja Ligor yang sebenarnya banyak memberi tekanan
kepada Perlis dan juga Kedah.[12]
Tahun 1821, askar-askar Siam-Ligor yang diketuai oleh Phya Sina Nuncit iaitu
anak Raja Ligor, telah menyerang beberapa daerah di Kedah termasuklah Perlis
atau Kayang.[13]
Syed Hussein mengambil tindakan untuk melakukan serangan balas terhadap
askar-askar Siam-Ligor. Namun begitu, serangan yang dilakukan ini bukanlah
bersifat terang-terangan, sebaliknya, Syed Hussein melibatkan golongan istana
Kedah. Syed Hussein sendiri telah pergi ke Kedah untuk berjumpa dengan Tunku
Anum, orang penting dalam keluarga Diraja Kedah seperti yang dicadangkan oleh
Datuk Awang. Di Kedah, Syed Hussein bersama-sama Tunku Anum juga telah
melakukan satu pakatan secara sulit dengan Orang Melayu Kedah yang diadakan di
sebuah gua di Bukit Keplu.[14]
Hasil daripada pakatan tersebut, mereka telah merancang satu strategi untuk
menentang pemerintahan Siam terutamanya Raja Ligor disamping ingin
menggulingkan pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Kedah. Ada ahli
sejarawan yang menganggap bahawa peristiwa yang dilakukan oleh Syed Hussein dan
Tunku Anum ini sebagai satu pemberontakan terhadap Kedah.
Pakatan Tunku Anum telah pergi ke istana Ligor
dan juga istana Bangkok. Namun begitu, Syed Hussein tidak terlibat langsung
menyertai rombongan bersama-sama Tunku Anum ke Ligor dan juga istana Bangkok.
Malah, bapa mertua Syed Hussein, iaitu Muhammad Arsyad telah melindungi Syed
Hussein dengan memberitahu alasan Syed Hussein tidak dapat menyertai rombongan
tersebut atas dasar kurang sihat.[15]
Sebenarnya, disebalik pakatan yang telah dibuat dengan Tunku Anum, Syed Hussein
cuba untuk menipu Tunku Anum dan juga ahli pakatannya yang lain dalam melakukan
serangan balas terhadap Siam. Syed Hussein tidak mahu menampakkan bahawa
dirinya terlibat sama dalam serangan balas ini untuk menjaga namanya dan juga
Perlis agar tidak terjejas di mata pemerintah Siam. Tindakan bijak Syed Hussein
ini penting bagi mengukuhkan kedudukannya di Perlis dan dalam pada masa yang
sama Syed Hussein ingin Sultan Ahmad Tajuddin disingkirkan daripada
pemerintahan Kedah.
Seterusnya,
kaedah yang bijak telah diambil oleh pemerintah Perlis dalam menghadapi tekanan
daripada Siam iaitu menggunakan kaedah mengambil peluang keemasan atau
kesempatan dalam masalah yang berlaku. Rama III telah meletakkan seorang
Gabenor yang berpangkat Chiom iaitu
seorang pembesar yang berbangsa Siam di Perlis pada akhir tempoh perang
Siam-Ligor dengan Kedah. [16]
Perlantikan Chiom sebagai pembesar negeri Perlis pastinya menyukarkan usaha
Syed Hussein untuk merajakan dirinya di Perlis sekali gus ini menjadikan satu
tekanan kepada Perlis kerana terpaksa dipimpin oleh seseorang yang bukan
berbangsa tempatan. Namun, Syed Hussein telah mengambil kesempatan daripada
masalah ini dengan menyelit masuk ke dalam celah-celah kuasa Chiom sebagai
pembesar daerah. Melalui kedudukannya yang istimewa ini, Syed Hussein telah
mendapat sokongan yang padu daripada pelbagai pihak seperti Dato’ Panglima
Johan Lela Perkasa, golongan pembesar dan juga rakyat Perlis.[17]
Akhirnya Syed Hussein berjaya juga merajakan dirinya bermula daripada
mendapatkan sokongan pelbagai pihak.
