bab 2 bidang-bidang penelitian sejarah
BAB 2
BIDANG-BIDANG PENELITIAN SEJARAH
OBJEKTIF
1.
membincangkan persoalan
apakah perkara-perkara asas yang akan diseliki dan ditulis oleh ahli sejarah.
2.
Perbincangan bertujuan
untuk memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar sejarah tentang wujudnya
perbezaan yang jelas bidang ilmu
sejarah dengan ilmu-ilmu yang lain.
3.
Membincangkan pelbagai
bidang penyelidikan dan penulisan sejarah antara lainnya ialah sejarah
politik, sejarah ekonomi, sejarah sosial, sejarah intelek dan sejarah
kebudayaan.
|
PERHATIAN ASAS DALAM PENELITIAN SEJARAH
Apakah yang
diselidiki dan ditulis? Persoalan ini amat penting dan perlu diberi penjelasan
kepada pelajar-pelajar umumnya agar mereka dapat membezakan antara pengajian ilmu sejarah dengan ilmu-ilmu lain.
Terdapat tiga perkara penting yang menjadi perhatian asas kepada ahli sejarah
dalam penyelidikan dan penulisannya, iaitu; manusia [individu] dalam
masyarakat, perubahan melalui masa, dan yang [peristiwa-peristiwa] khusus dan
unik.
a. Manusia [individu] dalam Masyarakat
Dalam modul 1, perbincangan
mengenai beberapa pengertian dalam bidang ilmu sejarah boleh disimpulkan
sebagai suatu percubaan atau tindakan mentaksir masa lalu oleh ahli sejarah
dalam usaha untuk membina semula masa lalu tersebut. Tidak seperti ahli geologi,
ahli sejarah tidak berminat mengkaji tentang asal-usul fizikal bumi ini, malah
tidak berminatpun dengan pengkajian terhadap makhluk-mahkluk perkasa
pra-sejarah, mahupun pengkajian terhadap pergerakan bintang-bintang atau
perubahan pada struktur di permukaan bumi ini. Sebaliknya ahli sejarah berminat
kepada saat-saat pergerakan dan perubahan yang meninggalkan kesan ke atas semua
aktiviti individu.
Pada
umumnya, minat ahli sejarah hanya bila mana individu itu muncul di tempat
kejadian. Persoalan yang timbul tentang bila sebenarnya kejadian itu berlaku
bukanlah urusan sebenar ahli sejarah, tetapi merupakan uurusan ahli biologi dan
ahli antropologi. Lantaran itu, satu perbezaan yang rigid telah dilakukan
terhadap pra-sejarah dan sejarah. Perbezaan ini lahir daripada idea sebenar
sejarah - iaitu pengertian yang harus pegang [dalam modul ini], bahawa sejarah
itu adalah pentafsiran [interpretasi] tentang masa lampau. Sejarah itu hanya
akan wujud bila ahli sejarah mempunyai sumber-sumber yang boleh diperolehi, di
mana pentafsiran akan didasarkan. Idea ini menekan sumber itu haruslah
berbentuk rekod-rekod bertulis. Namun pada hari ini, pengertian terhadap sumber
telah meluas. Bukan sekadar rekod-rekod bertulis, malah dirasakan tidak memadai
untuk meneruskan pengasingan di antara pra-sejarah dan sejarah itu.
Sebahagian besar pengetahuan kita
tentang zaman manusia [individu] terawal pada hakikatnya datang daripada
penelitian arkeologi dan antropologi. Kita tidak menafikan sumbangan besar para
arkeologi dan antropologi dalam penelitian zaman moden. Ahli arkeologi harus
memiliki kemahiran professional yang di luar kemampuan ahli sejarah. Oleh
kerana pengertian sejarah yang luas melihat disiplin arkeologi itu sebagai satu
bentuk penelitian mengenai sejarah.
