“Zaman Showa telah membawa kesengsaraan kepada jutaan rakyat Jepun, ianya juga mempengaruhi bentuk serta dinamika masyarakat Jepun selepas perang.” (John Dower)



TUGASAN ESEI 6 :
“Zaman Showa telah membawa kesengsaraan kepada jutaan rakyat Jepun, ianya juga mempengaruhi bentuk serta dinamika masyarakat Jepun selepas perang.” (John Dower)
Bincangkan.
ISI KANDUNGAN
1.0     PENDAHULUAN…………………………………………….
2.0     KEMUNCULAN TENTERA DALAM POLITIK…………
3.0     KESENGSARAAN 1930- 1945…………………………......
4.0     CAMPURTANGAN AMERIKA SYARIKAT……………..
5.0     REAKSI MASYARAKAT JEPUN…………………………
6.0     KESIMPULAN……………………………………………….
BIBLIOGRAFI

1.0  Pendahuluan
Zaman Showa merupakan zaman yang paling lama iaitu ketika zaman sebelum perang sehingga ke zaman perang Pasifik. Jangka masa tersebut ialah bermula pada tahun 1926 hingga tahun 1989. Secara umumnya, zaman Showa merangkumi zaman sebelum dan selepas perang pasifik, kekalahan Jepun dalam perang menyebabkan kesengsaraan rakyatnya, pengeboman oleh Amerika Syarikat di Jepun, zaman pembangunan ekonomi yang menjadikan Jepun bangkit menjadi antara kuasa besar ekonomi dunia serta kemasukan pengaruh dari Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang seperti politik dan ekonomi di Jepun.[1] Zaman Showa juga telah mewujudkan kemunculan tentera dalam mempengaruhi tindakan politik di Jepun.
Pembaharuan Showa boleh dikatakan juga sebagai pembaharuan Meiji kali kedua dengan suatu kesempurnaan. Zaman Showa juga menampakkan peranan tentera dalam memainkan peranan dalam pemerintahan negara. Pembaharuan Showa memberi penekanan kepada sosialisme negara, petani, buruh, dan antarabangsa secara umumnya iaitu Jepun sebagai negara pemimpin di Asia. Bermula pada tahun 1941, kejayaan awal Jepun amat hebat dan menjadi sebuah empayar kerana berjaya menguasai banyak negara dari pihak penjajah barat. Pada tahun 1942, empayar Jepun merangkumi Asia Tenggara, Korea, Manchuria, dan sebahagian negara China dan Rusia. Namun, empayar Jepun tidak kekal lama kerana kekalahan Jepun dalam perang dunia kedua menyebabkan kesengsaraan serta kemasukan pengaruh Amerika Syarikat telah mengubah keadaan politik, ekonomi dan sosial di Jepun selepas Jepun menyerah kalah pada tarikh 2 September 1945 akibat dari pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki. Zaman Showa juga merupakan zaman kesengsaraan kepada rakyat Jepun akibat dari kekalahan dalam perang.
