SOALAN NO. 4: PERANAN AGAMA BANYAK MEMPENGARUHI URUSAN KEHIDUPAN HARIAN SESEBUAH MASYARAKAT. BINCANGKAN BAGAIMANA ELEMEN AGAMA DAN KEPERCAYAAN BOLEH MEMPENGARUHI BUDAYA DI SESEBUAH TEMPAT.



1.0  Pendahuluan

Agama dan kepercayaan sememangnya banyak mempengaruhi budaya di sesuatu tempat. Hal ini demikian kerana kepercayaan agama merupakan satu elemen subsistem ideologi dan sesuatu agama yang dianjurkan itu merupakan satu ungkapan elemen subsistem sosiologi (Getis. A et al., 2014). Walaupun ada sebahagian daripada masyarakat yang tidak mempunyai pegangan agama seperti mereka yang beraliran Marxisme atau Komunisme namun kefahaman terhadap aliran Marxisme dan Komunisme itu turut mengikat cara hidup mereka. Agama juga mampu memberi kefahaman tentang budaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang itu tidak dapat memahami budaya masyarakat India sekiranya dia tidak mempunyai pengetahuan terhadap agama Hindu dan sebagainya.

Perkataan budaya merupakan kata jamak dari kata budhi dalam bahasa Indonesia-Malaysia dan dengan itu lahirlah perkataan kebudayaan. Maka kebudayaan merujuk kepada segala hasil kerja manusia atau hasil dari segala budi manusia (Kamarudin Salleh, 2006). Budaya boleh diertikan sebagai sebuah tamadun atau peradaban. Manakala kebudayaan pula boleh dimaksudkan sebagai keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat (Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, 2010). Di samping itu, budaya juga merupakan keseluruhan sistem, gagasan, tindakan dan hasil kerja manusia dalam rangka kehidupan masyarakat yang terhasil melalui kaedah pembelajaran. Tindakan-tindakan yang dipelajari antaranya ialah cara seseorang itu minum, makan, berpakaian, berbicara, bertani, bertukang dan berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling merupakan satu bentuk budaya (Koentjaraningrat, 1987). Seterusnya, budaya juga  merupakan warisan sosial sesuatu masyarakat, sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma dan adat yang dikongsi bersama-sama oleh semua orang dalam sesebuah masyarakat (Abdul Rahman Ahmad Hanafiah, 2004).
Selain itu, budaya juga bersifat dinamik iaitu berubah dari semasa ke semasa dan perubahan ini berlaku dalam bentuk persambungan (Wan Abdul Kadir Wan Yusof, 1983). Cara ini telah memperkayakan lagi kedudukan budaya itu sendiri. Sebagai contoh, budaya Melayu telah banyak mengalami perubahan setelah Islam mula bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7 masihi. Penyesuaian dan tokok tambah berlaku dalam proses penerimaan agama Islam seterusnya membentuk kepelbagaian budaya yang bersesuaian dengan agama Islam. Di samping itu, kebudayaan juga merupakan tatacara hidup manusia yang menghasilkan satu bentuk kepercayaan, keyakinan, adat, upacara-upacara, ikatan perkahwinan dan sebagainya. Kesemua aspek ini dipupuk sedikit demi sedikit dari tatacara hidup para leluhur dalam sekelompok masyarakat pada suatu daerah atau negeri. Perpaduan antara kedua-dua masyarakat yang berlainan agama juga turut memberi kesan terhadap  kebudayaan yang telah ada dan lahirlah suatu kebudayaan baru. Sebagai contoh, agama Islam telah mengubah amalan berpakaian masyarakat Melayu. Dulunya, masyarakat Melayu tidak mementingkan amalan pemakaian yang menutup aurat, namun setelah kedatangan Islam masyarakat Melayu mula berpakaian menutup aurat kerana dalam ajaran Islam tidak menutup aurat dianggap satu dosa.  Jelaslah bahawa agama sedikit sebanyak mempengaruhi perubahan budaya di sesuatu tempat.
Selain itu, agama turut didefinisikan sebagai kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat kekuasaan Tuhan serta penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan kepada yang Maha Kuasa serta kepercayaan kepada sesuatu dewa dan sebagainya yang dipuja disebabkan kekuasaan yang luar biasa yang dimiliki oleh dewa tersebut (Kamus Dewan Bahasa Edisi keempat, 2010). Di samping itu, kata agama berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘a’ yang bermaksud tidak dan ‘gama’ yang bermaksud kacau. Dan apabila patah perkataan itu digabungkan maka membawa maksud tidak kacau. Jadi, agama sebenarnya berfungsi sebagai memelihara kewibawaan sekelompok masyarakat dan hubungannya dengan Tuhan agar sentiasa seimbang dan sejahtera. Agama terdiri daripada dua kategori iaitu agama samawi (agama langit) dan agama bumi (agama budaya). Agama Samawi ini merupakan agama yang diperoleh melalui wahyu Illahi iaitu agama Kristian, Yahudi dan Islam. Manakala agama Budaya pula timbul akibat daripada daya fikir seseorang atau masyarakat iaitu agama Hindu, Buddha dan kepercayaan yang lain.
Seterusnya, terdapat lima agama terbesar di dunia, antaranya ialah agama Yahudi, Islam, Kristian, Hindunisme, dan Buddhisme. Setiap agama utama ini mempunyai nilai kebudayaan campuran yang unik dan memberi kesan terhadap landskap budaya di sesuatu tempat (Getis. A et al., 2014).  Agama Yahudi misalnya, merupakan agama yang berasaskan kepada kepercayaan etnik. Hal ini demikian  kerana berdasarkan faktor-faktor penentu antaranya ialah Nabi Yaakob iaitu keturunan Bani Israel, Kitab Taurat, kepercayaan tradisi dan agama. Kebanyakan penganut Yahudi mengikut peraturan dalam memilih makanan seperti yang tertulis di dalam Kitab Taurat yang melarang campuran susu dengan daging. Daging babi juga dilarang di makan dalam agama Yahudi. Makanan yang disediakan harus mengikut undang-undang tersebut dan daging harus disembelih oleh kaum Rabi. Anak lelaki juga perlu disunatkan ketika masih bayi lagi seperti perjanjian Abraham dengan Tuhan. Sekiranya berlaku kematian, orang Yahudi akan mengadakan satu minggu berkabung iaitu mereka akan membaca Kaddish.  Jelaslah di sini bahawa agama sememangnya banyak mencorak budaya baru di sesuatu tempat kerana agama dan budaya mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Misalnya, pengambilan riba dianggap berdosa sesama kaum Yahudi, tetapi dibenarkan kepada mereka yang bukan Yahudi. Hal ini jelas menunjukkan betapa agama banyak mempengaruhi pertumbuhan budaya dalam sesuatu  masyarakat.
Seterusnya, agama Kristian merupakan agama yang berasaskan kepada kehidupan, kematian, penyaliban dan  kepercayaan terhadap Jesus. Tanda-tanda agama Kristian terhadap lanskap budaya dapat dilihat di mana-mana sahaja dan bentuk budaya itu mampu bertahan dengan lama. Sebagai contoh, semasa zaman Pra-Reformasi Katolik Eropah, gereja menjadi pusat kepada komuniti setempat (Getis. A et al., 2014). Selain itu,  kedatangan agama Kristian telah melahirkan satu bentuk perayaan yang dikenali sebagai Hari Kristmas. Hari Kristmas ini diadakan bagi mengingati ulang tahun kelahiran Yesus. Di sini jelas menunjukkan bahawa agama Kristian telah melahirkan satu bentuk budaya iaitu perayaan Hari Kristmas bagi penganut agama Kristian. Di kawasan bandar besar pula, gereja menjadi  pusat berkumpul untuk memuliakanTuhan di samping menjadi simbol ketakwaan dan tumpuan kehidupan beragama. Seterusnya, agama Islam pula merupakan agama yang universal yang tidak hanya membawa ajaran tentang ibadah iaitu ajaran tentang solat, haji, puasa dan sebagainya tetapi Islam juga membawa ajaran tentang kebudayaan yang sesuai dengan norma-norma yang berlaku di dalamnya. Sehinggakan agama Islam banyak mempengaruhi budaya-budaya terdahulu yang kebanyakan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Di samping itu, agama Hindu pula merupakan agama yang tertua di dunia (Getis. A  et al., 2014). Sesuai dengan perkembangannya, hingga kini agama Hindu menjadi sebuah agama keselarasan yang memiliki kedamaian universal serta memandang setiap individu atau manusia sebagai satu keluarga besar. Kitab utama agama Hindu ialah Weda yang merupakan ungkapan prinsip-prinsip universal yang dianggap tertua yang berkait rapat dengan nilai moral serta spiritual yang global. Kuil-kuil, tempat-tempat suci, upacara ritual dan sebagainya telah menandakan landskap budaya dalam masyarakat Hindu. Landskap budaya kemudiannya diselitkan dengan simbol-simbol agama yang merupakan sebahagian daripada satu pengalaman budaya (Getis. A et al., 2014).
 Di samping itu, agama Buddha pula menjunjung tinggi nilai-nilai moral dalam kehidupan penganutnya. Nilai-nilai moral ini dikenal sebagai Pancasila.  Antaranya ialah Panatipata veramani Sikkapadan samadiyami (Aku bertekad akan menghindarkan diri daripada melakukan pembunuhan terhadap makhluk hidup), Adinnadana Veramani Sikkhapadam Samadiyami (Aku bertekad akan menghindarkan diri daripada melakukan pencurian), Musavada Veramani Sikkhapadam Samadiyami (Aku bertekad akan melatih diri daripada melakukan perbuatan yang bertentangan dengan tatasusila), Kamesu Micchacara Veramani Sikhapadam (Aku bertekad akan menghindari diri daripada melakukan perbuatan dusta) dan Surameraya Majjapamadatthana Veramani Sikkhapadam Samadiyami (Aku bertekad akan menghindari diri daripada makan atau minum sesuatu yang memudaratkan). Selain nilai-nilai moral di atas, agama Buddha juga amat menjunjung tinggi karma sebagai sesuatu yang berpegang pada prinsip sebab dan akibat. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa agama Hindu banyak mempengaruhi cara hidup penganutnya melalui prinsip-prinsip yang dikemukan dalam Pancasila dan cara hidup ini merupakan sebahagian daripada budaya.
Ringkasnya, dalam kehidupan manusia, agama dan budaya mempunyai saling perkaitan antara satu sama lain kerana kedua-duanya jelas tidak dapat berdiri dengan sendiri. Agama sebagai pedoman hidup manusia yang diciptakan oleh Tuhan bagi menjalani kehidupannya. Sedangkan kebudayaan sebagai kebiasaan tatacara hidup manusia yang diciptakan oleh manusia itu sendiri daripada hasil daya cipta yang diberikan oleh Tuhan. Agama banyak mempengaruhi kebudayaan dalam satu kelompok masyarakat, suku atau bangsa. Oleh itu, agama sememangnya banyak mempengaruhi pembentukan sesuatu budaya dalam kalangan masyarakat.

