bab 3 ciri-ciri penyelidikan sejarah



BAB 3
CIRI-CIRI PENYELIDIK SEJARAH

 

OBJEKTIF

-     menjawap persoalan siapakah penyelidik sejarah dan apakah kreteria-kreteria yang diambil kira sebagai kelayakan seseorang yang ingin menjalankan penyelidikan sejarah.

-     meneliti dan menganalisa secara kritis beberapa ciri-ciri penting yang perlu dimiliki oleh penyelidik sejarah.

-     menilai betapa penting ciri-ciri pengalaman dan latihan, penghayatan falsafah sejarah dan tatacara penyelidikan sejarah dalam membantu seseorang penyelidik untuk mencapai kesempurnaan penyelidikannya.














SIAPAKAH PENYELIDIK SEJARAH?

Persoalan pokok, siapakah penyelidik sejarah? menjadi intipati khusus dalam perbincangan bahagian ini. Penyelidik sejarah ialah seorang individu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan penelitian terhadap peristiwa-peristiwa masa lalu yang diminati dengan matlmat menghasilkan sesuatu karya sejarah. Dalam menghasilkan sesuatu karya, seseorang penyelidik sejarah tidak wajar langsung menulis atau menyalin idea-idea yang diperolehi dari sumber-sumbernya. Sesuatu hasil karya sejarah itu akan ditentukan nilainya oleh para pembaca, yang memiliki sikap curiga, dan pentafsiran yang berbeza dengan penyelidik. Pembaca-pembaca akan mempertikaikan hasil karyanya. Oleh itu, seorang penyelidik haruslah memiliki beberapa kriteria-kriteria ataupun ciri-ciri penting untuk melayakannya menjadi seorang penyelidik sejarah, yakni sebagai asas bukti kepada hasil penyelidikan yang dibuat, yang boleh diterima dan diakui kebenarannya. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut;


1. Kesedaran Sejarah

Kesedaran sejarah adalah merujuk kepada sikap dan cara pemikiran seseorang individu melihat perubahan dalam masyarakatnya, khususnya dari sudut sejarah. Menurut pendapat Louis Gotschalk, kesedaran sejarah adalah satu usaha untuk memahami dan menghargai sikap masyarakat dahulu yang telah mencapai pelbagai kemajuan dalam bidang kebudayaan dan cara hidup.  Hakikatnya, tidak semua anggota masyarakat mempunyai sikap dan pemikiran sejarah sedemikian dan tidak semua pula yang dapat menghayati nilai sejarah. Justeru itu, usaha yang pragmatik perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membentuk sikap dan pemikiran sejarah dari peringkat persekolahan hinggalah ke peringkat masyarakat umum. Pemikiran merujuk kepada kegiatan mental seseorang yang waras bagi menghadapi dan mengatasi sesuatu masalah ataupun bagi melaksanakan sesuatu rancangan dalam hidupnya. Justeru itu, pemikiran sejarah juga merujuk kepada keupayaan penghayatan mental yang lebih toleransi bagi seseorang untuk mengetahui, memahami atau menilai yang mana satu pengetahuan dan kehidupan bagi pelbagai budaya yang berbeza. Pendek kata, pemikiran sejarah dapat dianggap sebagai keupayaan seseorang untuk memahami kejadian masa lampau dan pengalaman orang lain.