Contoh
lain yang dapat dilihat juga ialah ketika peristiwa Kedah mengalami masalah
kesempitan kewangan yang sangat serius sehingga menyebabkan Kedah terpaksa
meminjam daripada Siam pada Jun 1905 yang berjumlah sebanyak $ 2.6 juta.
Perkara ini terjadi ketika Raja Syed Alwi baru sahaja menaiki takhta
pemerintahan kerajaan Perlis. Raja Syed Alwi melihat ini kesempatan untuk
keluar daripada Monthon Saibori
lebih-lebih lagi apabila Sultan Abdul Hamid dilihat tidak cekap dalam
pengurusan akaun Perlis yang telah menyebabkan Perlis mendapat masalah
kewangan. Ketika pemerintahan Syed Hussein lagi, usaha untuk keluar daripada Monthon Saibori telah dilakukan dengan sekurang-kurangnya
melantik seorang pegawai lain yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada
kuasa Pesuruhjaya Monthon. Pada
Oktober 1905, ketika dibawah pemerintahan Raja Syed Alwi, Perlis yang turut
mengalami masalah kewangan telah meminjam sebanyak $230,000 daripada
Chulalongkorn. Raja Syed Alwi sedar, jika hutang belum dilangsaikan, maka
kerajaan Perlis akan menerima seorang Penasihat Kewangan Inggeris yang pastinya
mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada Pesuruhjaya Monthon. Ini merupakan peluang Perlis untuk keluar daripada
penguasan Monthon Saiburi Jelas berdasarkan contoh diatas,
menunjukkan pemerintah Perlis menggunakan kaedah mengambil kesempatan atas
masalah yang dihadapi. Tekanan yang diterima oleh pemerintah Perlis telah
dijadikan sebagai modal untuk mengukuhkan keadaan Perlis dan membebaskan diri
mereka sepenuhnya daripada kerajaan Kedah.
Kaedah
yang lain yang turut dilakukan oleh pemerintah Perlis ialah meminta bantuan
daripada kerajaan Siam. Perkara ini penting bagi menunjukkan bahawa Perlis
memerlukan Siam dan memperlihatkan kebergantungan Perlis terhadap Siam. Hal ini
dapat dilihat ketika Perlis sudahpun menjadi sebuah negeri yang berasingan
daripada Kedah. Kerajaan Perlis ketika dibawah pimpinan Raja Syed Alwi
Jamalullail mengalami masalah kekurangan kewangan pada peringkat awal
pemerintahannya. Raja Syed Alwi dengan persetujuan orang Besar Perlis telah
meminjam wang daripada kerajaan Siam. Kesan daripada langkah yang dilakukan
oleh Raja Syed Alwi ini, telah menyebabkan Siam menghantar pegawai Inggeris,
A.J Duke sebagai Penasihat Kewangan Perlis.[18]
Perkara ini yang dimahukan oleh Raja Syed Alwi yang dalam pada masa yang sama
ingin menunjukkan kebergantungan kerajaan Perlis terhadap Siam agar Siam tidak
memberikan tekanan yang lebih kuat kepada kerajaan Perlis. Walaubagaimanapun,
terdapat masalah yang dihadapi oleh Perlis selepas itu, sehingga Siam terpaksa
menangguhkan pengutipan bunga emas dan perak oleh Perlis selama lima tahun
bermula daripada 8 Februari 1907 hingga 14 Februari 1912. Malah pinjaman yang
seterusnya turut dilakukan oleh Perlis.[19]
Berdasarkan
kaedah yang terakhir ini iaitu kaedah meminta bantuan daripada Siam atas dasar
masalah kewangan, Perlis menerima tekanan. Namun tekanan ini terpaksa ditelan
oleh Perlis dan meminta bantuan Siam nsebagai kuasa naungan mereka untuk
menyelesaikan masalah di Perlis. Dalam pada masa yang sama juga, Perlis
sebenarnya ingin mengambil hati Siam dalam usaha untuk mengelakkan tekanan yang
berterusan daripada Siam sekiranya Perlis tidak rapat dengan Siam.Wujudnya
konsep kebergantungan terhadap kerajaan Siam dalam kaedah ini.