2.0 Kajian kes: Bagaimana agama Islam dan kepercayaan mempengaruhi sesuatu budaya dalam kelompok etnik Palau’ di Kampung Bangau-Bangau di Semporna, Sabah.
Saya memilih kelompok etnik Palau’ di Semporna, Sabah kerana masyarakatnya berlatar belakangkan budaya yang tersendiri yang jarang diperhalusi dalam kehidupan masyarakat moden hari ini. Oleh itu, saya akan menyingkap tentang kehidupan masyarakat Palau’ sebelum dan selepas kedatangan Islam yang telah mengubah aspek-aspek budaya tertentu yang merangkumi corak petempatan, sistem atau amalan beragama dan kepercayaan tradisi, sistem pendidikan, status kehidupan dan corak pekerjaan, adat perkahwinan, adat kematian, amalan berpakaian, makanan dan perayaan.

3.0 Objektif kajian
Tujuan kajian adalah untuk mengenal pasti bagaimana agama dan kepercayaan mampu mempengaruhi budaya di sesuatu tempat terutamanya dalam kelompok masyarakat Palau’ di Semporna, Sabah. Selain itu, saya dapat mengenal pasti budaya-budaya yang terhasil disebabkan pengaruh agama Islam seperti perubahan corak petempatan, kepercayaaan tradisi, amalan agama, sistem pendidikan, status kehidupan, adat perkahwinan, adat kematian, amalan berpakaian, amalan pemakanan dan perayaan.