Melalui pemikiran sejarah seseorang penyelidik sejarah tidak terlalu bersikap futuristik sehingga melupakan nilai-nilai budaya, estetika, moraliti dan maruah yang diwarisi sejak zaman berzaman. Seseorang penyelidik sejarah sedar bahawa nilai-nilai ini amat penting sekali untuk terus dihidupkan agar masyarakat umum dapat merenungnya kembali menjadi pemangkin ke arah kesejahteraan hidup yang lebih selesa pada masa ini dan masa depan. Antara nilai-nilai budaya yang boleh menjadi contoh di sini ialah Tugu Negara, Stadium Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, serta Bandar Hilir di Melaka. Semuanya merupakan peninggalan binaan atau monumen yang mencatatkan nilai tinggi terhadap lipatan sejarah masyarakat Malaysia secara menyeluruh, iaitu yang terbentuk dengan budaya kerjasama, toleransi, tolong-menolong, moraliti, maruah serta semangat nasionalisme yang tinggi untuk memperolehi kemerdekan daripada penjajahan asing pada masa lampau. Oleh yang demikian, dengan kesedaran atau pemikiran sejarah, seseorang penyelidik dapat menilai ketinggian nilai kesejarahan pada binaan atau monumen tersebut. Ini berbeza sekali dengan individu lain yang hanya melihat binaan atau monumen tersebut sebagai satu lambang, produk pelancong ataupun sekadar melengkapkan halaman aturcara rasmi negara seperti perayaan ‘Hari Kebangsaan’ yang kerapkali diadakan di Bangunan Sultan Abdul Samad.


2. Kesarjanaan

Seseorang yang ingin menjadi penyelidik harus mempunyai kesedaran mengenai sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan. Justeru itu, terbentuk suatu sikap yang berbeza sekali dari sikap biasa yang dimiliki oleh orang ramai. Misalnya, orang ramai akan menganggap sejarah itu suatu fenomena biasa sahaja. Mereka mungkin memanggil fenomena tersebut sebagai ‘sesuatu yang berharga’, namun hakikatnya mereka tidak pernah bertanyakan pada diri sendiri apakah yang dimaksud itu. Manakala seorang penyelidik sejarah pula mempunyai keinginan yang tinggi bukan saja untuk mengetahui malah bersikap kritikal terhadap sesuatu. Penyelidik mempunyai sikap ingin meneliti dengan lebih luas lagi, lebih peka dan tajam pemerhatiannya terhadap persekitaran dalam usahanya untuk mengetahui dan memahami sesuatu.

         Sikap ingin tahu atau curiosity perlu ada pada diri seseorang yang ingin menjadi penyelidik sejarah. Sikap ingin tahu ini telah ditunjuk oleh tokoh bapa sejarah, Herodotus, sendiri. Sikap ingin tahu inilah yang telah mendorong beliau untuk melawat banyak tempat dalam usahanya untuk mencari maklumat. Selain dirinya sendiri, beliau turut menggolongkan kaum pedagang Greek yang mempunyai sikap ingin tahu sebagai historia yang bermaksud ‘penyelidik’. Maka, sebagai seorang penyelidik sejarah, sikap ingin tahu memain peranan penting dalam penyelidikannya.



3. Mempunyai kelulusan sejarah, latihan dan pengalaman

Sekadar sikap ingin tahu seseorang itu adalah tidak cukup untuk melayaknya menjadi penyelidik sejarah. Seseorang penyelidik sejarah perlu mengetahui dan memahami falsafah sejarah terlebih dahulu. Pendek kata, penyelidik sejarah perlu memiliki ciri  seseorang yang mempunyai kelulusan khusus dan diiktiraf. Penyelidik wajar mempunyai kelulusan yang baik, terlatih dalam pengetahuan falsafah, teori dan kaedah ilmu sejarah. Pengetahuan ini membantunya untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan secara berterusan.

         Kelulusan tidak akan mencukupi tanpa ada latihan dan pengalaman yang khusus pada diri seseorang penyelidik sejarah. Latihan dan pengalaman ini amat penting sebagai bekalan untuk memudahkan kerja-kerja seseorang penyelidik itu supaya hasil yang diperolehi terbukti kebenarannya. Ciri-ciri ini juga akan dapat memberi keyakinan kepada penyelidik untuk meneruskan penyelidikannya sehingga selesai. Di dalam latihan tersebut, penyelidik telah diberi pengetahuan tentang disiplin sejarah dan kaedah atau tatacara penyelidikan sejarah. Pengetahuan ini pastinya akan dapat menjamin sesuatu penyelidikan itu dijalankan dengan lebih sempurna. Latihan, pengalaman dan pengetahuan menjadi asas yang kukuh kepada seseorang penyelidik untuk menyelidiki sesuatu isu atau peristiwa yang hendak dikaji. Dengan pengalaman yang dimiliki, sesuatu kerja penyelidikan dapat diperkemaskan lagi dari segi corak dan strategi yang telah dirangka terlebih dahalu. Manakala pengetahuan yang mendalam tentang falsafah sejarah dan juga tentang sesuatu peristiwa masa lampau akan dapat membantu usaha-usaha penyelidikan dirancang dan dikerjakan secara sistematik dan saintifik.


4. Keupayaan Imaginasi yang baik

Imaginasi merujuk kepada proses kegiatan mental seseorang yang waras bagi menghadapi dan mengatasi sesuatu masalah atau persoalan dalam setiap perlaksanaan sesuatu rancangannya. Proses kegiatan mental ataupun imaginasi ini merupakan tindakan pemikiran yang berlaku kepada setiap manusia sepanjang waktu. Seorang penyelidik sejarah adalah berbeza dari seorang manusia biasa kerana dia perlu sentiasa peka, tajam penelitiannya dan perlu mempunyai perasaan ingin tahu (Curiosity) terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya. Seseorang penyelidik sejarah perlu mempunyai pemikiran yang kritis apabila membuat penelitiannya. Pendek kata, dia bukanlah seseorang yang kurang siuman atau gila.

Seseorang penyelidik sejarah bukanlah sekadar seorang yang waras, malah beliau harus mempunyai keupayaan atau daya imaginasi yang kuat. Oleh kerana sejarah adalah suatu peristiwa yang sudah berlalu, tidak akan berlaku lagi atau tidak akan dilihat oleh sesiapa lagi, ataupun peristiwa tersebut sudah lenyap dari ingatan, maka penyelidik hanya boleh berhubung dengan peristiwa itu dengan kekuatan daya imaginasinya sendiri. Dengan keupayaan ini, penyelidik sejarah dapat melakukan penelitiannya dan menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Ini tidak bermaksud, penyelidik mengada-adakan cerita ataupun menimbulkan fakta-fakta yang palsu. Imaginasi seorang penyelidik sejarah perlu berpandukan kepada bukti-bukti sejarah yang sahih dan disampaikan dengan penuh kejujuran. Ini juga bermakna perkara-perkara yang dibuat dan tujuan penyelidik adalah cukup sekadar untuk melaksanakan penyelidikannya dan menjayakan penulisan sejarahnya.

Dalam penelitian sejarah, seseorang penyelidik sejarah harus pandai menggunakan imaginasinya untuk membuat suatu frame work di dalam pemikirannya agar tidak berlaku kekaburan fakta di dalam hasil penulisannya nanti. Keupayaan imaginasi ini sesuai dan bertepatan dengan kenyataan Collingwood yang menyebut bahawa semua sejarah adalah sejarah pemikiran. Misalnya, seseorang penulis karya sejarah yang membuat dokumentari sejarah perlu memikirkan latar belakang, pakaian, dialog, jenis muzik dan peralatan lain yang sesuai dengan zaman tersebut, namun segala ini perlu berlandaskan kepada sumber yang sahih dan sikap yang jujur.


5. Ketepatan

Prinsip asas penyelidikan sejarah adalah untuk mencapai kebenaran sejarah. Justeru itu, cita-cita kebenaran sejarah hanya akan tercapai apabila kerja-kerja dalam sepanjang proses penyelidikan dilakukan dengan tepat. Ketepatan ini merujuk kepada sikap dan tingkah laku seseorang untuk memerhati sesuatu dengan teliti dan kemudian akan menyatakan apa yang sebenar-benarnya yang telah ditelitinya itu. Misalnya, kerja mencatat nama, tarikh dan pelbagai lagi fakta sejarah daripada sumber-sumber yang diperolehi haruslah tepat.