2.0  Kemunculan Tentera Dalam Politik
Sejak tahun 1930 telah menunjukkan Jepun telah dikuasai oleh pihak tentera. Ini bermula dari pembaharuan Showa yang menganggap birokrasi tentera merupakan suatu pembaharuan dan alat negara yang terbaik tetapi akhirnya membawa pengaruh tentera dalam politik. Pada masa tersebut, berlaku pergolakan politik antara tentera dengan kabinet kerajaan. Birokrasi tentera atau birokrasi reformis sangat dipatuhi oleh rakyat Jepun. Tentera Jepun melaungkan seruan Manchuria dan Mongolia ialah saluran hidup Jepun. Maksud sebenarnya mengenai seruan tersebut ialah untuk meluaskan kepentingan dan kuasa.[2] Kemuncak pergolakan politik Jepun yang telah berlaku pada tahun 1930-an itu bermula kerana kekuatan tentera Jepun yang kembali hebat pada masa itu hasil dari pembaharuan yang dilakukan pada zaman Meiji. Selepas itu, pihak Jepun telah menakluk Manchuria pada tahun 1931 dan menakluk China dalam perang pasifik pada tahun 1937.[3] Jepun menubuhkan Manchukuo sebagai sebuah negara yang merdeka. Kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan masalah politik dalaman dan ekonomi pada ketika itu telah menyebabkan masyarakat Jepun tertarik dengan birokrasi tentera yang berteraskan maharaja seperti yang dipelopori oleh kabinet tentera tersebut.[4]
Kemunculan birokrasi politik pada tahun 1930 ini dipengaruhi dari sebuah buku yang telah dikarang oleh seorang tokoh fasisme Jepun yang bernama Kita Ikki. Buku bertajuk Pembangunan Semula Negeri Jepun ini telah berjaya mempengaruhi pegawai- pegawai tentera untuk menguasai politik dan pemerintahan negara sehinggakan idea perluasan kuasa yang radikal perlu disamping tunduk di bawah Maharaja Jepun.[5] Hasilnya, kerajaan Jepun mula melakukan dasar perluasan kuasa dengan meluaskan tanah jajahannya di Asia Tenggara dan Asia Timur akibat daripada pengaruh yang dikenakan oleh pihak tentera terhadap kabinet kerajaan. Ini telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kabinet kerajaan Jepun kerana ada menteri yang menyokong dan ada juga yang mengkritik dasar tersebut. Ini membawa kepada rampasan kuasa tentera dan terbentuknya kabinet tentera hingga menyingkirkan kabinet kerajaan yang sedia ada. Pada awalnya telah memberi kejayaan kepada Jepun tetapi akhirnya ini telah membawa kepada hilangnya fungsi parlimen, aktiviti peperangan diutamakan dan kekalahan dalam perang telah mempengaruhi perjalanan ekonomi negara yang semakin meleset sehingga rakyat hidup merana kerana krisis ekonomi makin teruk dan kedudukan wanita yang semakin rendah akibat dari segala keputusan berada dibawah pemerintahan tentera tanpa perlu menerusi parlimen.[6]
Untuk mengatasi masalah ekonomi Jepun, dasar perluasan kuasa demi eksploitasi ekonomi negara jajahan telah dijalankan dengan seruan Konsep Asia Timur dan konsep Asia Raya telah diperkenalkan oleh kabinet tentera yang menguasai kerajaan Jepun. Pada tahun 1938, kerajaan Jepun yang dikuasai oleh pihak tentera mengumumkan satu kesatuan yang pada awalnya terdiri daripada China, Jepun dan Manchuria iaitu konsep Asia Timur dan selepas itu berubah menjadi konsep Asia Raya pada tahun 1941 selepas memasukkan Asia Tenggara dalam rancangan perluasan kuasa dan penubuhan sebuah empayar oleh pihak tentera Jepun. Sebelum itu pada tahun 1929, setelah pihak tentera berjaya menguasai pemerintahan negara, pihak tentera telah berusaha untuk menguatkan angkatan tentera atas dasar menjunjung pemerintahan Maharaja dengan dasar- dasar baru seperti latihan tentera telah diwajibkan di semua sekolah untuk perluasan empayar, pemikiran nasionalisme yang berteraskan ketaatan kepada maharaja juga telah ditekankan kepada masyarakat dan menukarkan barisan Jemaah menteri dengan orang- orang yang pro kepada ketenteraan atau lebih dikenali dengan parti Minseito. Contohnya seperti, ketua Parti Minseito iaitu Hamaguchi telah dipilih sebagai Perdana Menteri yang baru dengan barisan menteri dari pegawai- pegawai tentera seperti Menteri Pertahanan ialah Jeneral Ugaki, Menteri Kewangan ialah Inouye Junnusuke yang sememangnya merupakan seorang anggota tentera yang berani dan Menteri Dalam Negeri iaiatu Adachi merupakan seorang yang radikal ketika berjuang sebagai tentera negara dan juga pelantikan menteri- menteri yang lain kesemuanya dipengaruhi oleh pihak tentera.[7]
Hal ini telah membawa kepada pemberontakan politik dalam kerajaan tetapi berjaya ditewaskan oleh pihak tentera. Uniknya di Jepun masih mengekalkan status Maharaja Jepun sebagai simbol terhadap penyatuan masyarakat di Jepun dan Maharaja masih kekal diatas singgahsananya. Tambahan juga pihak tentera telah menukar semua gabenor- gabenor daerah dan ini telah menyebabkan kemenangan buat parti Minseito dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1930. Selain itu, selepas pihak tentera menguasai pemerintahan negara Jepun telah mengalami suatu masalah iaitu pada tahun 1931 telah terjadi peristiwa “5-1-5” iaitu pembunuhan Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi yang membawa kepada pemilihan jawatan tersebut tidak lagi dipilih menerusi parlimen dan menyebabkan demokrasi parlimen telah mati.[8] Kesan dari penaklukan Manchuria telah membawa kepada terkeluarnya Jepun dari Liga Bangsa- Bangsa pada tahun 1933 hingga merumitkan lagi keadaan kerana Jepun dan keseluruhan masyarakatnya telah tersisih dan diabaikan dari pihak antarabangsa dan melangkah kearah Pola Struktur Birokrasi berasaskan totalitarianism sayap kanan.[9] Hal ini bermaksud musnahnya sistem demokrasi berparlimen dalam negara Jepun sehingga membawa kepada peperangan dan kesengsaraan buat masyarakat dan negara yang pada awalnya birokrasi tentera ini dikhabarkan mampu untuk memberi kebahagiaan kepada rakyat Jepun secara keseluruhannya.
3.0  Kesengsaraan pada tahun 1930 hingga 1945
Kemelesetan ekonomi Jepun telah bermula pada tahun 1930 semasa keadaan perkhidmatan awam yang tidak teratur sehinggakan kaedah kerajaan mengawalnya dengan cara pemotongan gaji dan piawaian tertentu telah menyebabkan kepercayaan rakyat Jepun telah hilang dan tidak bersatu dalam menyokong pihak kerajaan. Kesan buruk ini telah membawa kepada kejatuhan ekonomi kerana kurangnya aktiviti eksport sehingga memberi kesan kepada peniaga sutera mentah. Pada tahun 1930, Amerika Syarikat telah memberhentikan perdagangan sutera dengan pihak Jepun dan mengakibatkan petani di seluruh Jepun menderita kerana pengeluaran sutera sangat penting dalam kegiatan ekonomi pada ketika itu. Di utara Jepun, aktiviti penanaman padi yang tidak menjadi pada tahun 1932 telah menimbulkan masalah kebuluran buat masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun merasakan hanya Pemulihan Showa yang mampu untuk menyelamatkan mereka dari krisis kemiskinan yang telah berlaku.[10]
            Pada masa tersebut sistem demokrasi parlimen telah mati kerana pemerintahan diambil alih oleh pihak tentera. Tambahan pula, penaklukan Manchuria pada tahun 1931 telah membawa kuntungan ekonomi kepada pemerintah tentera Jepun. Pada masa tersebut Jepun telah disokong oleh Jerman dan Itali dan bersatu dalam satu kuasa paksi. Keuntungan ekonomi di Manchuria telah memberi pulangan besar terhadap para petani dan peniaga Jepun sehingga tercetusnya Perang Pasifik pada tahun 1937. Hasil dari pembaharuan Showa telah membawa kepada langkah- langkah dari syarikat atau firma Jepun dalam menjalankan kegiatan pasaran gelap. Peranan para petani yang bekerja keras dan patriotik serta pengeluaran hasil yang banyak amat menguntungkan sehingga barangan perdagangan dari Jepun telah berjaya menembusi pasaran di seluruh dunia termasuklah pasaran gelap.[11] Manchuria boleh dikatakan sebagai penjana ekonomi yang berterusan sebelum tercetusnya perang pasifik kerana tanah yang subur.
            Hal ini telah membawa kepada ketamakkan dalam ekonomi pihak Jepun sehingga melancarkan perang dengan China pada tahun 1937 dan seterusnya tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941 apabila pihak Jepun menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbour, Hawaii dan menakluk negara- negara di Asia Tenggara. Rakyat Jepun pula telah dimobilisasikan menerusi pertubuhan patriotik seperti Imperial Rule Assistance Association. Maksudnya disini ialah sejak di alam persekolahan, rakyat telah diberi penekanan dan diajar tentang sejarah Jepun dan misi perluasan kuasa Jepun. Ini menjadikan ejen dalam propaganda yang berkesan dalam mempengaruhi tindakan rakyat untuk menyokong pihak kerajaan ketika itu.[12] Hasilnya ini telah membawa kejayaan pihak Jepun pada peringkat awal tetapi tidak berkekalan kerana pada bulan ogos tahun 1945, Jepun telah menyerah kalah kepada pihak bersekutu iaitu Amerika Syarikat. Kekalahan ini yang telah menambahkan lagi kesan kesengsaraan yang begitu besar kepada pihak Jepun yang semakin dirasai oleh rakyat dan negara secara keseluruhannya kerana berlakunya banyak kematian, kemusnahan bandar, wanita terpaksa melacur diri untuk meneruskan hidup, jutaan buruh lelaki menjadi penganggur dan sebagainya.
Sebenarnya sejak bermulanya zaman birokrasi tentera dalam pemerintahan di Jepun telah menunjukkan permulaan bagi kesengsaraan kepada rakyat. Contohnya ialah sistem demokrasi berparlimen yang telah mati, media dan pemikiran yang bebas pada awalnya telah dikawal dengan propaganda tentera, ekonomi yang meleset dan kebergantungan terhadap eksploitasi ekonomi tanah jajahan dan kemuncaknya ialah kekalahan Jepun dalam perang. Perkara sebegini semakin merumitkan lagi keadaan sehinggakan sebelum tahun 1945 zaman Showa telah membawa kesengsaraan kepada jutaan rakyat Jepun seperti kemusnahan bandar- bandar utama di Jepun semasa zaman peperangan yang sedang berlaku seperti di Tokyo, Osaka dan Nagoya masing- masing melebihi 55% dan keatas yang menunjukkan kemusnahan bandar- bandar tersebut begitu merugikan rakyat Jepun.[13]
Hal ini telah memberi kesan kepada lebih 10 juta orang hilang tempat tinggal dan ada yang mati akibat dari peperangan yang berlaku antara Jepun dengan negara- negara lain. Tambahan pula, selepas Pentempuran Midway pada bulan Jun 1942 telah mengorbankan lebih 1.5 juta orang dan berjuta- juta orang lagi trauma, terpisah dengan keluarga, ada yang cedera dan terkena penyakit kulit hasil dari gas beracun akibat dari peperangan yang telah berlaku.[14] Masalah kebuluran juga telah berlaku akibat dari krisis ekonomi yang semakin menjadi- jadi ketika berlakunya peperangan. Pada tahun 1941 semasa Jeneral Tojo Hideki menjadi Perdana Menteri Jepun, beliau telah melaksanakan dasar baru terhadap pertanian dengan menjalankan aktiviti perindustrian secara  rahsia sebanyak 24 sektor untuk menampung kembali kos peperangan dan menghentikan masalah kekurangan makanan. Untuk mengatasi masalah kebuluran, program tenaga kerja yang dilakukan tidak berkesan dalam bidang pertanian dan industri kerana dasar pihak kerajaan Jepun melaksanakan pengerahan tentera sehingga tenaga buruh lelaki dalam bidang tersebut terus berkurangan dan mengakibatkan kekurangan dalam pengeluaran hasil pertanian dan ketidaklancaran aktiviti perindustrian seperti yang dimahukan oleh pihak kerajaan di bawah pimpinan Jeneral Tojo.Pada tahun 1930, buruh lelaki sebanyak 1.2 juta dan buruh wanita pula sebanyak 800 ribu dalam sektor pertanian dan perindustrian tetapi semakin berkurangan dari tahun ketahun sehingga menjadi 10 peratus sahaja selepas tahun 1937.[15] Selepas tahun 1942, pengambilan buruh dari kalangan kanak- kanak dan orang yang tiada pengalaman untuk menjalankan sektor ini telah menjadikan mimpi ngeri kerana dipaksa bekerja serta kurangkan moral dan produktiviti dalam pertumbuhan semula ekonomi Jepun ketika itu.[16] Antara kesan kebuluran yang dapat dilihat ialah seperti pertumbuhan tubuh badan yang tidak normal akibat kurang vitamin dan nutrisi, penurunan kadar kelahiran dan membawa kepada kematian.