4.0 Latar belakang kajian.

Kampung Bangau-Bangau merupakah salah sebuah kampung yang berada dalam Daerah Semporna yang terletak di Pantai Timur Sabah. Daerah Semporna ini mempunyai keluasan sebanyak 442 batu persegi atau 113, 412 hektar ( 282, 880 ekar ) dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna dan Kawasan Pulau yang dikenali sebagai Pulau Bum-Bum dan pulau-pulau sekitarnya. Menariknya mengenai Daerah Semporna ini dikelilingi oleh 49 buah pulau. Keindahan alam sekitar dan sebahagian pulaunya dikelilingi terumbu karang telah menjadikannya sebuah destinasi pelancongan yang terunggul di rantau ini. Daerah Semporna juga  berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia. Nama Semporna berasal daripada perkataan Simporna yang bermaksud tempat untuk berehat. Nama Simporna ini diberi oleh seorang gabenor Inggeris iaitu W.M. Crocker apabila beliau dan beberapa orang rakannya termasuklah seorang pedagang Cina yang bernama Toonah menemui daerah tersebut pada pertengahan tahun 1887 (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Di samping itu, masyarakat Bajau merupakan golongan majoriti penduduk di Semporna.  Menurut bancian penduduk pada tahun 2000 penduduk di Semporna berjumlah seramai 90, 000 orang termasuk mereka yang bukan warganegara. Di bawah ini disediakan peratusan penduduk di Semporna.

SEMPORNA: PERATUSAN PENDUDUK PADA TAHUN 2000

Kaum

Peratusan Penduduk di Semporna pada Tahun 2000 (%)
Bajau
                                          80%
Kadazan
                                         0.53 %
Murut
                                         0.04%
Melayu
                                         3.10%
Cina
                                         0.91%
Bumiputera lain
                                         6.29%
Lain-lain
                                         9.13%

(Sumber: Dipetik daripada Buku Budaya dan
Pemikiran dalam Masyarakat Global)
           
Melalui statistik yang dikemukan jelas menunjukkan Kaum Bajau merupakan penduduk majoriti di Semporna. Kampung Bangau-Bangau ini telah didiami oleh masyarakat Palau’ yang sebenarnya merupakan satu rumpun daripada pelbagai suku kaum yang tergolong dalam istilah Bajau khususnya Bajau Laut (Yap Beng Liang, 1993). Golongan Palau’ ini kebanyakannya berasal dari Kepulauan Sulu (Selatan Filipina) kemudian menetap di Kampung Bangau-Bangau. Berdasarkan pengamatan saya, didapati penduduk di kampung tersebut masih lagi mengamalkan adat resam dan budaya tradisional  yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka dahulu. Adat dan budaya tradisional tersebut seakan telah sebati dengan kehidupan mereka seharian. Agama Islam mula tersebar di negeri Sabah pada abad ke-10 berikutan kedatangan kapal dagang Arab dari Mendoro iaitu satu kawasan di Kepulauan Sulu yang terletak tidak jauh dari Sabah. Namun begitu, pada awal abad ke-15 penduduk tempatan mula menerima dan memeluk agama Islam (Harlina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Seterusnya, masyarakat Palau’ di Kampung Bangau-Bangau yang telah memeluk Islam mengidentifikasikan diri mereka sebagai ‘Samal Islam’ yang bermaksud Muslim Bajau. Sebelum memeluk agama Islam, kelompok ini adalah pagan iaitu tidak mempunyai pegangan agama. Namun setelah kedatangan Islam, aspek-aspek budaya mula ditransformasikan berdasarkan pengaruh Islam itu sendiri. Di bawah ini disertakan peta Kampung Bangau-Bangau:

Rajah 1: Lokasi Kampung Bangau-Bangau di Semporna, Sabah.


5.0 Pengaruh agama dan kepercayaan terhadap budaya di Kampung Bangau-Bangau

5.1 Corak Penempatan

Masyarakat di Kampung Bangau-Bangau membina petempatan di atas air yang berdekatan dengan daratan dan sehingga ke hari ini mereka masih membina rumah-rumah di atas air yang dihubungkan antara satu sama lain dan disambungkan terus ke daratan oleh jambatan atau titian kayu kecil.  Masyarakat Islam Bajau ini mula mendirikan rumah di atas air sejurus selepas menerima ajaran Islam daripada seorang Khatib yang meminta mereka supaya mendirikan rumah di atas air bagi memudahkan amalan beragama seperti solat limat waktu (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Sebelum kedatangan agama Islam Masyarakat Palau’ tinggal di dalam perahu. Masyarakat ini masih dengan cara hidup pagan. Ringkasnya, apabila Islam mula menyusup masuk ke dalam masyarakat ini maka sedikit sebanyak corak petempatan yang dibina selama ini mulai berubah.
Rajah 2: Corak petempatan Masyarakat Palau’ di Semporna, Sabah.

5.2 Amalan beragama dan kepercayaan tradisi
Sebelum mengenali Islam, masyarakat Palau’ merupakan golongan yang mempercayai dan mengamalkan kepercayaan animisme seperti pemujaan dan kepercayaan kepada benda-benda tahayul, ghaib,  jin, upacara pemujaan roh nenek moyong dan sebagainya. Sebagai contoh, kepercayaan tradisi masyakat Palau’ iaitu ‘magpatulak’ yang bermaksud upacara menolak perahu. Upacara ini diadakan oleh mereka yang baru ingin menbina perahu untuk tujuan mencari nafkah. Dalam upacara ini, pemilik perahu tersebut hendaklah mengelilingi pulau kerana menurut kepercayaan masyarakat ini si pemilik perahu tersebut akan terhindar daripada malapetaka atau sebarang penyakit ganjil ke atas diri mereka. Di samping itu, masyarakat Palau’ akan memuja jin pada setiap bulan mengambang di kawasan pokok-pokok yang besar dan rendang. Namun setelah kedatangan Islam dalam kalangan masyarakat Palau’ sedikit demi sedikit amalan  animisme tersebut terhakis. Tetapi, amalan memuja roh lelulur nenek moyang atau upacara ‘Bag Omboh’ masih terus dipraktikkan sehingga kini. Upacara pemujaan roh lelulur nenek moyang ini dilaksanakan setiap bulan Ogos hingga September (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006).
5.3 Sistem pendidikan
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Palau’ tidak mementingkan pendidikan. Justeru tahap pendidikan pada waktu itu sangat rendah. Masyarakat Palau’ beranggapan bahawa kehidupan adalah suatu perkara yang amat mudah. Sistem pendidikan mula diserapkan dalam kehidupan masyarakat Palau’ pada pertengahan abad ke-20 iaitu pada sekitar tahun 1960-an dengan kewujudan rumah-rumah kayu yang didirikan di atas air (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Semenjak itu masyarakat Palau’ dikatakan mula belajar mengaji al-quran dan membaca. Ibu bapa juga mula mengambil inisiatif menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan. Akibat dari kesedaran pendidikan yang dibawa dalam ajaran Islam menunjukkan ramai generasi muda di Kampung Bangau-Bangau terdiri daripada golongan terpelajar dan bekerjaya.

5.4 Status kehidupan dan corak pekerjaan
Corak pekerjaan masyarakat Palau’ pula bersumberkan kepada aktviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan tradisi. Mereka tidak mementingkan kemewahan asalkan mereka dapat meneruskan kehidupan mereka. Kehidupan mereka boleh diibaratkan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Namun setelah mengenali Islam masyakat Palau’ percaya bahawa Tuhan mahu setiap umatnya memajukan diri dalam kehidupan sehari-harian. Lantas, daripada saranan Islam itu masyarakat Palau’ berusaha mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih moden. Ringkasnya, status kehidupan masyarakat Palau’ di kampung Bangau-Bangau semakin maju berbanding dengan zaman nenek moyang mereka dahulu.

5.5 Adat Perkahwinan
Sebelum masyarakat Palau’ memeluk agama islam, mereka akan berkahwin di atas perahu yang dihias cantik. Hantaran yang diberikan kepada pengantin perempuan biasanya berbentuk keperluan harian seperti ubi kayu, tepung, gula dan bagi yang berkemampuan sebuah perahu akan dijadikan hantaran perkahwinan. Sewaktu upacara perkahwinan terdapat pantang larang yang wajib diikuti oleh pasangan pengantin. Antaranya ialah pengantin perempuan tidak dibenarkan keluar daripada perahu selama tiga hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung kerana dibimbangi akan ditimpa malapetaka. Mempelai akan duduk bersila di atas perahu dengan mengadap para pengunjung. Setelah memeluk islam, adat perkahwinan masyarakat Palau’ diselaraskan dengan ajaran Islam khususnya dalam upacara akad nikah. Di samping itu, beberapa adat orang Melayu turut dijalankan antaranya ialah merisik, meminang, menghantar hantaran perkahwinan, mas kahwin dan sebagainya. Cuma yang membezakan masyakat Palau’ dengan masyarakat Melayu ialah mereka tidak mengamalkan malam berinai seperti yang diamalkan kaum Melayu.
Rajah3: Majlis perkahwinan masyarakat Palau

5.6 Adat kematian
Apabila berlaku sesuatu kematian, mayat akan dimandikan di atas perahu dengan menjirus air biasa atau air laut ke atas badan mayat yang sedang berada dalam posisi berbaring. Mayat tersebut tidak perlu disembahyangkan dan terus dikafan dengan kain putih atau kain yang pelbagai warna kecuali kain hitam sahaja. Menurut kepercayaan mereka kain hitam hanya akan membawa kesengsaraan  kepada si mati. Setelah itu, mayat akan dikebumikan di pulau-pulau yang berhampiran. Mayat tersebut akan dikebumikan bersama-sama barang berharganya. Semasa upacara pengebumian, bacaan mantera yang berunsur benda-benda ghaib akan dilaksanakan (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Namun setelah memeluk islam, adat-adat kematian ini mula diselaraskan dengan ajaran Islam. Upacara penyembahyang dan pemandian mayat adalah sesuatu yang diwajibkan sekiranya si mati adalah beragama Islam. Namun begitu, unsur-unsur animisme masih lagi dapat dilihat melalui penggunaan artifak seperti perahu kecil yang diletakkan di atas kubur si mati dan juga lukisan-lukisan yang dilukis di atas batu nisan.

5.7Amalan berpakaian
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Palau’ tidak mementingkan konsep aurat dalam kehidupan mereka. Wanita Palau’ gemar berkembang manakala golongan lelaki pula hanya menggunakan cawat untuk menutup kemaluan mereka. Kanak-kanak Palau’ pula lebih selesa berbogel. Pernah satu ketika dahulu mereka hanya menggunakan karung atau daun-daun yang dikumpul untuk dijadikan pakaian. Namun kini, disebabkan pengaruh agama Islam dalam kalangan masyarakat Palau’ pakaian mereka tidak banyak perbezaan dengan masyarakat tempatan yang lain. Status kehidupan yang semakin baik dan kesedaran tentang cara berpakaian mengikut lunas-lunas Islam telah mengubah penampilan mereka.

5.8 Makanan
Makanan asasi masyarakat Palau’ ialah ubi kayu dan juga hidupan laut. Masyarakat Palau’  pada masa dahulu tidak makan segala jenis binatang yang disembelih disebabkan kepercayaan mereka yang melarang mereka membunuh binatang. Di samping itu, mereka juga tidak mengemari buah-buahan kerana dibimbangi mengandungi racun yang berbahaya. Setelah mereka menerima Islam masyarakat Palau’ mula makan daging binatang yang halal disembelih. Ini sekaligus mengubah amalan pemakanan masyarakat Palau’ (Halina Sendera Mohd. Yakin, 2006). Jelaslah bahawa pengaruh agama Islam telah membawa perubahan dalam menu makanan harian mereka.

5.7 Perayaan
Masyarakat Palau’ sebelum kedatangan Islam mereka tidak mempunyai sebarang perayaan rasmi. Mereka hanya mengadakan pertandingan lumba perahu khususnya pada musim tengkujuh iaitu pada masa angin kuat kerana cuaca pada masa tersebut menyukarkan mereka menjalankan aktiviti laut. Setelah mereka mendalami Islam barulah mereka merayakan Hari raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dan perayaan lain yang diamalkan oleh orang Islam.
Rajah 4: Pertandingan lumba perahu

6.0 Dapatan kajian
Kajian ini mendapati apabila masyarakat Bajau  menerima agama Islam, mereka secara tidak langsung telah mengubah cara hidup mereka agar selari dengan kehendak ajaran Islam. Antara cara hidup mereka yang berubah ialah corak petempatan sistem atau amalan beragama, sistem pendidikan, adat kematian, adat perkahwinan, amalan pemakanan, cara berpakaian serta perayaan. Berdasarkan jadual di bawah menunjukkan bahawa masyarakat tempatan telah mengalami perubahan dari segi budayanya disebabkan oleh pengaruh agama Islam.