Di samping pengertian yang umum,
sejarah sebagai penelitian masa lalu, pengertian yang lebih mendalam ialah
sejarah sebagai penelitian tentang manusia
[individu] dalam masyarakat. Memanglah difahami bahawa manusia [individu]
itu hidup dalam masyarakat, tetapi kadangkala
terdapat kecenderungan pihak tertentu untuk menulis sejarah sebagai tindakan
[ekploitasi] individu-individu tertentu [tokoh], tanpa merujuk kepada konteks
sosial atau masyarkatnya. Ini tidak bermaksud sejarah harus menafikan
kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh raja-raja, pahlawan-pahlawan,
peneroka-peneroka dan pelabur-pelabur tertentu atau terkemuka. Secara langsung
atau tidak, seseorang ‘orang besar’ [tokoh] itu telah memberi kesan kepada
pembangunan orang bawahan dan keseluruhan masyarakat serta ketamadunan. Justeru
itulah, biasanya subjek ‘orang besar’ tersebut menjadi perhatian yang utama
kepada ahli sejarah. Sungguhpun begitu ahli sejarah harus membuka horizon
pandangannya terhadap implikasi dan persekitaran yang luas, dan bukannya
semata-mata mengkaji ‘orang besar’tersebut.
b. Perubahan melalui masa
Memang
benar semua perubahan itu ‘melalui masa’. Namun pengertian di sini bukanlah
bermaksud melalui unit-unit masa, tetapi ‘secara relatifnya satu jangka masa
yang panjang, iaitu bertahun-tahun dan
berkurun-kurun lamanya, bukannya hari-hari dan minit-minit. Konteks ‘individu
dalam masyarakat’ juga merupakan kecenderungan pelbagai sains sosial
(antropologi, sosiologi, ekonomi, sains politik dan kerajaan, dan sebagainya).
Secara kasarnya, ahli sains sosial melihat faktor-faktor lumrah, corak-corak
yang biasa, aktiviti-aktiviti individu dalam masyarakat yang dapat dilihat,
manakala ahli sejarah pula melihat dari segi apa masyarakat itu berbeza antara
satu dengan lain pada masa tertentu dan bagaiamana melalui masa masyarakat
mengalami perubahan dan pembangunan.
Dalam pada itu, sejarah dalam pengertian yang lain
‘membicarakan satu cerita’, yang seharusnya mengandungi penceritaan, iaitu satu
pengertian tentang pergerakan atau perubahan melalui masa. Namun kita tidak
sepatutnya terlalu rigid terhadap idea bahawa sejarah menghendaki penceritaan
dan analisis kejadian mengikut jalur masa sahaja. Satu senarai tarikh dan
peristiwa semata-mata adalah satu babad, bukannya sejarah. Lantaran itu,
seseorang penulis sesuatu senarai fakta hanyalah seorang pencatat, dan bukannya
sejarawan dalam erti kata yang sebenar dan tepat. Tugas sejarawan jauh lebih
berat berbanding dengan pencatat tersebut. Oleh kerana kecenderungan terhadap
suatu perubahan melalui masa atau urutan waktu, ahli sejarah sering berhadapan
dengan kesulitan untuk mengemukakan bilakah sebenarnya sebahagian daripada
peristiwa-peristiwa itu berlaku Tambahan pula ahli sejarah tidak boleh
menganalisis peristiwa-peristiwa tersebut sehingga diketahui susur-galur
sebenarnya peristiwa-peristiwa tersebut berlaku.