6. Kejujuran

Kejujuran adalah ciri yang amat perlu ada pada diri seseorang penyelidik sejarah. Seseorang penyelidik itu tidak boleh mengenepikan matlamat dan semangat untuk mencapai kebenaran sejarah. Kejujuran penyelidik amat mustahak ketika berhadapan dengan peristiwa-peristiwa masa lalu dan ketika mencatat fakta tidak kira apakah perasaan penyelidik ketika itu. Seorang penyelidik sejarah tidak akan berdiam diri sahaja apabila berhadapan dengan hal-hal yang tidak benar malah tidak pula takut untuk menyebut apa saja yang benar mengikut aturan bahawa tidak wujud prasangka sama ada secara memihak  atau perseteruan dalam diri penyelidik. Keadaan ini diperjelaskan oleh Barzun (1977) yang mengatakan, jika seseorang penyelidik tidak mencatat apa yang benar dengan penuh ketulusan hatinya, maka penyelidik itu menjadikan keputusan sesuatu peristiwa yang direkodkan itu sebagai tidak sah. Seseorang penyelidik sejarah sepatutnya berusaha mencari atau mencungkil kebenaran dalam sesuatu peristiwa sejarah.

Seorang penyelidik sejarah harus mencontohi peranan seorang peguam dan hakim di mahkamah, iaitu perlu mengetahui segala bukti-bukti yang ada sebelum membuat apa-apa keputusan. Sudah menjadi kebiasaan sesuatu realiti itu dicampur-adukkan, namun penyelidik bertanggunggjawab untuk mengasingkannya. Di sini penyelidik bertindak umpama seorang hakim ataupun juri, dan bukan pula seperti seorang peguam bela. Peguam bela hanya akan mengemukakan fakta-fakta yang menyebelahi anak guamannya sahaja. Manakala hakim dan juri melihat segala fakta dengan tidak  berkecenderungan menyebelahi mana-mana pihak. Untuk mengelak dari bersikap bias, fakta-fakta harus meliputi segala aspek selaras dengan kejujuran dan keobjektifan pengadilan yang dipertanggungjawabkan. Sikap prasangka tidak harus dibiar menyelubungi pertimbangan dalam meneliti sesuatu fakta. Pendek kata, seseorang penyelidik sejarah harus mendisiplinkan diri bagi memastikan proses penyelidikannya mengikut lunas bidang ilmu sejarah.


7. Ketelitian

Seseorang yang ingin menjadi penyelidik sejarah perlu mempunyai ciri ketelitian atau sikap berhati-hati dalam usaha untuk mengetahui keadaan sebenar-benarnya sesuatu peristiwa, yakni kebenaran sejarah. Selaras dengan pesanan bapa sejarawan moden, Leopold Von Ranke yang mengatakan usaha penyelidikan haruslah menghasilkan sejarah ‘seperti sebenar-benarnya berlaku’. Oleh kerana setiap peristiwa sejarah mempunyai keunikan tersendiri, satu usaha penyelidikan yang berhati-hati harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Dengan memiliki sikap teliti dalam proses penyelidikan, seseorang penyelidik itu akan dapat menghasilkan satu sejarah yang boleh diyakini oleh masyarakat tanpa menimbulkan kesangsian kepada fakta yang disampaikannya. Sikap teliti ini telah ditunjukkan oleh Herodotus ketika melakukan pengambaraannya semata-mata mahu menyelidik tamadun Yunani khususnya untuk menyempurnakan penyelidikannya mengenai Perang Parsi. Ketelitian yang ditunjukkan oleh beliau dalam mencatat dan menganalisa setiap sudut sejarah tamadun Yunani telah menyebabkan karya beliau bertajuk “Perang Parsi’ berjaya menggambarkan keadaan seperti sebenar-benarnya peristiwa itu berlaku.

8. Kesabaran, Ketenangan dan Ketegaran

Di samping ciri teliti, seseorang penyelidik haruslah mempunyai sikap rajin dan semangat kegigihan yang tinggi dalam proses penyelidikannya. Ini berkait rapat dengan keperluan ciri-ciri kesabaran, ketenangan dan ketegaran yang perlu dimiliki bagi meneruskan penyelidikannya agar tidak terbantut separuh jalan sahaja. Ciri-ciri telah ditunjukkan oleh sejarawan berbangsa Itali, Benedetto Croce walau semasa hidupnya beliau banyak menghadapi pelbagai masalah, namun beliau akhirnya berjaya menghasilkan karya-karya sejarahnya.