SABAH: TABURAN KEKERAPAN PERUBAHAN BUDAYA BAGI MASYARAKAT PALAU’
Taburan Kekerapan perubahan budaya bagi masyarakat Palau’ di Sabah
Kekerapan Skala
Bilangan Responden
Peratus (%)
Sangat bersetuju
6
60%
Sangat tidak bersetuju
-
-
Bersetuju
2
20%
Tidak bersetuju
-
-
Tidak Pasti
2
20%

Oleh itu, kajian rawak yang dijalankan menunjukkan masyarakat Palau’ sangat bersetuju bahawa agama Islam banyak membawa perubahan budaya dalam kehidupan mereka.

7.0 Rumusan
Ringkasnya, pengaruh agama Islam merupakan satu peringkat baru dalam perkembangan budaya masyarakat Palau’ khususnya dari aspek sosial. Ajaran Islam yang sederhana ini telah menjadi daya penarik kepada penduduk tempatan untuk mendalami agama ini. Pengaruh agama Islam dalam kelompok etnik masyarakat  Palau’ telah mengubah hampir keseluruhan cara hidup mereka agar selari dengan ajaran Islam. Hal ini demikan kerana, setelah Islam mula menerjah masuk ke dalam masyarakat Palau’ sedikit demi sedikit amalan animisme terhakis dalam kehidupan mereka. Jadi, ini terbukti bahawa agama Islam telah mempengaruhi budaya setempat dalam kalangan masyarakat Palau’.  Agama Islam bukan setakat membicarakan soal ketaatan kepada Tuhan semata-mata tetapi turut membawa kepelbagaian budaya yang selari dengan ajarannya seperti, seni bina bangunan, sistem pendidikan, sistem ekonomi dan sebagainya.
















Rujukan
Abdul Rahman Ahmad Hanafian.  (2004). Komunikasi Budaya: Dari Alam Rahim Ke Alam Barzakh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Dilema Bajau Semporana dan Sejarah Migrasi. Diambil pada 1 Mei, 2014, daripada http://www.sabahdaily.com/2010/07/dilema-bajau-semporna-dan-sejarah.html.
Getis, A., Bjelland, M., & Getis, V. (2014). Introduction to Geography: Fourteenth Edition. New York: McGraw-Hill Education.
Halina Sendera Mohd. Yakin. (2006). Pengaruh Islam dalam Transformasi Identiti Budaya Kelompok Etnik Palau’ di Semporna Sabah: Satu Tinjauan Awal. Oleh Wan Abd. Hamid Wan Teh & Anisah Zainal Abidin (Eds), Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global Malaysia dan China (pp.246-267). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin Salleh. (2006). Agama dan Budaya: Kefahaman dan Amalan Masyarakat Melayu dan Cina Malaysia. Oleh Wan Abd. Hamid Wan Teh & Anisah Zainal Abidin (Eds), Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global Malaysia dan China (pp.455-481). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koentjaraningrat. (1990). Pengantar Ilmu Antropologi. Jakarta: PT Ranaka Cipta.
Sosial Budaya. Diambil pada 1 Mei, 2014, daripada http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/6-sosio-budaya.html
Syahada Menjejaki Masyarakat Bajau Laut (PELAHU) Di Semporna (n.d). Diambil pada 30 April, 2014, daripada http://www.islam.gov.my/%E2%80%9Csyahadah%E2%80%9D-menjejaki-masyarakat-bajau-laut-pelahu-di-semporna
Wan Abdul Kadir Wan Yusof. (1983). Pertumbuhan Budaya Popular Masyarakat Melayu Bandaran Sebelum Perang Dunia Kedua. Oleh  Mohd. Taib Osman & Wan Kadir Yusoff (Eds), Kajian Budaya dan Masyarakat Di Malaysia (pp 53-107). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yap Beng Liang. (1993). Orang Bajau Pulau Omadal: Aspek-aspek Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ulasan

Catatan Popular