Kadangkala karya tertentu oleh seseorang sejarawan akan
bersangkutan secara khususnya (eksklusif) dengan analisis dan penjelasan, dan
tidak akan mengandungi sebarang maksud perubahan melalui masa yang jelas (explicit). Karya sejarah sedemikian akan
dianggap oleh ahli sejarah sebagai penyumbang kepada suatu pandangan sejarah
yang lebih luas dan mendalam termasuk sumbangannya kepada penjelasan terhadap
unsur perubahan melalui masa. Sebagai
contoh di sini, seorang ahli sejarah mengusahakan penelitian yang mendalam
terhadap kehidupan berkampung di Melaka dalam kurun masehi keempat belas:
terdapat analisis yang mendalam, tetapi sedikit atau tidak berunsur perubahan
melalui masa. Seorang ahli sejarah lain pula melakukan penelitian subjek yang
sama untuk kurun ke-16 masihi. Kedua-kedua pengkaji tidak begitu berjaya
memperlihatkan perubahan kehidupan bermasyarakat di Melaka melalui masa satu
abad kerana perubahan kehidupan bermasyarakat berlaku sangat perlahan. Namun
hasil penelitian khusus mereka bagi akan memberi manfaat kepada pemahaman
terhadap perubahan dan kesinambungan kehidupan bermasyarakat di Melaka melalui
masa apabila ada pengkaji lain yang menggunakan kedua-dua penelitian tadi untuk
menghuraikan kehidupan masyarakat Melaka yang berlaku sejak abad ke-14 hingga
abad ke-16.
c. Peristiwa Yang Khusus dan Unik
Perkara
lain yang harus kita lakukan mengenai sejarah pada peringkat ini ialah ianya
harus bersangkutan dengan apa yang sebenarnya berlaku kepada manusia dalam
masyarakat pada masa lampau. Misalnya, penekanan ahli sejarah harus
bersangkutan dengan apa bentuk kehidupan berkampung yang sebenarnya pada akhir
kurun masehi ketiga belas, daripada membuat kenyataan-kenyataan umum tentang
kehidupan berkampung. Jika seseorang ahli sejarah itu telah cukup mengkaji
berbagai contoh kehidupan berkampung
dalam zaman-zaman yang berbeza, ahli sejarah tersebut akan terdorong
untuk mengemukakan kenyataan-kenyataan yang umum tentang kehidupan berkampung,
tetapi dia harus bermula dengan contoh-contoh ‘yang khusus’. Jika pun ahli
sejarah tersebut mempunyai kecenderungan terhadap apa yang dipercayanya sebagai
sifat-sifat yang berulang-ulang dalam aktiviti-aktiviti manusia, dia harus
sentiasa peka pada keunikan peristiwa-peristiwa, dan kehidupan lampau. Mungkin
ada, atau tidak, sifat-sifat, tetapi keadaan-keadaan yang khusus tidak akan
berulang dalam bentuk yang [benar-benar] sama. Adalah menjadi satu peranan yang
asas kepada ahli sejarah untuk menerangkan pengalaman manusia dengan
menonjolkan perbezaan-perbezaan.
Penulisan sejarah yang bermutu akan sentiasa
menghuraikan keadaan hubungkaitan dan persamaan yang bermakna di antara
peristiwa-peristiwa yang berbeza. Tidak dinafikan wujud penulisan sejarah yang
cuba melupakan keunikan pengalaman dan masa lampau untuk menghasilkan sesuatu
generalisasi dan persamaan yang mudah. Perlu diingatkan di sini, walaupun
mungkin kita cenderung dengan usaha
membina sesuatu model yang umum untuk menjelaskan perhubungan di antara
peperangan dan perubahan sosial misalnya, tetapi sebagai seorang ahli sejarah,
langkah permulaan kita harus sentiasa menumpu pada mewujudkan ciri-ciri
tersendiri sesuatu peperangan dan menghubungkaitkan secara dekat dengan
perubahan-perubahan sosial yang berkaitan dengan peperangan itu sebelum satu
generalisasi dibuat sebagai tambahan huraian,
BIDANG-BIDANG PENELITIAN SEJARAH
Pada peringkat awal, sejarah muncul sebagai
satu rekod kronologi peristiwa-peristiwa penting dan khusus mengenai sesebuah
negara dan institusi. Ia adalah cerita dan kisah tentang berbagai
peristiwa-peristiwa yang berhubung dengan kemunculan, kebangkitan dan kejatuhan
sesebuah kerajaan. Pada abad ke-19 masihi, sejarah moden telah diperkenalkan
khususnya oleh sejarawan Jerman, Leopold Von Ranke. Namun penelitian sejarah
ketika ini banyak menekankan bidang politik dan diplomatik menerusi penulisan
berbentuk naratif. Justeru itu, era ke-19 masihi tersebut telah
diklasifikasikan sebagai ‘sejarah lama’ oleh Getrude Himmelfarb, terutamanya
dengan kemunculan aliran intelektual dalam abad ke-20 masihi yang mencetuskan
penelitian terhadap pelbagai bidang kajian sejarah seperti sejarah kebudayaan,
sejarah pendidikan, sejarah ekonomi, sejarah sains dan seterusnya kepada
pecahan-pecahan yang lebih kecil seperti sejarah alam pemikiran, sejarah
tumbuh-tumbuhan, sejarah perfileman, sejarah ketenteraan, sejarah bola sepak
dan sebagainya. Era ke-20 masihi telah diklasifikasikan sebagai ‘sejarah baru’
oleh Himmelferb.