3.0 PENUTUP
Secara keseluruhannya,
tekanan yang diterima oleh Perlis bukanlah daripada Siam semata-mata. Dapat
dilihat berdasarkan contoh dan juga hujahan yang telah diberikan, Perlis ada
menerima tekanan daripada Kedah dan juga tekanan tidak langsung Siam terhadap
Kedah ketika Perlis masih lagi berada di bawah kekuasaan Kedah. Perang
Siam-Ligor dilihat sebagai permulaan pembesar Perlis membina sebuah kerajaan
Perlis yang bukan lagi berada di bawah Kedah. Pemerintahan kerajaan Perlis yang
rasmi bermula selepas tamatnya Perang Siam-Ligor dan secara rasminya juga
kerajaan baru Perlis tebentuk 1841 dengan Raja pertamanya iaitu Raja Syed
Hussein menaiki takhta.
Banyak tekanan dan juga dugaan
dihadapi oleh Perlis sebagai negara yang baru terpisah daripada Kedah. Tekanan
yang diterima daripada Siam mahupun Kedah telah memberikan impak yang besar
tehadap seluruh negeri Perlis secara amnya. Pergelutan dan juga masalah yang
timbul ini dapat ditangani oleh Perlis menggunakan pelbagai kaedah atau cara.
Secara keseluruhannya, Perlis berjaya menghadapi tekanan-tekanan yang diberikan
oleh Siam mahupun tekanan daripada kuasa lain seperti Kedah sehinggakan Perlis
berjaya membentuk sebuah kerajaan baru sendiri yang terpisah daripada Kedah.
Namun begitu, Perlis masih tidak dapat mengelakkan tekanan-tekanan yang
sentiasa diberikan oleh Siam dan seterusnya pula kuasa asing seperti British
selepas sahaja negeri Perlis terbentuk. Kini negeri Perlis utuh berdiri sebagai
sebuah negeri yang berdaulat dibawah pemerintahan keluarga Jamalullail.
4.0 RUJUKAN
Buyong
Adil. (1981). Sejarah Perlis. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Julie
Tang Su Chin. (2002). Sejarah Kerajaan
Perlis 1841-1957. Kuala Lumpur: Malaysian
Branch
of the Royal Asiatic Society (MBRAS) Monograph No.32.
Mohd. Isa Othman. (2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala
Lumpur: Utusan Publication
&
Distrubuters Sdn. Bhd.
Muhammad
Isa Othman. (1990). Politik Tradisional
Kedah 1681-1942. Kuala Lumpur:
Dewan
Bahasa dan Pustaka.
[1] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal
Asiatic Society (MBRAS) Monograph No.32, hlm 40-41.
[2] Buyong Adil, (1981), Sejarah
Perlis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 2-3.
[3] Mohd Isa Othman, (2002), Sejarah Malaysia (1880-1963), Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hlm 7.
[4] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 95.
[5] Mohd Isa Othman, (2002), Sejarah Malaysia (1880-1963), hlm. 30.
[6] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 98.
[7] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 96.
[8] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 94-95.
[9] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 90.
[10] Muhammad Isa Othman, (1990), Politik
Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm
59-60.
[11] Muhammad Isa Othman, (1990), Politik
Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm
62.
[12] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 69.
[13] Buyong Adil, (1981), Sejarah
Perlis, hlm 11.
[14] Buyong Adil, (1981), Sejarah
Perlis, hlm 13.
[15] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 72.
[16] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 76.
[17] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 76-77.
[18] Buyong Adil, (1981), Sejarah
Perlis, hlm 34.
[19] Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah
Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 115-118.
Ulasan
Catat Ulasan