PENGARUH CHINA KE ATAS JEPUN



PENGARUH CHINA KE ATAS JEPUN

1.0       PENDAHULUAN
            Pengaruh China telah mula memasuki Jepun bermula pada zaman Yayoi. Oleh hal yang demikian, Penulisan mengenai pengaruh China dan kesannya ke atas pentadbiran dan budaya Jepun ini akan dikaji antara zaman Yayoi hinggalah zaman Tokugawa. Zaman Yayoi bermula pada 300 Sebelum Masihi (S.M) hingga 300 Masihi, manakala zaman Tokugawa atau turut dipanggil sebagai Zaman Edo pula bermula pada 1600 hingga 1867 Masihi.[1]
Pengaruh China pelan-pelan meresap masuk ke dalam budaya Jepun melalui asimilasi atau penyesuaian dengan budaya sedia ada. Pada awalnya, ada sesetengah pengaruh China diterima secara bulat-bulat terutama berkait dengan agama Buddhisme dan juga sistem tulisan. Pengaruh China mula kelihatan apabila bidang pertanian iaitu penanaman padi menggunakan teknik penanaman China mula tersebar menjelang akhir zaman Jomon atau awal zaman Yayoi di bahagian Barat Jepun dan juga Selatan Korea.[2]
Pada abad ketiga masihi, China merekodkan bahawa penduduk Wa yang dirujuk sebagai penduduk daripada Jepun telah datang ke China dengan menghantar beberapa misi dan turut menziarahi tempat pentadbiran pemerintah Kuang-Wu.[3] Hal ini menunjukkan perhubungan Jepun dan China sebenarnya telah berlaku pada tahun-tahun awal masihi.
Pada peringkat awal, kemasukan pengaruh China ke Jepun ialah secara tidak langsung iaitu melalui Korea sebelum pengaruh China itu diperoleh secara langsung daripada China Berlaku pasang surut penerimaan atau kemasukan budaya China ke Jepun. Pasang surut kemasukan pengaruh ini berlaku akibat masalah yang berlaku di sama adadi Korea, China mahupun Jepun.
2.0       CARA KEMASUKAN PENGARUH CHINA KE JEPUN
            Kemasukan pengaruh China ke Jepun sangat unik. Kemasukan pengaruh China ini mempunyai tahap kemasukan yang tertentu. Pastinya kemasukan pengaruh China ke Jepun ini turut melibatkan negara lain. Terdapat dua tahap penting yang membawa masuk pengaruh China ke Jepun. Tahap yang pertama ialah kemasukan pengaruh China melalui negara Korea. Tahap kedua pula ialah pengaruh China terus melalui negara China.
2.1 Pengaruh China ke Jepun Melalui Korea
            Pengaruh China pada awalnya masuk ke Jepun melalui tahap pertama. Zaman Yayoi merupakan zaman bermulanya kemasukan imigran daripada Korea dan juga imigran China yang turut menjadi sebahagian golongan atasan Yayoi kerana mereka membawa pelbagai kemahiran dan budaya baharu.[4] Hubungan antara Jepun dan Korea pada awalnya sangat rapat bermula pada tahun pertama masihi lagi. Jepun yang terdiri daripada pelbagai negeri telah menghantar beberapa misi ke China melalui tentera komander China Dinasti Han di Korea.