Bermula
pada penghujung tahun 1920-an muncul satu kumpulan dari Perancis yang terdiri
daripada golongan Annales yang melihat sejarah secara keseluruhan dengan
harapan dapat mengembangkan lagi ruang lingkup sejarah. Apa yang menjadi
prinsip asas kepada bidang penelitian sejarawan golongan ini ialah terhadap
perkembangan keseluruhan jenis aktiviti manusia. Prinsip ini melahirkan
pelbagai bidang kajian sejarawan. Secara jelasnya, bidang kajian sejarah adalah
luas sekali sebagaimana yang dikatakan oleh Henri Pirenne sebagai penyeluruhan
yang luas yang merangkumi keseluruhan proses perkembangan sejarah masyarakat
manusia dan kegiatannya. Malah kini sejarah boleh difahami sebagai suatu
keseluruhan masa lalu yang seolah-olah tanpa batasannya. Dalam usaha untuk
memahami keseluruhan masa lalu, para sejarawan terpaksa melihatnya dari t
pelbagai sudut dan bidang. Implikasi daripada kemunculan pelbagai jenis sudut
dan bidang yang dikaji oleh sejarawan
maka sejarah telah dibahagikan kepada beberapa bidang serta pecahan-pecahan
atau pengkhususan yang tertentu bagi memudahkan sejarawan mengkaji dengan lebih
khusus, mendalam dan relevan lagi melalui prinsip dan kaedah yang lebih sesuai.
Berikut akan dibicarakan serba sedikit pengenalan kepada beberapa bidang
sejarah terpilih.
SEJARAH INTELEK
Sejarah
intelek ialah sejarah pemikiran bersifat tematik. Bidang sejarah intelek ini
telah lama wujud sejak zaman Greek lagi yang menumpu kepada aspek-aspek agama
seperti Kristian dan Islam sebelum abad ke-19 masihi. Konsep sejarah pemikiran
sama dengan sejarah falsafah iaitu kajian mengenai pemikiran manusia. Namun
sejarah pemikiran masih mempunyai perbezaan dengan dari sudut tumpuan kajian.
Tumpuan kajian sejarah falsafah lebih bersifat khusus dan dikaitkan dengan
pemikiran manusia di peringkat yang tinggi. Manakala tumpuan sejarah pemikiran
pula lebih bersifat umum dan melibatkan tahap pemikiran manusia di peringkat
biasa dan sederhana. Dalam erti kata lain, apa yang dikaji dalam sejarah
pemikiran adalah merangkumi gagasan-gagasan potitik, sosial, ekonomi,
pendidikan, kebudayaan dan lain-lain. Apa yang terpenting sekali ialah kesan
serta pengaruh gagasan tersebut terhadap pemikiran, tindakan dan perkembangan
masyarakat manusia sama ada dari luaran mahupun dalaman.