Untuk jangka masa panjang yang membawa kekurangan buruh bekerja tanpa disedari sudah tentu kerana buruh sibuk dalam peperangan. Kekurangan bahan untuk perindustrian, perbalahan politik dalaman serta masalah pentadbiran dan kekurangan makanan telah mengurangkan taraf hidup rakyat terutamanya di kawasan- kawasan bandar. Ini telah menjadikan rakyat lebih sukar untuk memperolehi barangan keperluan sejak tahun 1941. Secara keseluruhan, peratusan sebenar mungkin telah jatuh sebanyak 30 peratus antara tahun 1940 dan 1944 terutamanya bekalan makanan yang sememangnya sukar didapati. Catatan telah menunjukkan bahawa rakyat Jepun secara purata memerlukan dalam hampir 1700 kalori setiap hari dari makanan seperti sayuran, ikan, kacang dan sebagainya tetapi ini tidak diperolehi mereka. Ini telah menyebabkan berlakunya masalah pelarian dari Jepun di pelbagai negara akibat peperangan kerana ini berkait rapat dengan kehidupan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
4.0  Masyarakat Jepun Selepas Perang dan Campurtangan Amerika Syarikat
Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Amerika Syarikat menerusi Supreme Commanders Allied Powers telah mengawal pemerintahan Jepun di bawah pimpinan Jeneral Douglas MacArthur yang telah tiba ke Tokyo pada 8 September 1945 sehingga bulan April 1951 untuk menubuhkan sebuah pusat pejabat SCAP di Tokyo pada 18 Oktober 1945.[17] Jeneral MacArthur mula menjalankan tugasnya di Jepun dengan menghapuskan semua sekatan politik, menyekat aspek ketenteraan Jepun hanya untuk keperluan dalam negara sahaja, institusi diraja Jepun kekal, pengembalian kebebasan bersuara serta mengembalikan hak-hak asasi manusia.[18] Beliau telah memberikan bantuan makanan kepada masyarakat Jepun yang sedang mengalami kebuluran pada tahun 1946 selepas berakhirnya perang dengan membawa masuk banyak bekalan makanan dari Amerika Syarikat. Mac Arthur telah disamakan sebagai seorang Shogun Tokugawa kerana pembaharuan yang dilakukannya.
Beliau juga telah berjaya dalam menjaga keamanan dan ketenteraman di Jepun. Banyak keharmonian yang telah dicapai hasil dari usaha beliau tetapi MacArthur akhirnya telah dipecat oleh Presiden Harry Truman dan digantikan dengan Jeneral Mathew Ridgway pada tahun 1951. Semasa pendudukan SCAP di Jepun telah membawa pelbagai perubahan ke dalam bidang politik masyarakat Jepun terutamanya dalam sistem pemerintahan negara yang asasnya merupakan sistem monarki yang diperintah oleh kekuasaan mutlak maharaja Jepun sendiri. Oleh sebab itu, SCAP telah mengusulkan satu pindaan dalam Perlembagaan negara Jepun yang baharu dan mengarahkan kerajaan Jepun menyusun semula undang- undang dan pentadbiran di seluruh negara.[19] Hal ini telah menyebabkan sistem monarki di Jepun telah kembali kepada sistem demokrasi berparlimen. Menerusi sistem ini, hak rakyat dapat dijaga serta peranan parlimen yang memilih dan menentukan corak pemerintahan kerajaan di Jepun telah hidup semula tidak seperti semasa zaman birokrasi tentera sebelum ini. Kedudukan Maharaja Jepun masih lagi menjadi simbol penyatuan negara dan kuasa sebenar pentadbiran negara telah diserahkan kepada parlimen dan perdana menteri Jepun. Zaibatsu juga telah dihapuskan, tahanan perang kesemuanya dibebaskan kerana itu hanya sekadar tahanan politik serta Kementerian Dalam Negeri telah dihapuskan dan digantikan dengan kementerian lain.[20] Pada masa ini, telah diperkenalkan satu fasal dalam perlembagaan yang melarang Jepun memiliki sebarang angkatan bersenjata atau ketenteraan termasuklah hilang hak untuk berperang dengan negara- negara lain.
Selain itu, sistem pendidikan buat masyarakat Jepun pada zaman Showa telah mengalami perubahan apabila semua kanak- kanak diwajibkan untuk belajar selama 9 tahun di dalam sekolah. Perlembagaan Jepun yang baru telah menekankan sistem pendidikan di Jepun untuk memberikan peluang yang samarata kepada seluruh masyarakat Jepun serta penghapusan diskriminasi dalam pendidikan seperti perkauman, kepercayaan, jenis jantina, status sosial, dan latar belakang keluarga. Sistem pendidikan yang lama seperti latihan tentera dan pembelajaran misi peluasan empayar telah dihapuskan dan digantikan dengan sistem pendidikan Barat. Selain itu, bermula dari tadika kanak-kanak untuk tempoh 1 hingga 3 tahun, sekolah rendah untuk tempoh 6 tahun, sekolah menengah rendah untuk tempoh 3 tahun, sekolah menengah tinggi untuk tempoh 3 tahun, dan universiti  pada umumnya ialah tempoh 4 tahun telah dilaksanakan.[21] Ini telah menampakkan suatu perubahan yang dibawa oleh Amerika Syarikat semasa menduduki Jepun selepas zaman perang yang berakhir. Sistem pendidikan yang dilaksanakan ini berteraskan sistem 6-3-3-4 iaitu pembelajaran untuk menaikkan tahap kemampuan individu di masa hadapan.[22] Tujuannya kelak samada untuk kerjaya atau mobiliti sosial. Semasa tamat zaman perang ini juga, banyak sekolah terbuka telah dijalankan dan ini dibuat kerana banyak bangunan telah musnah akibat dari peperangan yang telah berlaku.