            Namun begitu, hubungan antara Jepun dan Korea ini berbeza pada akhir abad ke-4 apabila Jepun menubuhkan kerajaan Mimana di kawasan selatan Korea. Ketika ini Jepun berada dalam zaman Kofun dan Jepun turut dipanggil sebagai Yamato. Bukan itu sahaja, 200 tahun selepas penubuhan kerajaan Mimana, Jepun secara langsung telah terlibat dalam pergolakan perebutan kuasa yang berlaku di Korea iaitu antara kerajaan Paekche, Silla dan Koguryo.[5] Pergolakan politik yang berlaku di Korea ini memberi kesan kepada penghijrahan orang China di Korea dan orang Korea sendiri untuk berhijrah ke Jepun. Hal ini secara tidak langsung membantu pengaruh China untuk sampai ke Jepun. Pergolakan ini turut membantu kepada kemasukan pengenalan Buddhisme ke Jepun melalui hubungan Jepun dengan Paekche pada abad ke-6 masihi.[6]
            Dapat dinyatakan bahawa ketika zaman Kofun ini, Korea memainkan peranan terhadap Jepun melalui hubungan kenegaraan Jepun dengan Korea yang telah membawa masuk pengaruh China ke Jepun apabila imigran China dan Korea sendiri berhijrah ke Jepun akibat pergolakan beberapa kerajaan di Korea. Malah, Korea yang terlebih dahulu menerima pengaruh China telah menggunakan taktik dari China melalui peminjaman dari China seperti yang berlaku kepada kerajaan Koguryo yang pernah ditewaskan oleh Paekche pada 313 Masihi.[7]
Pada akhir zaman Yamato atau Kofun ini, Jepun memberi perhatian untuk mengukuhkan kedudukan dalam negeri terutama selepas tentera Jepun gagal di Korea dan juga berlaku pergolakaan dalaman Jepun iaitu pemberontakan Kyushu dan perebutan takhta antara uji di kawasan timur. Pengaruh China melalui Korea memperlihatkan pasang surut hubungan antara Jepun dan Korea yang berlaku akibat pergolakan sama ada di Korea mahupun di Jepun sendiri yang melihatkan pada akhirnya, Jepun terpaksa mengundurkan diri daripada Korea.
2.2 Pengaruh China ke Jepun Melalui China
            Semenjak dari zaman Yayoi lagi, Jepun telah dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan China dalam bidang perdagangan dan kebudayaan. Hal ini kerana terdapatnya jumpaan seperti wang syiling, manik dan juga senjata China di Osaka, Kyoto dan Kyushu.[8] Walaubagaimanapun, pengaruh China secara langsung dapat dilihat bermula pada zaman Asuka terutamanya ketika pemerintahan Putera Shotoku yang telah memain peranan yang agak besar dalam membawa masuk pengaruh China ke Jepun terutamanya berkait dengan kepercayaan Buddhisme. Penerimaan pengaruh China ini pada awalnya tidak diterima secara sepenuhnya oleh kebanyakan masyarakat Jepun ketika pemerintahan Putera Shotoku.
            Muncul Pembaharuan Taika yang ditubuhkan pada 645 Masihi, beberapa tahun selepas kematian Putera Shotoku. Pembaharuan Taika mengambil pemerintahan Dinasti T’ang di China sebagai model pentadbiran di Jepun. Antara perubahan yang dilakukan ialah perubahan tanah pertanian rakyat yang dijadikan sebagai tanah hak milik pemerintah.[9] Setiap petani akan diberi atau dibahagikan jumlah keluasan tanah yang sama rata. Hal ini seiring dengan ajaran Konfusianisme yang mementingkan kesamarataan. Pembaharuan Taika ini secara tidak langsung sebenarnya telah memaksa seluruh rakyat Jepun untuk mempraktikkan amalan Konfisianisme yang dibawa daripada China.
            Abad ke-7 turut menyaksikan permulaan hubungan rasmi antara Jepun dan China. Hubungan ini telah memudahkan pengaruh China memasuki Jepun secara terus terutama semasa pemerintahan Dinasti Sui dan Dinasti T’ang di China. Satu hubungan rasmi telah dibentuk antara Jepun dengan kerajaan Dinasti Sui iaitu pada 607, manakala dengan kerajaan Dinasti T’ang pada 630.[10] Jepun telah menghantar beberapa misi ke China yang melibatkan pelajar-pelajar, rahib-rahib Buddha, pegawai-pegawai diplomat dan juru alih bahasa iaitu empat misi semasa Dinasti Sui antara tahun 600 hingga 614, dan 15 misi semasa Dinasti T’ang antara tahun 630 hingga 838.[11] Pada ketika ini, hubungan Jepun dengan Korea mengalami kemerosotan berbanding sebelumnya.
            Penghantaran misi-misi ini dengan jelas menunjukkan bahawa pengaruh China itu disampaikan secara langsung kepada masyarakat Jepun yang pergi secara terus ke China untuk mempelajari budaya China dan agama Buddha. Hubungan ini memberi makna yang sangat signifikan kepada pemindahan pengaruh China baik dari sudut budaya mahupun agama ke dalam kehidupan masyarakat Jepun yang diterima dan dipraktikkan secara berperingkat-peringkat yang seterusnya diasimilasikan dengan budaya yang sedia ada. Dasar keterbukaan China terutamanya ketika zaman Dinasti T’ang untuk menerima masuk imigran luar mempelajari budaya China dan agama Buddha menjadi pemudah kepada kemasukan pengaruh China ke luar negara termasuk Jepun. Dalam buku A History of Japanese Literature: The First Thousand Years, Shuichi Kato menyatakan bahawa;
“The century spanning the establishment of Kyoto as capital in 794 and the discontinuation of the embassies to T’ang China in 894 was a period in which imported Chinese civilization was gradually digested and submitted to a native transformation.”[12]
Penyataan tersebut membuktikan zaman Dinasti T’ang terutamanya sekitar abad ke-9 merupakan zaman pengaruh China yang kerap masuk ke Jepun dan mendatangkan perubahan yang besar kepada masyarakat Jepun ketika itu.
                 Asimilasi terbesar sekali terhadap pengaruh budaya China ialah pada zaman Heian. Sesuai jika dikatakan berlaku “Japanization” atau penjepunan budaya China ketika zaman ini kerana peralihan atau perubahan yang berlaku kepada sosial dan politik di Jepun adalah konsisten atau berterusan.[13] Sekitar penghujung abad ke 12, Jepun telah mengamalkan dasar pintu tertutup dengan seluruh negara Asia yang lain yang menjadikan Jepun sebagai “closed country” dan berlanjutan selama lebih kurang 300 tahun.[14]
                 Kemasukan pengaruh China ke Jepun turut memperlihatkan pasang surut hubungan serta perbezaan cara bagi setiap zaman di Jepun atau dinasti di China. Keadaan pasang surut kemasukan budaya China ke Jepun adalah disebabkan masalah dalaman di kedua-dua negara terutamanya ketika zaman pemerintahan berubah atau pertukaran dinasti baru.
3.0 KESAN PENGARUH CHINA KEPADA PENTADBIRAN DAN BUDAYA JEPUN
                 Pengaruh China yang memasuki Jepun telah memberi kesan dan perubahan kepada corak pentadbiran serta amalan budaya masyarakat Jepun sendiri. Pengaruh China ini ada diantaranya yang diterima secara bulat-bulat atau secara penuh, secara pecampuran atau penggabungan dengan budaya sedia ada dan ada yang ditolak sepenuhnya. Namun, kebanyakan pengaruh China ini diterima oleh masyarakat Jepun tetapi diasimilasikan dengan budaya tempatan. Walaubagaimanapun, penerimaan pengaruh China ini bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat diterima dalam waktu yang singkat. Sebaliknya, ia mengambil masa yang agak lama untuk masyarakat Jepun menerima pengaruh China. Sebagai contoh, Buddhisme yang diperkenalkan pada abad ke-6 pada awalnya hanya diterima sepenuhnya oleh golongan atasan, sebaliknya, pada abad ke-12, barulah kepercayaan ini diterima oleh golongan masyarakat iaitu rakyat Jepun sendiri.
3.1 Kesan Pengaruh China Kepada Pentadbiran Jepun
                 Pengaruh China memberi kesan kepada sebuah pentadbiran Jepun yang lebih utuh dengan kewujudan masyarakat petani yang menetap dan membentuk organisasi sehingga terbentuknya kampung petani. Pengenalan sistem pertanian terutamanya pertanian padi yang bermula di China yang kemudiannya tersebar ke Korea dan Jepun dikatakan oleh kebanyakan sarjana sebagai punca perubahan zaman iaitu daripada zaman Jomon kepada zaman Yayoi.[15] Masyarakat Jepun pada zaman Yayoi merupakan masyarakat yang lebih sistematik dan mempunyai tempat tinggal yang tetap dengan mengusahakan pertanian. Sumbangan pengaruh China ini begitu besar dalam mentamadunkan masyarakat Jepun untuk mempunyai sebuah sistem pentadbiran masyarakat yang lebih baik berbanding sebelumnya.
                 Beras menjadi sumber utama ekonomi masyarakat pada zaman Yayoi. Oleh hal yang demikian, pertanian padi ini menjadi satu kegiatan yang serius dan wujudlah kelompok masyarakat yang lebih berorganisasi. Bermula dengan beberapa kelompok keluarga petani, kemudian wujud sebuah kampung. Kelompok masyarakat yang wujud ketika ini mejadi asas kepada sebuah pentadbiran masyarakat Jepun moden. Jelas bahawa sistem masyarakat petani dan kewujudan pentadbiran peringkat kampung ini merupakan hasil daripada pengenalan pertanian padi yang dibawa masuk daripada China.
                 Pada awal kedatangan ajaran Buddhisme dan Konfusianisme ke Jepun pada abad ke-6 iaitu semasa Dinasti T’ang di China, pentadbiran Jepun juga terpengaruh dengan corak pemerintahan dinasti ini. Jepun melakukan pembaharuan berpusat dalam sistem pentadbirannya dengan menjadikan China sebagai model ketika itu. Wujud satu kelompok aristrokrat yang dipanggil sebagai uji yang berperanan sebagai pemerintah wilayah yang ditadbir dibawah mereka. Walaupun menjadikan China sebagai model pentadbiran, namun Jepun tidak mengambil satu perkara penting dalam ajaran Konfusianisme China iaitu pemerintah memerintah kerajaan berdasarkan mandat daripada syurga. Sebaliknya Jepun berpegang kepada kepercayaan mereka sendiri bahawa Tuhan Matahari atau Amaterasu yang memberikan mandat kepada keluarga diraja untuk memerintah selama-lamanya.[16]
                 Pembaharuan Taika yang muncul pada 646 Masihi juga mengamalkan konsep dalam Konfusianisme China iaitu kesamarataan. Konsep ini diterapkan dalam pentadbiran kumpulan Pembaharuan Taika ini. Antara perkara yang diperkenalkan atau diperbaharui ialah memansuhkan tanah persendirian, penubuhan ibu negeri imperial baharu, mewujudkan sistem pentadbiran daerah yang mantap, melakukan bancian tanah dan penduduk dan seterusnya sistem percukaian.[17]
                 Pada zaman Tokugawa pula, pentadbiran Jepun ketika itu berpegang Falsafah Konfusianisme aliran Chu Tsi yang meletakkan pelbagai peraturan bagi memastikan setiap kelas masyarakat menjaga tingkah laku kelas mereka.[18] Kelompok bushi menjadi kelompok istimewa pada zaman ini sama seperti zaman-zaman sebelumnya terutama zaman Kamakura di mana penglibatan bushi dalam pentadbiran zaman Kamakura amat besar sekali. Pada zaman Tokugawa, pengaruh Konfusianisme dari China telah menjadikan bushi sebagai contoh kepada rakyat dan bushi bertanggungjawab untuk melindungi golongan rakyat. Muncul ie iaitu satu kelompuk kelas masyarakat yang asalnya daripada keluarga bushi tetapi kemudian melibatkan seluruh anggota masyarakat. Bushi bertanggungjawab menjaga kestabilan ie yang berada dibawahnya. Jelas bahawa pengaruh Konfusianisme daripada China memberi kesan kepada pentadbiran dan terdapatnya perbezaan penerimaan pengaruh ini pada awal kedatangan Konfusianisme dan juga zaman-zaman selepas.
                 Kesan pengaruh China dalam bidang pentadbiran dapat dilihat dalam pembinaan ibu kota zaman Nara iaitu Heijo yang bermodelkan ibu kota Dinasti T’ang iaitu Chang An. Ibu kota ini lengkap dengan kemudahan seperti biara, bangunan kerajaan dan juga jalan raya.[19] Pemilihan kawasan Nara sebagai ibu kota dikaitkan dengan pengaruh China dalam memilih sesebuah kawasan iaitu dikelilingi bukit-bukau dan juga mengambil kira unsur air dan angin. Pembinaan kawasan pentadbiran ini juga dikaitkan dengan konsep keseimbangan yang diamalkan dalam sistem pentadbiran di China. Maka Kod Taiho diwujudkan dan memperjelaskan mengenai pelan asal pembinaan ibu kota Nara yang seimbang dan juga cara susunan bangunan kerajaan. Kesan daripada kod ini juga ialah menghasilkan tiga kelompok rakyat iaitu rakyat bebas, pegawai dan penyewa negeri dan rakyat tidak bebas.
                 Selain itu sitem pentadbiran Jepun turut memperlihatka percampuran pengaruh China dengan sistem sedia ada. Hal ini sekali lagi dapat dilihat pada zaman Nara. Pentadbiran kerajaan pada zaman ini telah dibahagikan kepada beberapa jabatan kami. Kami berperanan terhadap ritual Shinto untuk maharaja dan majlis negara atau daijokan. Daijokan pula diurus oleh tiga orang menteri yang turut memantau lapan kementerian yang lain. Pada peringkat daerah, terdapat 66 provinsi diketuai oleh gabenor. Walaubagaimanapun, Jepun dikatakan gagal untuk membangunkan Nara mengikut konsep keseimbangan yang diamalkan oleh China. [20] Jelaslah bahawa pengaruh China memberi kesan kepada perubahan sistem pentadbiran Jepun.
3.2 Kesan Pengaruh China kepada Budaya Jepun
                 Pengaruh China ke Jepun telah meberi kesan terhadap amalan dan budaya masyarakat Jepun itu sendiri. Pengenalan pertanian padi yang mula diperkenalkan pada awal zaman Yayoi yang tersebar ke Jepun dan dibawa masuk oleh golongan imigran China dan Korea telah mengubah corak kehidupan masyarakat Jepun. Pertanian padi menjadi sumber ekonomi utama masyarakat Jepun selepas dibawa masuk ke Jepun. Pertanian ini secara tidak langsung telah menjadikan masyarakat Jepun untuk mempunyai sikap rajin berusaha dan berdisiplin agar hasil yang diperolehi memuaskan. Malah nilai kesabaran turut disemat dalam diri masyarakat petani kerana penanaman padi memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memperoleh hasilnya. Pengenalan pertanian ini menjadi titik permulaan kepada komuniti yang hidup menetap dan kehidupan yang lebih bertamadun.
                 Kehidupan masyarakat Jepun yang lebih bertamadun pada zaman Yayoi ini seterusnya membawa kepada kesan kemajuan masyarakat dalam teknologi pembuatan tembikar. Perbezaan pembuatan tembikar pada zaman Jomon dan Yayoi ialah, zaman Jomon lebih menumpukan kepada dekorasi, manakala pada zaman Yayoi lebih menumpukan kepada reka bentuk.[21] Reka bentuk tembikar pada zaman Yayoi yang dipengaruhi oleh pengaruh China menjadikan pembuatan tembikar lebih halus berbanding zaman sebelumnya. Hal ini menunjukkan budaya pembuatan atau pertukangan setelah menerima pengaruh China lebih baik dan memperlihatkan ketamadunan bangsa Jepun.
                 Hasil karya seni masyarakat Jepun juga banyak dipengaruhi dengan pengaruh China dinasti abad ke-6 dan juga pengaruh Buddhisme. Ketika zaman Asuka, kebanyakan patung-patung Buddha, hasil seni lukisan dan seni bina biara dihasilkan oleh petukang China dan juga Korea. Antara contoh ukiran patung kayu atau Kannon bodhisattva iaitu Kudara Kannon dan Miroku. Seni ukiran dan lukisan semasa zaman Hakuho mengalami titik perubahan daripada seni pengaruh dinasti China abad ke-6 kepada pengaruh China Dinasti T’ang. Penghasilan patung gangsa “trinity of Yakushi” yang dihasilkan di Jepun sendiri dikatakan lebih halus pembuatannya dan kelihatan lebih hidup.[22] Terdapat juga teknik baru yang dipengaruhi oleh hasil seni Dinasti T’ang iaitu teknik penghasilan patung menggunakan tanah liat dan lakuer kering. Contoh hasil seni menggunakan teknik ini ialah patung Dewa Pelindung di biara Todaiji di Nara yang dihasilkan pada zaman Tempyo.
                 Dalam hasil seni bina masyarakat Jepun pula, satu-satunya biara kayu tertua di dunia telah dibina pada 607 dibawah pemerintahan Putera Shotoku yang terletak di barat daya Nara iaitu biara Horyuji. Biara ini merupakan satu-satunya biara Buddha yang bertahan daripada zaman pemerintahan putera Shotoku. Biara pada zaman ini disusun mengikut bentuk yang dipanggil sebagai garan. Antara ciri biara ini ialah bumbungnya berbentuk segi empat tepat atau segi empat sama, terdapat pagar masuk yang dibina di tengah-tengah bahagian sebelah selatan kawasan biara, terdapat dewan emas iaitu kawasan utama dalam biara, dewan belajar dan sekurang-kurangnya sebuah pagoda.[23] Terdapat patung Buddha yang diperbuat daripada gangsa didalam biara Horyuji iaitu “Shaka trinity” yang menggambarkan sejarah Buddha. Jelaslah bahawa pengaruh China memberi kesan terhadap budaya seni bina Jepun.