SEJARAH POLITIK
Sejak
bermulanya bidang ilmu sejarah, nampaknya bidang politik sentiasa menjadi
perhatian utama. Justeru itu, sejarah kerap-kali diungkap sebagai politik masa
lampau. Malah dikatakan bahawa sejarawan pada masa lampau cnederung melihat
aspek politik sebagai faktor penggerak yang mengubah perjalanan sejarah manusia
manakala faktor lain sekadar faktor sampingan sahaja. Keadaan ini amat jelas
wujud dalam pensejarahan Melayu tradisional yang begitu menonjolkan golongan
raja dan pemerintah sebagai pusat kegiatan sejarah. Apa yang dimaksudkan dengan
tajuk karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) itu adalah mengenai asal usul
dan politik raja-raja. Setelah kedatangan kuasa penjajah Inggeris, sejarah masih memaparkan aspek politik
-sistem pentadbiran yang berbentuk secara langsung dan tidak langsung. Malah selepas
kemerdekaan tercapai pun, sejarah terus menekan aspek politik-sistem
pentadbiran demokrasi berperlembagaan. Jadi dikatakan di sini, sejarah politik
itu hanyalah merupakan rangkaian sejarah tokoh politik dan pentadbiran yang
berkuasa. Cabang pengajian sejarah politik ini termasuklah sejarah diplomatik,
sejarah perlembagaan, dan sejarah ketenteraan.
SEJARAH SOSIAL
Menurut
pendapat sejarawan Belanda, P.J Blok, bahawa sejarah sosial ialah the history of the people. Ia adalah
kajian mengenai pola-pola kebudayaan masyarakat manusia, terutamanya yang
memperlihatkan aspek-aspek sosial di dalamnya. Antara aspek-aspek yang diliputi
dalam bidang ini termasuklah kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, agama,
ekonomi, pendidikan, perundangan, pemikiran, keluarga, wanita, etnik dan
sebagainya.
SEJARAH EKONOMI
Sungguhpun dalam bidang sejarah sosial turut merangkumkan sejarah ekonomi sebagai salah satu daripada aspek kajian, namun lebih tepat dikatakan bahawa sejarah ekonomi itu timbul dan berkembang dengan caranya sendiri. Hakikatnya, kemunculan sejarah ekonomi telahpun bermula dengan terbitnya karya Wealth of Nations (1770) oleh Adam Smith dan mula berkembang pesat dengan kemunculan konsepsi sejarah kebendaan oleh Karl Marx pada abad ke-19.
Sejarah ekonomi terbahagi kepada dua
jenis. Yang pertama adalah bersifat tematik, iaitu yang lebih menekankan aspek
kegiatan ekonomi atau tema-tema ekonomi dalam sejarah. Manakala jenis yang
kedua pula ialah bersifat paradigmatik, iaitu faktor ekonomi dijadikan sebagai
skema mental atau asas falsafah dalam mengkaji sejarah. Walau bagaimanapun,
jenis tematik telah mendapat sokongan yang padu daripada para peminat sejarah
berbanding jenis paradigmatik yang didokong oleh konsepsi sejarah kebendaan
Marx. Bidang sejarah ekonomi berkembang pesat dalam abad ke-20 masihi sehingga
membentuk dua aliran, iaitu aliran sejarah ekonomi tradisional yang bersifat
menyeluruh dan aliran sejarah ekonomi baru atau disebut sebagai cliometrics yang bersifat terlalu khusus
kepada persoalan ekonomi semata-mata. Hakikatnya, kedua-dua aliran tersebut
terus berkembang secara saling melengkapi antara satu sama lain dalam cara
penelitian masing-masing.
Bidang sejarah ekonomi juga merangkumi pelbagai aspek atau
bidang berkaitan seperti perniagaan, kuantitatif dan komoditi. Selain itu,
dalam bidang sejarah ekonomi juga terdapat beberapa ciri penting dalam cara
penelitiannya, seperti kemampuan membuat generalisasi, kemampuan menyusun data
secara kuantitatif, kemampuan membuat kajian komparatif dan mengidentifikasikan
pola atau kecenderungan.
SEJARAH KEBUDAYAAN
Sejarah
kebudayaan juga dikatakan sebahagian daripada sejarah sosial, namun cara
perkembangannya adalah berbeza. Sejarah kebudayaan adalah kajian yang
merangkumi keseluruhan cara hidup masyarakat manusia, iaitu meliputi sistem
sosial, ekonomi, politik, agama, moral, adat istiadat, undang-undang, kesenian,
bahasa, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Secara khususnya, kajian sejarah
kebudayaan dapat dibahagi kepada dua, iaitu kebudayaan tinggi atau elit dan kebudayan
popular atau massa. Di antara kedua-duanya, kebudayaan popularlah yang sering
menjadi tumpuan dalam kajian budaya.
SEJARAH AGAMA
Biasanya
tumpuan kajian bidang sejarah agama adalah mengenai sejarah dan perbandingan
agama-agama yang pernah wujud di dunia ini. Umumnya, dalam perkembangan ilmu
pengetahun, bidang sejarah agama telah melahirkan pelbagai aspek dan
bidang-bidang dikaji sebagai salah satu bidang ilmu dan wujudlah falsafah
agama, sosiologi agama, psikologi agama dan juga antropologi agama.
Setelah beberapa perincian dibuat mengenai matlamat dan
bidang penelitian sejarah dalam bahagian ini, dapat dirumuskan bahawa sejarah
adalah suatu bidang penelitian yang amat luas dengan tiada batasan untuknya.
Oleh itu, bagi seseorang sejarawan yang ingin melakukan penelitian, dia perlu
memfokuskan kepada satu bidang kajian yang khusus dan semestinya bidang itu
adalah yang diminati. Aspek pengkhususan secara tematik dalam sesuatu bidang
itu amat penting kepada seseorang yang ingin menjadi penyelidik sejarah agar
dapat menghasilkan satu kajian yang lebih mendalam dan bermakna lagi.
Soalan-soalan Penilaian
1.
Apakah tiga perkara asas
dalam penelitian sejarah?
2.
Senaraikan bidang-bidang
dalam penelitian sejarah?
3.
Apakah persamaan utama yang
menjadi kecenderungan sejarah dan bidang-bidang lain?
4.
Apakah maksud ‘perubahan
melalui masa’ dalam penelitian sejarah?
5.
Jelaskan ‘kenyataan khusus’
dan ‘kenyataan umum’ dalam penelitian sejarah?
6.
Apakah maksud ‘sejarah lama’
dan ‘sejarah baru’ menurut Himmelferb?
7.
Siapa dan apakah pandangan
golongan Annales terhadap penelitian sejarah?
8.
Jelaskan peranan bidang
Intelek dalam penelitian sejarah?
9.
Bagaimana bidang sosial
dapat membantu penelitian?
10.
Apa jenis-jenis sejarah
ekonomi?
Bahan Bacaan Asas
Abdul Rahman Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Carr, E.H. 1965. What is History. Middlesex: Penguin
Books Ltd.
Collingwood, R.G. 1986. Idea Sejarah. (terj.). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Himmelfarb, Getrude. 1987. The New History and Old: Critical Essays and
Reappraisals. Cambridge: The Belknap Press of Harvard University Press.
Marwick, A. 1985. The Nature of History. London: Macmillan
Publishers Ltd.
Muhd. Yusof Ibrahim. 1997. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan
Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Qasim Ahmad. 1996. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rowse, A.L.Rowse. 1965. The Use of History. New York: The
Macmillan Company.
Stern, Fritz. 1973. The Varisties of History: From Voltaire to
Present. New York: Vintage Books, A Division of Random House.
Wang, Gungwu. 1968. The Use of History. Ohio: Center for
Interntional Studies, Ohio University.
Ulasan
Catat Ulasan