5.0  Reaksi Jepun Terhadap Pembaharuan Yang Dilakukan
Hal ini telah menimbulkan reaksi masyarakat Jepun pada ketika itu terdiri dari pelbagai golongan seperti wartawan, wanita, buruh- buruh pekerja di bandar, guru- guru dan golongan intelektual pada awalnya amat keliru dengan pembaharuan yang dijalankan oleh SCAP. Contohnya, masyarakat Jepun tidak bersetuju dengan perlembagaan baru Jepun mengenai persenjataan tetapi akhirnya berubah sikap apabila menampakkan suatu keamanan dapat dicapai dan boleh menjadi menjadi contoh keamanan negara. Masyarakat di Jepun juga sudah sedia menerima perubahan yang dibawa oleh Amerika Syarikat kerana yakin dapat memimpin Jepun tidak lagi kedalam kancah peperangan dan agak risau dengan ancaman komunis dari Rusia yang sering mengancam Jepun walaupun pihak Jepun sendiri mengabaikan ancaman tersebut kerana telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat sebagai sekutu yang kuat.[23]
            Selain itu, golongan petani pula telah mendapat banyak faedah hasil dari perubahan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Bantuan wang yang begitu banyak telah membolehkan para petani membayar semula hutang- hutang yang mereka tanggung dan dapat keluar ke bandar- bandar untuk mencari bekalan makanan dan barangan keperluan lain tidak seperti ketika zaman peperangan. Hal ini telah menunjukkan suatu hasil yang positif dalam pembaharuan yang di bawa oleh Amerika Syarikat.[24] Tambahan yang lain ialah, pihak Maharaja Jepun sendiri juga mahukan perlembagaan baharu dibuat atas kesedaran bahawa Maharaja ialah lambang perpaduan, rakyat ialah kedaulatan negara dan parlimen merupakan alat negara yang tertinggi. Perkara ini telah ditambah dalam Perlembagaan baharu dan dibuang Perlembagaan Meiji.[25]
6.0  Kesimpulan
Kesimpulannya hasil dari perbincangan diatas menunjukkan bahawa pada zaman Showa telah berlaku pelbagai siri peperangan dan ini membawa kepada perubahan masyarakat Jepun. Pada awalnya adalah seperti biasa tetapi akhirnya telah membawa kesengsaraan kerana perang yang berlaku. Paling ketara selepas tentera Amerika Syarikat telah berjaya meletupkan dua bandar besar dengan meletupkan bom atom iaitu “Fatman” di Hiroshima dan “Little boy” di Nagasaki pada 6 ogos 1945 dan 8 Ogos 1945. Selepas itu, pembangunan semula politik, ekonomi dan sosial di Jepun dibantu oleh modal serta pasaran Amerika Syarikat telah berjaya memulihkan kembali keadaan menjadi stabil. Hubungan yang erat antara kedua-dua negara telah menimbulkan keamanan. Pada bulan September 1951, Perjanjian San Francisco telah ditandatangani telah mengembalikan kedaulatan Jepun. Pada tahun 1989, zaman Showa telah berakhir dan digantikan dengan zaman Heisei yang yang diketuai oleh Maharaja Akihito.
BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad. 2005. Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Richard Storry. 1967. Sejarah Jepun Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gary D. Allinson. 1997. Japan Postwar History. London: UCL Press Limited.
John W Dower. 1999. Embracing Defeat Japan In The Wake Of World War II. New York: W W Norton And Company.
Sakaiya Taichi. 1998. Bagaimana Jepun Menghadapi Zaman Sukar. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
W.G Beasley. 1990. The Rise Of Modern Japan. London: Weidenfeld and Nicolson.


[1] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 64.
[2] Sakaiya Taichi, Bagaimana Jepun Menghadapi Zaman Sukar, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 29.
[3] W.G Beasley, The Rise Of Modern Japan, London: Weidenfeld and Nicolson, 1990, hlm. 176.
[4] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 65.
[5] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 141.
[6] Ibid, hlm. 142.
[7] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 144.
[8] W.G Beasley, The Rise Of Modern Japan, London: Weidenfeld and Nicolson, 1990, hlm. 179.
[9] Sakaiya Taichi, Bagaimana Jepun Menghadapi Zaman Sukar, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 28.
[10] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 145.
[11] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 66.
[12] Ibid, hlm. 67.
[13] Gary D. Allinson, Japan Postwar History, London: UCL Press Limited, 1997, hlm. 43.
[14] Ibid, hlm. 38.
[15] Gary D. Allinson, Japan Postwar History, London: UCL Press Limited, 1997, hlm. 40.
[16] Ibid, hlm. 41.
[17] John W Dower, Embracing Defeat Japan In The Wake Of World War II, New York: W W Norton and Company 1999, hlm. 360.
[18] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 205.
[19] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 207.
[20] Ibid, hlm. 207.
[21] Gary D. Allinson, Japan Postwar History, London: UCL Press Limited, 1997, hlm. 59.
[22] Ibid, hlm. 59.
[23] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 210.
[24] Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 211.
[25] Ibid, hlm. 218.

Ulasan

Catatan Popular