                         Seterusnya, pengaruh China telah memberi kesan kepada budaya Jepun dalam aspek sistem tulisan dan bahasa. Sistem tulisan penting untuk merekod urusan pentadbiran kerajaan seperti hasil pertanian, kutipan cukai dan penulisan kod undang-undang. Bahasa China dan Jepun dari segi bunyi, kosa kata dan tatabahasa adalah berbeza sama sekali.[24] Jepun yang tidak mempunyai sistem tulisannya sendiri telah menggunakan sistem tulisan China bermula pada abad ke-5 masihi. Tulisan kanji digunakan dalam penulisan masyarakat Jepun pada peringkat awal. Namun pada abad ke-9 masihi, suku kata Jepun iaitu kana diperbaharui dan digunakan dalam sistem bahasa Jepun. Penggunaan sistem tulisan China begitu meluas di Jepun. Diantara abad ke-7 hingga abad ke-9, kesusasteraan Jepun di tulis dalam dua bahasa iaitu bahasa China dan bahasa Jepun.
                 Kambun yang merupakan satu bentuk teks yang digunakan dalam kesusateraan asli Jepun yang ditulis dalam tulisan China digunakan bermula pada zaman Heian. Hasil kesusateraan ini menggunakan kosa kata Jepun tetapi dengan tulisan China. Dalam abad ke-10 pula muncul dua jenis huruf kana iaitu hiragana dan katakana.[25] Antara kedua-dua huruf ini, huruf hiragana yang banyak digunakan selepas abad ke-10 dan seterusnya. Perbezaan tulisan dan bahasa China dan Jepun jelas berbeza kerana bahasa China bersifat satu suku kata, tersusun rapi, tiada nada suara berunsurkan nahu. Berbeza dengan Jepun yang mempunyai banyak suku kata, panjang lebar dan intonasi suara yang tinggi ketika menyebut bahasa Jepun.[26]
                 Kesusateraan Jepun juga menerima pengaruh China yang kuat memandangkan sistem tulisan Jepun menerima pengaruh China. Kebanyakan sasterawan Jepun mampu menghasilkan hasil sastera dalam bahasa China. Sebagai contoh semasa zaman Heian, Sugawara no Michizane mahir dalam menulis puisi China. Penulis lain seperti Murasaki Shikibu telah menulis sebuah novel bertajuk “Genji Monotagari” tentang kehidupan kelas atasan abad ke-11 dan ke-12 serta pengaruh China yang telah diasimilasikan dengan budaya Jepun.[27] Penulis wanita pula pada zaman tersebut kebanyakannya menggunakan tulisan kana dalam karya sastera mereka.
                 Dalam kesusasteraan Jepun ini juga, terdapatnya sebuah karya agung yang mengandungi cerita penuh dengan unsur mitos, lagenda, keagamaan dan sebagainya iaitu Kojiki dan Nihon Shoki. Hasil karya ini telah dihasilkan sejak akhir abad ke-6 dan awal abad ketujuh. Pada awalnya Putera Shotoku telah menghasilkan Perlembagaan 17 Fasal yang disimpan dalam Nohin Shoki pada 604 menggunakan teks kambun.[28] Jelas dalam kesusateraan Jepun ini, pengaruh China memberi kesan kepada penggunaan bahasa, huruf dan juga idea karya sastera masyarakat Jepun. Malah, kebanyakan daripada mereka mampu menghasilkan hasil sastera China. Hal ini membuktikan pengaruh China menjadi penggerak kepada kary-karya sastera di Jepun.
                 Disamping itu, pengaruh China telah meresap ke dalam amalan kepercayaan masyarakat Jepun. Ajaran Buddhisme yang dikatakan masuk ke Jepun pada pertengahan abad ke-6 melalui Korea menjadi titik permulaan kepada pelbagai pengaruh unsur Buddhisme di Jepun. Hal ini termasuklah budaya seni bina, pertukangan atau hasil seni, pentadbiran, serta hasil sastera. Kesemuanya mempunyai pengaruh Buddhisme. Selain ajaran buddhisme, pengaruh China telah memperkenalkan ajaran Konfusianisme dalam kehidupan masyarakat Jepun. Falsafah Konfusianisme ini memberi kesan kepada sistem pentadbiran Jepun sebagai contoh pemerintahan Tokugawa seperti yang dijelaskan sebelum ini. Pelbagai usaha dilakukan oleh pemerintah untuk mempelajari buddhisme dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, Putera Shotoku dan juga ahli intelektual Jepun semasa Pembaharuan Taika telah mempelajari Buddhisme dan juga ajaran Konfusianisme secara langsung di China.
                 Pada peringkat awal, Jepun menerima sepenuhnya konsep Buddha Mahayana. Dalam konsep Buddha Mahayana ini terdapat tiga bentuk Buddha iaitu dalam bentuk alam semesta, bentuk mistik, dan dalam bentuk menjelma sebagai Gautama.[29] Teori asas Buddha turut diterima sepenuhnya oleh beberapa kelompok masyarakat Jepun ketika itu. Teori tersebut ialah semua benda tidak akan kekal dan manusia tidak dapat mengubah nasibnya. Masyarakat pada abad ke-7 atau ke-8 percaya bahawa Buddhisme daripada China ini merupakan ajaran yang dapat meninggikan kualiti hidup.
                 Kesan agama Buddha ini juga ialah wujudnya toleransi agama. Masyarakat primitif Jepun yang menganut Shinto pada awalnya agak sukar untuk menerima ajaran Buddhisme ini. Namun setelah beberapa abad, Buddhisme dapat diterima oleh masyarakat Jepun. Penggabungan antara Buddhisme dan juga Shinto dilakukan dan kedua-duanya diamalkan oleh masyarakat Jepun yang membuktikan wujud toleransi agama. Hal ini memberi kesan yang besar kepada masyarakat Jepun. Berlaku perubahan iaitu prinsip kami dalam Shinto turut dianggap sebagai dewa-dewa Buddha tetapi dalam bentuk yang berlainan. Selain itu,tempat-tempat suci atau biara Shinto juga merupakan biara Buddha. Perayaan perkahwinan dan sambutan kelahiran adalah mengikut Shinto manakala hal-hal berkait kematian dan perhubungan mengikut Buddhisme. Hal ini memudahkan masyarakat Jepun untuk menerima agama Buddha.
                 Muncul satu mazhab Buddhisme yang baru iaitu mazhab Zen yang dipelopori Dogen pada zaman Kamakura sekitar abad ke-12 atau ke-13. Mazhab Buddha Zen ini menolak ritual mazhab lama dan memberi penekanan kepada personalit yang kuat serta menggalakkan pertumbuhan budaya sebagai langkah mententeramkan jiwa.[30] Kemunculan Buddha Zen ini menjadikan ajaran Buddha diterima secara sepenuhnya oleh masyarakat Jepun terutamanya golongan bawahan. Hal ini menunjukkan bahawa, penerimaan masyarakat Jepun terhadap agama Buddha mengambil masa yang lama dan membawa kesan kepada asimilasi dan pembaharuan Buddhisme China dengan kepercayaan sedia ada.
                 Pengaruh China telah membawa kesan yang selanjutnya ke atas budaya masyarakat Jepun iaitu amalan minum teh atau cha-no-yu. Amalan ini diambil bulat-bulat oleh masyarakat Jepun daripada China. Dalam kelompok masyarakat Jepun, amalan cha-no-yu ini diamalkan oleh golongan bushi. Amalan ini mula muncul pada zaman Muromachi. Upacara minum teh ini mempunyai tatacaranya yang tersendiri. Semasa menikmati teh ini juga, hanya perkara-perkara tertentu sahaja yang boleh dibincangkan seperti hal-hal berkait dengan kesenian.[31] Upacara minum teh ini masih kekal sehingga kini dan menjadi salah satu amalan yang dipelihara oleh masyarakat Jepun dan menjadikan bangsa Jepun lebih bertamadun.


4.0 KESIMPULAN
                 Secara keseluruhannya, pengaruh China sememangnya memberi kesan yang besar kepada kehidupan masyarkata Jepun terutama dalam hal berkait dengan pentadbiran dan budaya masyarakat Jepun itu sendiri. Pengaruh China juga membuka pintu kepada Jepun untuk berubah menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertamadun dan mempunyai sistem masyarakat yang lebih teratur. Hal ini dapat dijelaskan melalui perubahan masyarakat daripada zaman Jomon ke zaman Yayoi melalui pengenalan sistem pertanian padi. Kesan yang terbesar sekali dan sering berlaku perubahan dalam kemasukannya ke Jepun ialah ajaran Buddhisme China dan sistem tulisan serta bahasa China.
                 Cara kemasukan pengaruh China ke Jepun yang melalui dua tahap iaitu melalui Korea pada tahap pertama dan pada tahap kedua terus melalui China mengalami pasang surut. Keadaan pasang surut ini berlaku akibat pergolakan politik dan pertukaran kerajaan baik di Jepun mahupun di China atau Korea. Pengaruh China juga bukanlah diterima secara sepenuhnya oleh semua kelompok masyarakata pada awalnya. Penerimaan pengaruh China dalam kalangan masyarakat Jepun mengambil masa yang lama dan secara pelan-pelan. Sebagai contoh ajaran Buddhisme tidaklah diterima oleh masyarakat golongan bawahan pada awalnya. Setelah beberapa ratus tahun, barulah ajaran Buddhisme yang disesuaikan dengan masyarakat Jepun dapat diterima oleh semua kelompok masyarakat.
                 Pengaruh China yang meresap masuk ke Jepun dan diasimilasikan dengan budaya Jepun yang sedia ada telah mewujudkan sebuah budaya Jepun yang utuh dan berdiri sebagai sebuah identiti Jepun sendiri. Kemasukan pengaruh China semakin berkurang selepas zaman Tokugawa. Hal ini kerana, semasa pemerintahan Meiji, pemodenan yang dilakukan oleh Meiji adalah berorientasikan pemodenan negara-negara barat. Walaubagaimanapun, amalan-amalan atau budaya-budaya Jepun yang menerima pengaruh China ini kebanyakannya masih kekal sehingga kini.



5.0 BIBLIOGRAFI

 

Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cranston, E. A. (1993). "Asuka and Nara Culture: Literary, Literature dan Music". Dalam D. M. Brown, The Cambridge History of Japan, Volume 1. United Kingdom: Cambridge University Press. hlm. 453-503.
Shuichi Kato. (1979). A History of Japanese Literature: The First Thousand Years. Kent: Paul Norbury Publications Limited.
Varley, P. (2000). Japanese Culture Fourth Edition. Honolulu: University of Hawai'i Press.
Yutaka Tazawa, et. al. (1973). Japan's Cultural History: A Perspective. Tokyo: Ministry of Foreign Affairs.




                       


[1] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Budaya, 2005, hlm. 13-14.
[2] Paul Varley, Japanese Culture, Honolulu: University of Hawai’i Press, hlm. 4.
[3] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 7.
[4] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 22.
[5] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 25.
[6] Yutaka Tazawa, Japan’s Cultural History: A Perspective, Japan: Ministry Foreign Affairs,1973, hlm. 21.
[7] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 25.
[8] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 22.
[9] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 27.
[10] Edwin A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”, dlm. Delmer M. Brown, (peny.), The Cambridge History of Japan, Jilid 1, United Kigndom: Cambridge University, 1993, hlm. 455.
[11] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 24.
[12] Shuichi Kato, A History of Japanese Literature: The First Thousand Years, Kent: Paul Norbury Publications, 1979, hlm. 91.
[13] Yutaka Tazawa, Japan’s Cultural History: A Perspective, hlm. 39.
[14] Shuichi Kato, A History of Japanese Literature: The First Thousand Years, hlm. 139.
[15] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 4-5.
[16] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 20.
[17] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 28.
[18] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 52.
[19] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 28-29.
[20] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 34-35.
[21] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 5.
[22] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 31-32.
[23] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 28.
[24] Shuichi Kato, A History of Japanese Literature: The First Thousand Years, hlm. 6.
[25]Edwin A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”, dlm. Delmer M. Brown, (peny.), The Cambridge History of Japan, Jilid 1, hlm. 464.
[26] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 36.
[27] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 34-35.
[28] Edwin A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”, dlm. Delmer M. Brown, (peny.), The Cambridge History of Japan, Jilid 1, hlm. 457.
[29] Paul Varley, Japanese Culture, hlm. 21.
[30] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 38-39.
[31] Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm. 40-41.

Ulasan

Catatan Popular