Soalan: Pada pandangan anda,pendirian bagaimanakah yang wajar dipegang oleh seorang ahli sejarah mengenai pengadilan moral dalam sejarah?



Soalan: Pada pandangan anda,pendirian bagaimanakah yang wajar dipegang oleh seorang ahli sejarah mengenai pengadilan moral dalam sejarah?

Pada pandangan kami, seorang ahli sejarah wajar mempunyai pendirian untuk melakukan pengadilan moral dalam sesebuah penulisan sejarah mereka kerana si pelaku dalam sejarah harus bertanggungjawab di atas perlakuannya. Sekiranya si pelaku diangggap bersalah ia harus dihukum dan begitu juga sebaliknya. Mengikut pandangan Qassim Ahmad lagi, si pelaku yang melakukan kejahatan dari segi lahiriah atau secara luaran walaupun ia berhasrat atau bermotif suci, ia akan dihukum juga dalam mahkamah dan didakwa melakukan kesalahan dari segi undang-undang dan moral.[1]  Isu pengadilan moral merupakan antara isu yang sering dikaitkan dalam sejarah. Isu ini sering dibahaskan oleh ahli-ahli sejarah dan menjadi kontroversi yang berpanjangan. Ringkasnya, pengadilan moral boleh didefinisikan kepada sebarang bentuk pujian atau kritikan terhadap seorang tokoh atau peristiwa melalui penulisan sejarah.

Mengikut pandangan Louis Gottschalk, sejarah merupakan matapelajaran yang mengkaji mengenai kehidupan silam manusia.[2] Moral pula berasal daripada bahasa latin iaitu perkataan “mores” yang membawa maksud cara. Manakala “moralatis” pula membawa maksud perwatakan dan tingkah laku yang diterima. Secara umumnya, konsep-konsep ini merujuk kepada konsep tingkah laku manusia sama ada salah atau betul.[3] Konsep pengadilan moral pula berbeza sedikit dengan konsep moral. Sebagai contoh, mengikut Qasim Ahmad, pengadilan moral membawa maksud satu perlakuan untuk menjatuhkan hukuman ataupun tindakan mengenakan penilaian tertentu  terhadap sesuatu peristiwa sejarah ataupun kepada seorang ahli sejarah. Misalnya, di dalam sebuah penulisan seorang ahli sejarah ada dinyatakan sesuatu peristiwa itu tidak baik, pahlawan itu bersalah, masyarakat pada zaman itu mundur, system politik tidak progresif dan sebagainya.[4]
Ahli sejarawan  barat iaitu Andrian Oldfield juga merumuskan bahawa pengadilan moral adalah berbentuk penilaian baik ataupun buruk dalam bentuk pujian atau kutukan yang dibuat berdasarkan peristiwa ataupun perlakuan seorang pelaku dalam sejarah seperti :
                        “…pengadilan moral terutama pengadilan moral berbentuk pujian atau
kutukan. Penyataan moral bergantung kepada perbezaan tahap samaada
                        baik atau buruk…”
       Adrian Oldfield juga dalam rencananya yang bertajuk "Moral Judgements in History" menganggap bahawa masalah pengadilan moral tidak dapat dielakkan (inevitable) dalam penulisan sejarah.
Manakala Abdul Rahman Haji Abdullah memerihalkan pengadilan moral adalah suatu peristiwa sejarah ataupun perbuatan atau perlakuan yang mendorong pernilaian yang memuji atau mengeji dengan menggunakan istilah seperti baik, kejam, jahat dan sebagainya bagi menunjukkan pujian ataupun kutukan serta label-label yang digunakan oleh media Barat terhadap golongan muslim seperti militant, fanatic, separatist, extremist dan sebagainya. Penggunaan perkataan mahupun frasa dalam penulisan sejarah yang menggambarkan nilai moral seperti kejam, zalim dan sebagainya oleh ahli sejarah sebenarnya telah menjatuh pengadilan moral ke atas pelaku. Jadi, sejarah sebenarnya tidak dapat terlepas daripada hukuman pengadilan moral. Sebagai contoh, Ishak Saat merujuk penulisan Aron Shai.

“…kemudian,diberitahu tentera udara Jepun menyerang penumpang
 kereta api di bawah wilayah Honan dan Hopei telah membunuh
 dan mencederakan 24  penduduk awam China.”
Oleh itu,jelaslah penggunaan perkataan tersebut menyerupai dengan hukuman moral terhadap pelaku sejarah.[5] Oleh hal yang demikian unsur pengadilan moral banyak membantu dalam membuat tafsiran dalam sejarah.
2.0 JENIS ALIRAN AHLI SEJARAH
Terdapat tiga aliran yang memberi pandangan tentang pengadilan moral iaitu golongan yang menyokong, golongan yang menentang dan golongan pertengahan. Antara sarjana yang menentang pengadilan moral atau dikenali sebagai golongan progresif dalam sejarah ialah Leopold von Ranke, G. Kitson Clarke, Benedetto Croce dan Hebert Butterfield. Bagi golongan progresif, mereka mengatakan pengadilan moral tidak patut dilakukan kerana apabila sejarawan membuat pengadilan moral mereka mungkin tidak bersikap adil kepada orang atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya. Hal ini kerana si pengkaji sejarah dengan pelaku atau masyarakat yang dikaji mungkin mempunyai sistem nilai yang berbeza.[6]

