perbandingan dialek kuala terengganu dengan bahasa melayu standard dari segi linguistik



Perbandingan dialek kuala terengganu dengan bahasa melayu standard dari segi linguistik

1.0  PENDAHULUAN         
Asmah Haji Omar (1991) telah membahagikan dialek Melayu di Semenanjung Malaysia kepada  lima kelompok iaitu kelompok barat daya yang terdiri daripada Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang. Sementara kelompok timur laut diwakili oleh  Kelantan. Seterusnya, kelompok timur yang meliputi Terengganu, selanjutnya kelompok selatan yang meliputi dialek yang dituturkan di Johor, Melaka, Pahang, Selangor, dan Perak Selatan dan akhirnya kelompok yang mewakili dialek Negeri Sembilan.[1]
 Dialek dapat diertikan sebagai  bahasa pertuturan yang dituturkan oleh masyarakat di sesebuah kawasan. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai empat belas buah negeri yang mengunakan pelbagai dialek yang berbeza antara setiap negeri. Dalam setiap negeri itu juga terdapat pelbagai subdialek yang dituturkan. Sebagai contoh, negeri Terengganu mempunyai pelbagai dialek yang dituturkan oleh masyarakat yang mendiami sesuatu daerah, kampung, dan mukim yang berbeza. Antaranya ialah dialek Kuala Terengganu, Kuala Berang, Ulu Telemong dan sebagainya.[2]
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010) menjelaskan bahawa dialek bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah dan sebagainya.[3] Sebagai contoh dialek Kelantan, dialek Kedah, dialek Terengganu dan lain-lain. Dalam penulisan ini, dialek dari daerah Kuala Terengganu telah saya jadikan sebagai bahan kajian.


2.0 LATAR BELAKANG DIALEK DAERAH KUALA TERENGGANU
Negeri Terengganu terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta keunikan kosa katanya. Keunikan dari sudut kosa katanya sangat berbeza dengan kosa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu standard. Sebagai contoh, penggunaan fonem [ŋ] diakhir perkataan telah membentuk satu identiti pada penutur daerah Kuala Terengganu secara amnya. Seterusnya, Asmah Haji Omar (1991) mengelompokkan dialek di Semenanjung Malaysia kepada lima kelompok. Dialek Terengganu telah dikelompokkan kepada kelompok timur.[4] Kajian ini hanya mengfokuskan terhadap dialek dari daerah Kuala Terengganu iaitu merupakan sebahagian daripada  negeri Terengganu.
Dialek Kuala Terengganu bukan sahaja dituturkan oleh penduduk asal negeri ini malah mereka yang bermaustatin di negeri ini turut menuturkan dialek Kuala Terengganu. Mereka menggunakan dialek ini sebagai alat komunikasi dalam pergaulan seharian untuk mewujudkan sebuah hubungan yang harmoni. Dialek ini bukan sahaja dituturkan oleh masyarakat berbangsa Melayu sahaja malah kaum Cina dan India turut menuturkan dialek ini tanpa kedengaran bunyi pelat.
            Menurut Asmah Haji Omar (1988) subdialek yang dituturkan di Kuala Terengganu dianggap sebagai dialek Kuala Terengganu yang standard. Tambah beliau lagi, Kuala Terengganu merupakan kawasan pusat budaya, pentadbiran, dan perniagaan.[5] Dengan demikian, subdialek yang dituturkan di situ juga sedikit sebanyak menjadi rujukan untuk dialek Terengganu yang dianggap lebih tinggi daripada subdialek-subdialek yang lain seperti dialek Hulu Terengganu, Ulu Telemong dan sebagainya.
Kuala Terengganu ialah sebuah daerah di negeri Terengganu yang luasnya lebih kurang 60, 528.1 hektar persegi. Di samping itu, Kuala Terengganu merupakan ibu negeri bagi negeri Terengganu. Kedudukan Bandar Kuala Terengganu yang berada di muara Sungai Terengganu begitu luas sehingga merentasi sempadan daerah lain iaitu ke Hulu Terengganu dan Hulu Nerus. Sungai pada ketika dahulu merupakan laluan yang sangat penting bagi aktiviti pengangkutan dan perdagangan telah memberi pengaruh yang besar terhadap kemasukan pedagang-pedagang asing. Secara tradisinya, penduduk di daerah ini merupakan nelayan, pembuat bot dan pelayar yang mahir.
Sumber daripada catatan sejarah juga ada menyebutkan terdapat bukti yang menunjukkan bahawa akitiviti pedagangan sangat aktif dengan kemasukan pedagang-pedagang dari luar yang menggunakan sungai bermula daripada kuala atau muara sungai Terengganu untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Berang.  Pedagang-pedagang tersebut telah memasarkan hasil mereka di Kuala Terengganu.  Tempat yang dijadikan kawasan perdagangan ialah di sekitar Kedai Hilir, Kedai Payang dan Kampung Cina.[6]
Di samping itu, negeri Terengganu juga merupakan negeri yang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia kerana sektor pelancongan serta pembuatan kraf tradisionalnya yang sudah terkenal di persada dunia. Terengganu juga terkenal dengan penggunaan dialek masyarakatnya yang unik dan tersendiri. Di bawah ini disertakan peta negeri Terengganu serta peta lokasi daerah Kuala Terengganu untuk menunjukkan kedudukan daerah Kuala Terengganu dalam Semenanjung Malaysia.
Rajah 1: Peta Negeri Terengganu.[7]
Rajah 2: Peta Daerah Kuala Terengganu.[8]
3.0 PERBANDINGAN DIALEK KUALA TERENGGANU DENGAN BAHASA MELAYU STANDARD DARI SEGI LINGUISTIK
Perkara yang menjadi kajian dalam bidang linguistik ialah bahasa iaitu penelitian terhadap struktur bahasa.[9] Pengkaji linguistik seperti John R. Firth, Louis Hjelmslev dan sebagainya sewaktu meneliti struktrur bahasa mereka sebenarnya meneliti cara sesuatu bahasa itu disusun dalam pemikiran penutur aslinya iaitu individu yang menghasilkan ujaran-ujaran yang lazim dan bersistematik. Antara aspek linguistik yang dikaji ialah fonologi, morfologi, dan sintaksis. Oleh itu, dalam kajian ini saya akan membuat perbandingan antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard berdasarkan aspek linguistik tersebut.
Dialek Kuala Terengganu mempunyai pelbagai ciri tersendiri dari aspek fonologi dan kosa kata di dalam pertuturan mereka. Hal ini jelas kelihatan dari segi aspek sebutan seperti bunyi, vokal, konsonan, diftong, suku kata dan kosa kata. Perbezaan antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard ini melibatkan proses-proses seperti pengguguran, penggantian, pemendekan, penegasan sebutan dan perkataan serta pengayaan kosa kata.
3.1 ASPEK PENGGUGURAN DAN PENGGANTIAN
Proses pengguguran dan penggantian merupakan satu bidang fonologi. Menurut Adrian Akmajian (2001) bidang fonologi ini merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang mengkaji struktur dan pola semantik bunyi dalam bahasa manusia.[10] Dalam dialek Kuala Terengganu aspek pengguguran dan penggantian bagi perkataan yang mempunyai huruf-huruf vokal, konsonan dan diftong sering berlaku. Keadaan ini membawa perbezaan antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard.
3.1.1 Pengguguran vokal depan luas [a] dalam bahasa Melayu standard dan digantikan dengan vokal tengah [ə] dalam dialek Kuala Terengganu
Pengguguran vokal depan luas [a] dalam bahasa Melayu standard dapat dilihat apabila vokal yang berakhir dengan huruf  ‘a’ iaitu vokal depan luas [a] digugurkan dan digantikan dengan huruf ‘e’ iaitu vokal [ə]. Penggunaan akhiran [ə] yang menggantikan [a] banyak digunakan dalam komunikasi masyarakat Kuala Terengganu. Bunyi vokal [ə] terjadi  apabila bahagian tengah lidah dinaikkan ke arah pertemuan antara lelangit keras dan lelangit lembut. Manakala untuk menyekat arus udara ke rongga hidung, lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan rapat ke belakang rongga.[11]
Seterusnya, pita suara dirapatkan supaya udara yang keluar dari paru-paru ke rongga mulut dapat menggetarkan pita suara. Oleh itu, penutur dialek Kuala Terengganu akan menuturkan  perkataan seperti saye, bende, buke, ade dan lime. Perkataan-perkataan ini sering digunakan dalam percakapan seharian dan adalah lebih ketara apabila perkataan itu disebut dalam ayat.[12] Perkataan-perkataan ini adalah mudah untuk difahami oleh penutur daripada luar daerah kuala Terengganu memandangkan perkataan tersebut menggantikan huruf ‘a’ dengan ‘e’. Hal ini dapat diperhatikan menerusi jadual di bawah.



               Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
Saya
Benda
Buka
Ada
Lima
Saye
Bende
Buke
Ade
Lime

3.1.2 Pengguguran vokal belakang sempit [o] bagi suku kata pertama perkataan dan digantikan dengan vokal belakang sempit [u]
Dalam dialek Kuala Terengganu pengguguran vokal belakang sempit iaitu [o] sentiasa berlaku. Pengguguran ini biasanya berlaku pada suka kata pertama perkataan dan digantikan dengan vokal belakang sempit [u].  Penghasilan vokal belakang sempit [u] ini berlaku apabila belakang lidah dinaikkan tinggi ke arah lelangit lembut. Lelangit lembut dan anak tekak kemudiannya dinaikkan menutup rongga hidung supaya udara yang keluar dari paru-paru menggetarkan pita suara ke rongga mulut. Pada ketika itu bibir dibundarkan.[13] 
Bunyi yang terhasil dapat dilihat dalam perkataan tuleh, buleh, sutung, tulung dan buto yang sering didengari dalam dialek Kuala Terengganu. Hal ini dapat diperhatikan menerusi jadual di bawah.


Bahasa melayu Standard
dialek Kuala terengganu
boleh
toleh
sotong
buleh
tuleh
sutung

3.1.3 Pengguguran konsonan [n] dalam bahasa Melayu standard dan digantikan dengan konsonan sengau lelangit lembut bersuara [ŋ] dalam dialek Kuala Terengganu
Bunyi konsonan bagi perkataan yang berakhir dengan huruf  ‘n’ iaitu konsonan sengau gigi bersuara [n] digugurkan dan digantikan dengan gabungan perkataan konsonan ‘ng’ iaitu konsonan sengau lelangit lembut bersuara [ŋ]. Penutur dialek Kuala Terengganu lebih gemar menggunakan konsonan sengau lelangit keras [ŋ] bagi menunjukkan identiti masyarakat Terengganu itu sendiri. Penutur dialek Kuala Terengganu berasa berbangga apabila menyebut perkataan yang mempunyai konsonan sengau lelangit lembut bersuara [ŋ] kerana ini memberikan kelainan kepada dialek tersebut berbanding bahasa Melayu standard.[14]
Penghasilan bunyi sengau lelangit lembut bersuara [ŋ] ini terhasil apabila belakang lidah dinaikkan dan dirapatkan ke lelangit lembut untuk menyekat udara yang keluar dari paru-paru ke rongga mulut. Kemudian, lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk membuka rongga hidung supaya udara dapat keluar melalui rongga hidung. Seterusnya, pita suara dirapatkan. Udara dari paru-paru keluar ke rongga mulut dan terhalang pada daerah lelangit lembut kemudian keluar melalui rongga hidung. Pita suara digetarkan.[15] Bunyi yang terhasil dapat dilihat pada perkataan seperti makang, pendidikang, akaung, alirang dan badang yang sering dituturkan dalam dialek Kuala Terengganu. Hal ini dapat diperhatikan menerusi jadual dibawah.
Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
makan
makang
pendidikan
pendidikang
akaun
akuang
aliran
alirang
badan
badang

3.1.4 Pengguguran konsonan geseran gusi tak bersuara [s] dalam bahasa Melayu standard dan digantikan dengan konsonan geseran glotis tak bersuara [h] dalam dialek Kuala Terengganu
Dalam bahasa Melayu standard terdapat perkataan yang berakhir dengan konsonan geseran gusi tak bersuara [s] seperti perkataan lepas, kebas, terus, sebelas dan ratus. Namun, apabila perkataan-perkataan ini disebut dalam dialek Kuala Terengganu maka akan berlaku pengguguran fonem [s] di akhir kata dan digantikan dengan fonem [h]. Penutur dialek Kuala Terengganu tidak gemar menggunakan huruf ’s’ kerana mereka beranggapan bahawa bunyi ‘s’ akan membuatkan mereka mengeluarkan air liur apabila menyebutkan perkataan tersebut.[16]
Penghasilan fonem glotis tak bersuara [h] terhasil apabila pita suara dibuka untuk membuat sempitan pada glotis. Lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan dan dirapatkan pada dinding tekak bagi menutup rongga hidung supaya udara tidak dapat keluar melalui hidung. Udara keluar dengan bergeser melalui sempitan glotis.[17] Maka penutur dialek Kuala Terengganu akan menuturkan bunyi konsonan geseran glotis dan perkara ini amat berbeza dengan bahasa Melayu standard. Perbezaan ini dapat diperhatikan menerusi jadual di bawah.
Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
lepas
lepah
kebas
kebah
terus
teruh
ratus
ratuh
sebelas
sebelah

3.1.5 Pengguguran konsonan letupan dua bibir bersuara [p] dalam bahasa Melayu standard dan digantikan dengan glotis [ʔ] dalam dialek Kuala Terengganu
Dalam dialek Kuala Terengganu fonem [p] yang berada di akhir kata tidak dituturkan oleh penuturnya. Sebaliknya mereka akan menggantikan dengan bunyi glotis. Penghasilan glotis ini berlaku apabila lelangit lembut dan anak tekak dinaikan dan dirapatkan ke dinding tekak untuk membuka sekatan supaya udara tidak dapat keluar melalui rongga hidung. Udara dari paru-paru keluar dan tersekat seterusnya terhenti pada bahagian glotis dan tidak dilepaskan.[18] Perbezaan kata antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard dapat diperhatikan dalam jadual di bawah.
Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
acap
acaʔ,
kedap
keraʔ,
kejap
kejaʔ

3.1.6 Pengguguran diftong /ai/, /au/ dan /oi/ pada akhir suku kata dalam bahasa Melayu standard  digugurkan
Berdasarkan kajian Kamaruddin Hussin (1997) dalam karyanya yang bertajuk Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, beliau menulis bahawa diftong sebagai satu suku kata dan dilambangkan oleh dua vokal.[19] Menurut Kamus Dewan (2007) diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam suku kata akibat perubahan kedudukan seperti /ai/, /au/, dan /oi/ dalam Bahasa Melayu.[20]
Bunyi difong ini memerlukan dua vokal dibaca dengan satu bunyi. Namun dalam dialek Kuala Terengganu kebiasaannya penutur tidak menggunakan bunyi diftong /ai/, /au/ dan /oi/. Penutur dialek ini akan menggantikannya dengan fonem [a] dan [o].  Hal ini berbeza dalam bahasa Melayu standard yang menggunakan bunyi diftong. Perbezaan ini dapat diperhatikan dalam jadual di bawah.
Perbezaan kata antara bahasa Melayu standard dengan dialek Kuala Terengganu
Diftong
Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
au
pulau
silau
pula
sila
ai
petai
bingkai
balai
peta
bika
bala
oi
amboi
ambo

3.2 ASPEK PENEGASAN
Keunikan sebutan bagi perkataan di dalam dialek Melayu Kuala Terengganu juga dikenal pasti melalui ciri-ciri penegasan di dalam sebutan dan perkataan. Penegasan bagi sebutan dicerminkan melalui penekanan bunyi huruf tertentu dalam perkataan yang boleh disamakan seperti bunyi sabdu di dalam sebutan bahasa Arab.
3.2.1  Penekanan kepada sebutan (Taukid atau Sabdu )
Penegasan bagi sebutan dicerminkan melalui penekanan bunyi huruf tertentu dalam perkataan yang boleh disamakan seperti bunyi sabdu di dalam sebutan bahasa Arab. Dialek Kuala Terengganu juga mempunyai suku kata yang sering memperkuatkan lagi perkataan yang sebelumnya. Dalam bahasa Arab penekanan itu disebut sebagai taukid atau sabdu atau dengan maksud lain sebagai kata penegasan yang memberikan penekanan kepada sesuatu yang hendak disampaikan.[21]
Peranan sabdu dalam dialek Terengganu adalah begitu besar maksudnya. Penggunaan sabdu akan menyebabkan susunan struktur perkataan berubah sekiranya diterjemah ke dalam bahasa Melayu standard. Penggunaan sabdu akan membezakan makna istilah, struktur perkataan atau dialog yang ingin disampaikan oleh penutur dialek Kuala Terengganu. Hal ini dapat diperhatikan melalui jadual di bawah.
Peranan Sabdu (‘) dalam Sebutan Dialek Kuala Terengganu
Bersabdu (dialek Kuala Terengganu)
Tanpa sabdu (perbezaan maksud yang ketara)
Perkataan yang dimaksudkan
Ruput makang l’embu

Rumput makan lembu
Rumput dimakan oleh lembu
Dok ppakaa
Tak pakai
Tidak boleh dipakai
makang kkeda
makan kedai
makan di kedai
beli kkeda
beli kedai
beli di kedai

3. 2. 2. Penegasan kepada perkataan
Keunikan sebutan perkataan dalam dialek Kuala Terengganu juga terserlah pada penegasan  dalam perkataan yang berfungsi sebagai kata penguat. Penegasan ini berperanan untuk memberikan gambaran nilai atau tahap tertinggi kepada kata-kata yang dilafazkan khususnya kata adjektif yang terdiri daripada kata adjektif warna, bau, rasa dan sebagainya. Sebagai contoh:
Kata adjektif warna
1.      Hitang beletung- terlalu hitam
2.      Putih sepuk- terlalu putih
3.      Kuning sior- terlalu kuning
4.      Merah nyale- terlalu merah
Kata adjektif pancaindera bau
1.      Busuk kohong- terlalu busuk
2.      Hacing pering- terlalu hancing
3.      Hanyir mekok- terlalu hanyir
4.      Wangi mekok- terlalu wangi
5.      Tengik bangor- tersangat tengik
Kata adjektif pancaindera rasa
1.      Masing pekok- sangat masim
2.      Manih letting- sangat manis
3.      Tawo hebe- sangat tawar
4.      Pahik lepang- sangat pahit
Kata adjektif ukuran
1.      Panjang depe- sangat panjang
2.      Beso debok- sangat besar
3.      Kecik lote- sangat kecil
4.      Beso dok oh- sangat besar
3.3 ASPEK KATA GANTI DIRI
Penggunaan kata ganti nama diri dalam dialek Terengganu juga berbeza dengan kata ganti nama diri yang digunapakai dalam bahasa Melayu standard. Sungguhpun terdapat sedikit persamaan antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard, namun perbezaan juga tetap ada.
3.3.1 Kata ganti nama diri pertama
Dalam sebutan Melayu standard, kata ganti diri yang pertama adalah seperti aku, saya, kita.[22] Namun, penutur dialek ini menggunakan kata ganti nama diri yang pertama seperti  aku, ambe, kite dan saye. Sebagai contah ayat dibawah menggunakan kata ganti diri pertama.
1.      Ambe makan doh.
(Saya sudah makan.)
2.      Kite nok gi kije.
(Saya nak pergi kerja.)
3.      Saye baru mari, mari dari Kapung Padang Kmuting. Kedai spupu nni.
 (Saya baru datang. Datang dari Kampung Padang Kemunting. Ini kedai sepupu saya)
4.      Ho, kite asal orang sining.
 (Ya, saya asal orang sini.)
3.3.2 Kata ganti nama diri kedua
      Bagi kata ganti nama diri yang kedua, dalam sebutan Melayu standard adalah awak, kau, engkau, dan kamu.[23] Dalam dialek Kuala Terengganu pula penggunaan kata ganti nama diri kedua mempunyai sedikit persamaan dengan bahasa Melayu standard. Sebagai contah ayat dibawah menggunakan kata ganti diri pertama.
1.      Mung nok gi mane?
(Awak hendak ke mana?)
2.      Mung suka ngat makang.
(Kamu sangat suka makan).
3.      Awok nok buat nape?
(Awak nak buat apa?)
4.      Awok jangang maroh.
(Awak jangan marah.)
3.3.3 Kata ganti nama diri ketiga         
Bagi kata ganti nama diri yang ketiga dalam sebutan Melayu standard ialah ia, dia, beliau, dan mereka.[24] Dalam dialek Terengganu, perkataan deme digunakan untuk merujuk orang ketiga. Sebagai contoh:
1.      Deme tu mandi  sunga bukang saye.
(Mereka itu yang mandi di sungai dan bukannya saya.)
Di bawah ini disertakan jadual kata ganti nama diri orang bagi menunjukkan perbezaan penggunaan kata ganti diri antara dialek Kuala Terengganu dengan bahasa Melayu standard.
Kata Ganti Diri
Dialek Kuala Terengganu
Bahasa Melayu Standard
pertama
aku/ kite/ ambe/ kaming
aku/ saya
kedua
mung/ awok
kamu/ awak
ketiga
diye/ deme
dia/mereka

3.4 ASPEK PENGAYAAN KOSA KATA
Dialek Kuala Terengganu didapati kaya dengan kosa kata tempatan dan mempunyai maksud yang sama dengan kosa kata bahasa Melayu standard seperti yang termaktub dalam Kamus Dewan. Sehinggakan perkataan-perkataan ini telah dientrikan di dalam Kamus Dewan edisi keempat (2007) misalnya perkataan cakna.[25] Hal ini dapat diperhatikan melalui perkataan cakna yang telah dilabel dalam Kamus Dewan sebagai dialek Kuala Terengganu.  Lazimnya penggunaan perkataan cakna lebih banyak ditemukan dalam bahasa percakapan. Sebagai contoh, perkataan cakna ini ditemukan dalam judul buku atau makalah yang berkaitan cakna seperti Siri Cakna Bahasa: Antonim dan Siri Cakna Bahasa: Simpulan Bahasa. Oleh itu, terbuktilah dialek Kuala Terengganu ini semakin meluas dan sering digunakan dalam ranah rasmi.[26] Selain itu, contoh-contoh dibawah merupakan perkataan yang telah dientrikan dalam Kamus Dewan.
Dialek Kuala Terengganu yang terdapat dalam Kamus Dewan
Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
duit
pitih[27]
menceritakan
royat[28]
selalu
sokmo[29]


4.0 DIALOG TEMUBUAL DENGAN PENUTUR DAERAH KUALA TERENGANU (Rujuk Lampiran 1)
Penemu bual    : Assalamualaikum Noriana, awak apa khabar?
Noriana          : Walaikungmussalang, aku kabo baik je. Mung gane?
(Waalaikumussalam, saya khabar baik saja. Awak pula bagaimana?)
Penemu bual    : Sekarang awak tinggal dimana?      
Noriana           : Aku duk kapung je. Tak dok bende nok buak.
(Saya tinggal di kampung sahaja. Tak ada benda yang nak dibuat.)
Penemu bual    : Saya dengar awak dapat tawaran belajar di UNIMAS. Kenapa tak pergi?
Noriana           : Aku dok gi unimah bak jauh ngak. Sayang nok tingga mok ayoh. Ermmm… maahle ye, aku nok gi keda ni.
(Saya tak dapat pergi UNIMAS sebab UNIMAS jauh sangat. Sayang nak tinggalkan mak ayah. Erm…  maaflah ya, saya nak ke kedai sekarang ni.)
Penebual bual  : Baiklah. Kalau macam tu saya pergi dulu. Assalamualaikum.
Noriana           : walaikungmussalang.
                        (waalikummusaalam)
5.0 CONTOH PERBUALAN DIALEK KUALA TERENGGANU (Rujuk Lampiran 1 dan 2)
Mamat             : Eh Li. Mung dok kelaut ke ari ning?
                        (Awak tak pergi tangkap ikan ke hari ini?)
Ali                   :Dok. Malah ar aku. Pok Ngoh musang angat. Aku nok pinjang pitih sikit dok wei.
                        (Tak. Malas aku. Pak Ngah garang sangat. Aku nak pinjam duit pun dia tak bagi.)
Mamat             : Doh mu tak b’oh keje doh ar ngan dia? payoh ba’sa jugok mung ni ah…. Eee dok reti nok mik’ir argh kalu gini. Baik-baik keje bereti!
                        (Awak dah tak nak bekerja dengan dia lagi ke? Susah jugak orang macam awak ya. Tak pandai nak fikir. Elok-elok bekerja hendak berhenti pula!)
Ali                   : Doh Pok ngoh oarh ki’ra angat. Nok pinjam lime puloh ya je. Base taik idung masing!
                        (Pak ngah tu yang berkira sangat. Saya nak pinjam duit lima puluh ringgit pun dia tak nak bagi. Kedekut!)
Mamat             : Orrr… sedap ngat mung kate ke orang orkk.
                        (Ooo… pandai awak mengata orang ya.)

6.0 KESIMPULAN
Dialek Melayu Kuala Terengganu secara keseluruhannya jelas menunjukkan kelainan dan keunikannya tersendiri berbanding bahasa Melayu standard khususnya dalam hal-hal yang menyentuh aspek sebutan bagi bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong, suku kata dan kosa kata yang mengandungi ciri-ciri pengguguran, pemendekan, penegasan, sebutan dan perkataan serta pengayaan kosa kata tempatan.
Jadi, dapatlah dilihat daripada kajian ini bahawa dialek Kuala Terengganu merupakan satu dialek yang menarik kerana terdapat kepelbagaian dan perbezaan berbanding bahasa Melayu standard. Namun, tidak dinafikan juga ada sedikit persamaan dengan bahasa Melayu standard.  Di samping itu, para pengguna bahasa perlu berhati-hati dalam menggunakan  dialek kerana mungkin terdapat perbezaan makna walaupun perkataan yang dituturkan adalah sama.
















6.0 LAMPIRAN
Lampiran 1
Biodata penutur dalam temu bual
Nama               : Norianazuar binti Yusof
Umur               : 22 tahun
Jantina             : Perempuan
Pekerjaan         : Pelajar
Asal                 : Kuala Terengganu
Alamat                        : No. 7B, Taman Maidam, Kampung Tok Jembal,
2700, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman

Lampiran 2
Daftar kata dialek Kuala Terengganu dan maksudnya.
1.      kabo          khabar
2.      duk           duduk
3.      kapung         kampung
4.      gi            pergi
5.      unimah         UNIMAS
6.      bak           sebab      
7.      ngak             sangat
8.      keda            kedai
9.      Mung         awak
10.  Dok          tak
11.  Kelaut          tangkap ikan
12.  Ari        hari
13.  Ning         ini
14.  Malah          malas
15.  Mu’sang        garang
16.  Angat         sangat
17.  Pinjang          pinjam
18.  Pitih         duit
19.  Wei         beri
20.  Tak boh        tak nak
21.  Keje         kerja
22.  Ngang          dengan
23.  Payoh ba’se        susah sangat
24.  Tahi idung masing        kedekut







BIBLIOGRAFI
SUMBER: BUKU
Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah. Linguistik: Fonetik dan Fonologi bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Aslita sdn.bhd, 2007.
Adrian Akmajian, Richard A. Demers, Ann K. Farmer & Robert M. Harnish.  Linguistic :An
Introduction to Language and Communication. London: MIT Press, 2002.
Asmah Omar. Aspek Bahasa dan Kajiannya: Kumpulan siri ceramah peristilahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
Asmah Omar. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1988.
James T. Collins. Dialek Ulu Terengganu. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan, 1983.
Kamaruddin Husin, Siti Hajar AbduL Aziz, & Arbaie Sujud. Pengajian Melayu Satu: Ilmu
Bahasa dan Kecekapan berbahasa. Selangor: Kumpulan Budiman, 1997.
Suraiya Chapakiya. Asas linguistik. Selangor: PTS Akademia, 2014.
Noresah Baharom et al., peny., Kamus Dewan Bahasa. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2010.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdullah Hamid
Mahmood.Tatabahasa Dewan. Edisis Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.
SUMBER:  JURNAL
Normaliza Abd Rahim, Noraien Mansor, & Noor Rohana Mansor, “Perbualan
Masyarakat Daerah Kuala Terengganu”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 49-56.
Nor Rohana Mansor, Noraien Mansor, & Normaliza Abd Rahim, “ Dialek Melayu
Terengganu: Pendokumentasian Pengekalan Warisan Bahasa Tempatan”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 22-35.
SUMBER: INTERNET
“Latar Belakang Kuala Terengganu.” Laman web rasmi Majlis Bandaraya Kuala
Terengganu.  http://mbkt.terengganu.gov.my/ms/background-of-kuala-terengganu.
“Peta Pelbagai.” JUPEM Geoportal.https://www.jupem.gov.my/index.php?action=pemetaan-.
“Peta Jalan Daerah Kuala Terengganu.” Portal Rasmi Jabatan Kerja Raya Negeri   
Terengganu.http://www.jkr.terengganu.gov.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27&Itemid=154.




[1] Asmah Omar, Aspek Bahasa dan Kajiannya: Kumpulan siri ceramah peristilahan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991) 17.
[2] James T. Collins, Dialek Ulu Terengganu (Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1983) 19.
[3] Noresah Baharom et al., peny. KAMUS DEWAN edisi keempat (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010) 348.
[4] Asmah Omar, Aspek Bahasa dan Kajiannya: Kumpulan siri ceramah peristilahan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991) 17.
[5] Asmah Omar, Susur Galur Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) 35.
[6] “Latar Belakang Kuala Terengganu,” Laman web rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, http://mbkt.terengganu.gov.my/ms/background-of-kuala-terengganu, (diakses pada Disember2, 2015).
[7]“Peta Pelbagai,” JUPEM Geoportal, https://www.jupem.gov.my/index.php?action=pemetaan-peta-pelbagai, (diakses pada Disember 4, 2015)
[8] Peta Jalan Daerah Kuala Terengganu,” Portal Rasmi Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, Ogos 13, 2008, http://www.jkr.terengganu.gov.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27&Itemid=154, (diakses pada Disember 2, 2015).
[9] Suraiya Chapakiya, Asas linguistik (Selangor: PTS Akademia, 2014) 138.
[10] Adrian Akmajian, Richard A. Demers, Ann K. Farmer & Robert M. Harnish, Linguistic: An Introduction to Language and Communication (London: MIT Press, 2002)  65.
[11] Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, Linguistik: Fonetik dan Fonologi bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Aslita sdn.bhd, 2007) 56.
[12] Normaliza Abd Rahim, Noraien Mansor, & Noor Rohana Mansor, “Perbualan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 49-56.
[13] Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, Linguistik: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Aslita sdn.bhd, 2007) 54.
[14] Normaliza Abd Rahim, Noraien Mansor, & Noor Rohana Mansor, “Perbualan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 49-56.
[15] Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, Linguistik: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Aslita Sdn.Bhd, 2007) 80. 
[16] Normaliza Abd Rahim, Noraien Mansor, & Noor Rohana Mansor, “Perbualan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 49-56.
[17] Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, Linguistik: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Aslita Sdn.Bhd, 2007) 67.
[18] Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, Linguistik: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Aslita Sdn.Bhd, 2007) 80. 
[19] Kamaruddin Husin, Siti Hajar AbduL Aziz, & Arbaie Sujud, Pengajian Melayu Satu: Ilmu Bahasa dan Kecekapan berbahasa (Selangor: Kumpulan Budiman, 1997) 78.
[20] Noresah Baharom et al., peny. Kamus Dewan edisi keempat (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010) 350.
[21]Nor Rohana Mansor, Noraien Mansor, & Normaliza Abd Rahim, “Dialek Melayu Terengganu: Pendokumentasian Pengekalan Warisan Bahasa Tempatan”, Journal of Business and Social Development, No. 2 (2014): 22-35.
[22] Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdullah Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) 104.
[23] Ibid.
[24] Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdullah Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) 104.
[25] Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdullah Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) 238.
[26] Laman web PRPM, http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=dialek+terengganu&d=10. (diakses pada Disember 4, 2015)
[27] Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdullah Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan Edisis Baharu, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) 1217.
[28] Ibid, 1345
[29] Ibid, 1513

Ulasan

Catatan Popular