9. Minat

Secara umumnya, minat adalah satu ciri yang harus dimiliki oleh seseorang penyelidik. Minat boleh dijadikan sebagai pendukung kepada sesseorang penyelidik untuk menyelesai dan menghasilkan sesuatu penyelidikan. Tanpa minat kemungkinan besar sesuatu penyelidikan tidak akan dapat diteruskan dan jika pun terus dilakukan tetapi hasil penyelidikan itu tidak akan sempurna.


10. Motif

Ciri ini juga haruslah ada pada diri seseorang penyelidik sejarah. Kewujudan motif dalam penyelidikan akan secara tidak langsung dapat menarik minat penyelidik untuk membuat sesuatu penyelidikan dengan bersungguh-sungguh. Namun setiap penyelidik biasanya mempunyai motif yang berbeza-beza. Misalnya, Urwah, seorang sejarawan Islam mempunyai motif untuk menulis dan menyelidiki Al-Quran. Sementara, sejarawan China, Ssu Ma Chien pula mempunyai motif merekod peristiwa-peristiwa sejarah untuk tujuan memberi pengajaran dan teladan kepada raja-raja dan negarawan-negarawan tentang contoh-contoh kelakuan yang baik atau sebaliknya.

         Dengan wujudnya motif penyelidikan akan dapat membantu penyelidik secara tidak langsung menanamkan minatnya terhadap subjek dan permasalahan kajian sama ada bagi memuaskan hati ataupun penyelidik sendiri inginkan hasil sejarahnya itu akan menjadi panduan dan ikhtibar kepada generasi akan hadapan.

Soalan-soalan Penilaian

1.      Apakah yang dimasudkan dengan ‘kesedaran sejarah’?
2.      Sikap ingin tahu atau curiosity perlu ada pada diri seseorang penyelidik sejarah, jelaskan?
3.      Selain daripada sikap kesarjanaan, apakah kelayakan lain bagi seseorang yang ingin membuat penelitian sejarah?
4.      Apakah sekadar mempunyai mental yang waras itu cukup bagi seseorang yang hendak membuat penelitian sejarah?
5.      Seorang penyelidik boleh berperanan seumpana seorang peguam bela dan juga seorang hakim, bagaimana?
6.      Apakah yang dimasudkan oleh Ranke apabila menyebut ‘seperti sebenarnya berlaku’?
7.      Apakah sikap yang telah diamalkan oleh Herodutos semasa menghasil karyanya berjudul Perang Parsi?
8.      Apakah prinsip utama yang harus dipegang oleh seorang penyelidik untuk mencapai kebenaran sejarahnya?
9.      Dalam menghadapi segala rintangan dalam sesuatu penelitian sejarah, apakah yang harus diamalkan oleh seseorang penyelidik?
10.    Setiap kegiatan penyelidikan sejarah harus mememiliki minat dan motif, jelaskan?

 
Bahan Bacaan Asas

Barzun, J. & Graff, H.F. 1970. The Modern Researcher. New York: Harcourt Brace & World Inc.
Colliingwood, R.G. 1966. The Idea of History. London: Oxford University Press.
Elton, G.R., 1970. The Practice of History. Sydney: Sydney University Press.
Garragham, G.J. 1957. A Guide to Historical Methode. New York: Fordham University Press.
Gottschalk, L. 1975. Pengertian Sejarah: Penghantar Methode Sejarah. (terj.) Jakarta: Yayasan Penerbitan Universitas Indonesia.
Kent, S. 1967. Writing History. New York: Meredith Publishing Company.
Mohd. Yusof Ibrahim. 1986. Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Ibrahim & Mahayuddin Hj. Yahaya. 1988. Sejarawan dan Persejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nugroho Notosusanto. 1971. Norma-norma Dasar Penelitian dan Penulisan Sejarah. Jakarta: Pusat Sejarah Arbi.
Sidi Gazalba. 1966. Penghantar Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta: Bharatara Karya Aksara.

Ulasan

Catatan Popular