2.1 Aliran progresif
Aliran progresif merupakan satu aliran iaitu segolongan manusia tidak menerima pengadilan moral dalam sejarah. Menurut Ishak Saat (2005) yang menyokong pendapat Croce telah menyatakan bahawa ahli sejarah tidak berkeupayaan untuk melihat sesuatu dari lubuk hati manusia.[7] Pendapat Croce ini adalah berasaskan kepada alasan iaitu ketidakupayaan ahli sejarah dalam memahami isi hati si pelaku dalam sejarah, ahli sejarah juga cenderung berprangsaka terhadap si pelaku serta kekurangan bukti bagi menjatuhkan pengadilan moral ke atas pelaku.[8] Dengan kata lain, apabila ahli sejarah itu membuat peng¬adilan moral ia mungkin tidak dapat bersikap adil kepada orang atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya

2.2 Aliran konservertif
Aliran konservatif pula merupakan satu aliran yang menyetujui dan menerima serta meyokong pengadilan moral dibuat dalam penulisan sejarah oleh ahli sejarah. Antara golongan yang menyokong pengadilan moral dalam penulisan sejarah ialah Voltaire, Lord Acton, dan E.H Carr. Menurut Voltaire, seorang ahli sejarah Perancis pada abad ke-18 telah melihat tugas sejarah sebagai mengajar kewajiban-kewajiban dan hak-hak seseorang. Voltaire menyifatkan sejarah bertindak sebagai pembela keadilan dengan memuji mereka yang berjasa dan memalukan mereka yang berdosa. Selari dengan pendirian para pemikir Zaman Kesedaran, Voltaire berasakan bahawa sejarah berasaskan unsur kerasionalan dapat membantu masyarakat memerangi unsur-unsur kejahatan seperti fanatisme, keganasan dan kepercayaan ajaib sebaliknya pengadilan moral ini dapat memupuk nilai-nilai mulia seperti kebebasan agama dan politik, keadilan bagi semua lapisan masyarakat dan bangsa serta toleransi kepada golongan yang melahirkan pemikiran yang bukan ortodoks.[9]

3.0 pendirian bagaimanakah yang wajar dipegang oleh ahli sejarah mengenai pengadilan moral dalam sejarah?
Dengan kata lain, tindakan lahiriah si pelaku atau individu yang mencetuskan sesuatu peristiwa menjadi kayu ukur untuk menjatuhkan hukuman moral. Keadaan ini dilihat bagaimana bumi Palestin yang dirampas secara haram oleh pihak Yahudi melalui peperangan pada tahun 1946, tindakan Yahudi ini tiada bezanya dengan tindakan Nazi di Jerman. Kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak Yahudi ke atas rakyat Palestin ini amat kejam dan melangkaui batas-batas kemanusiaan. Malah kekejaman dan kedegilan Yahudi di bumi Palestin ini berlanjutan sehingga ke hari ini. Kita boleh lihat pembunuhan beramai-ramai di Settla mahupun di tebing Barat, kanak-kanak dan orang-orang tidak berdosa dibunuh dengan tanpa belas kasihan.

 Begitu juga dengan halnya era Perang Moro dengan Sepanyol. Sepanyol bertindak kejam dengan muslim di Filipina. Mereka ditindas dan dipaksa untuk menganut ajaran Kristian. Jika tidak menuruti kehendak mereka, mereka akan dibunuh. Kalau kekejaman dan kezaliman Nazi di Jerman dikenakan hukuman moral maka dalam kes kekejaman Yahudi dan Sepanyol juga mesti dikenakan hukuman moral yang sama

Kesimpulannya, sama ada mahu tidak mahu seseorang ahli sejarah harus membuat penilaian moral dalam penganalisisan penulisan sejarah yang dipaparkan. Sikap pro, anti atau neutral dalam persoalan pengadilan moral sudah pasti mengakibatkan rentetan peristiwa sejarah seterusnya. Kalau ahli sejarah tidak mahu menjatuhkan pengadilan moral di atas sesuatu peristiwa sejarah, tidak mustahil pembaca atau bukan ahli sejarah sudah pasti membuat pengadilan moral untuk mereka. Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari daripadanya tetapi memperlengkapkan lagi para Ahli Sejarah dengan kemahiran yang berkait. Oleh itu, pengadilan moral merupakan satu ciri penulisan sejarah yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Seandainya unsur pengadilan moral tidak dimasukkan maka pemaparan karya sejarah akan menjadi kaku serta tidak menarik untuk ditatap oleh para pembaca. Sepatutnya sejarah mestilah menjadi suatu bahan bacaan yang menarik kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur pengajaran dan pedoman untuk generasi yang akan datang. Tanpa mengenali sejarah maka seorang itu amat sukar untuk maju ke hadapan (Hj. Ishak Saat, 2005).





[1] Hj. Ishak Saat (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Melayu. Selangor : Karisma Publication Sdn. Bhd.



[2] Gottschalk. L.1963. Understanding History. United State of America : Alfred A Knopf. hlm. 41.
[3]  Vishalache Balakrishnan. 2009. Pendidikan Moral Untuk Universiti dan Kolej. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd. hlm. 2.
[4] Qasim Ahmad, 2004,Karya pendekatan dan persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.127-128
[5] Ishak Saat. Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden. hlm. 83.
[6] R. Suntharalingam, Pengenalan kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, 1985, hlm.90
[7]  Suntharalingam.  R. 1985. Pengenalan Kepada Sejarah.  Kuala Lumpur: Marican & Sons hlm. 91.
[8] R. Suntharalingam, 1985, Pengenalan Kepada Sejarah: Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.93
[9] R.Suntharalingam, 1985, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 91

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular