JALURAN BERSIH TERPALIT NODA







JALURAN BERSIH TERPALIT NODA
Ya, aku akui pemikiranku dulu begitu obses tentang politik tanah air. Habis kritikan aku lontarkan pada orang awan malah pemerintah tertinggi di negara ini pun tidak terkecuali. Tanpa mengira darjat, pangkat dan rupa lidahku begitu petah menusuk kata-kata tajam bagaikan pedang yang ingin memancung mangsanya.  Benarlah kata hukama mata pena lebih tajam daripada mata pedang.
Dua minggu yang lepas aku bertemu semula dengan sahabat lamaku, Hassan. Kami sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti yang terletak di ibu kota. Dia sahabat baikku. Kami menjadi sahabat disebabkan ideologi yang sama. Sama-sama obses dengan politik tanah air. Waktu itu  patriotisme membuai kehidupan. Kalau dia atau aku berhujah pasti akan menjerat lawan sehingga lawan itu tak mampu membalasnya. Petang itu dia tiba-tiba mengunjungiku di rumah. Aku mempelawanya duduk di atas blozar yang terletak di sudut kiri rumahku. Angin petang itu seakan-akan membawa khabar salam daripadanya.  Isteriku, Aminah menjamukan kami sepinggan karipap berserta teh kosong.
“Aku dengar sekarang kau jadi YB. Betul ke?” Aku sengaja mengajukan pertanyaan itu walau hakikatnya sudah tersebar di media massa bahawa Hassan sahabatku ini sudah jadi YB. Tahu-tahu sahajalah media massa sekarang ini banyak tokok tambahnya. Perlu ditapis dahulu kalau inginkan kesahihan yang sebetulnya. Hassan mengangguk sambil menguyah karipap.
“Kau sekarang?” Soalan yang di lontorkan Hassan seakan menghentikan dunia aku seketika.
“Cikgu.” Jawapku ringkas. Telingaku menangkap bunyi ketawa yang seakan-akan mengejekku. Hina sangatkah menjadi seorang pendidik yang berusaha membela anak bangsa sendiri.
“Cikgu Nordin.” Panggil Hassan kuat sambil bertepuk tangan.
“Din, dulu aku lihat kau begitu petah mengkritik dasar dan falsafah negara yang berteraskan fahaman liberialisme. Kau begitu berani menghentam ahli-ahli politik yang bermazhabkan ideologi barat. Kau mengatakan golongan itu sedang menjatuhkan maruah bangsa melayu kita. Lalu kau bangun dan bersuara tentang ketidakpuasan hati kau pada pemerintah negara ini. Rupanya kau sudah berubah Din.” Aku hanya membiarkan Hassan bersuara. Aku ingin dengar luahan perasaannya.
“Kau silap Hassan. Aku masih sama tapi kau yang sudah berubah. Aku rindukan kau yang dulu. Bila kau bercakap kau masih menjaga percakapan kau agar tidak mengguris hati musuh-musuh kau. Walaupun kau tahu mereka silap tapi kau tidak cuba menghukum mereka malah kau cuba menasihati mereka. Aku suka kau seperti iti bukan seperti yang aku dengar sekarang. Kau tahu kan.”
Aku masih giat memberikan pandanganku tentang masalah-masalah dalam negara. Luahan ketidakpuasan tentang politik tanah air telah aku bukukan. Kau yang terlampau lurus Hassan dalam menilai makna perjalanan sebuah perjuangan. Aku masih sama. Masih berpegang pada prinsip yang jitu iaitu akan membela bangsaku daripada ditindas budaya kuning. Nilai ketimuran akan aku pahat pada diri bangsa Melayu dengan kudrat tuaku. Itu janji aku pada nusa.

“Sepatutnya Din, kau tidak boleh terlampau berpegang pada sebuah prinsip yang sering berubah-ubah dibawa masa. Kau terlampau lurus dalam menjalani kehidupan ini. Prinsip kolot kau itu biarlah dibawa angin lalu. Kau perlu berdepan dengan realiti sekarang. Masyarakat tidak memandang soal falsafah bangsa,masyarakat sekarang sebenarnya sudah lali dengan mainan politik kotor. Masyarakat sekarang juga sudah tahu menilai yang mana untung dan yang mana rugi. Kau itu jangan terlalu kolot atas prinsip yang kau ciptakan sendiri.” Ucapan itu datang seakan-akan mengejek naluri hatiku.
Lupakah Hassan pada janjinya dulu. Matlamat tidak mungkin menghalakan cara. Tapi aku lihat Hassan berubah 180  darjah ke barat. Sikapnya sekarang tidak lagi mencerminkan jati dirinya sebagai anak Melayu. Nun jauh di lubuk hatiku ingin sahaja aku menjerit marah. Namun ku tahan amarahku dalam diam. Aku membiarkan suasana sepi seketika. Angin luar mengulus lembut wajahku. Kemarah yang sebentar tadi membuak di dada mula reda.
“Kau sekali lagi silap San.” Lama keadaan menyepi aku mula bersuara. Aku tidak suka orang memperkotak-katikkan prinsip hidupku.
“Apa yang kau tahu tentang prinsip?”  Soalku kembali seakan mengejek penyataan Hassan sebentar tadi.
“Prinsip... kalau prinsip politik bagi aku kita sepatutnya berfikiran ala-ala barat sedikit. Aku tidak menyuruh kau apalagi kerajaan mengambil terus model pentadbiran Barat seratus –peratus. Aku ingin juga melihat bangsa Melayu ini tidak diperlekehkan oleh bangsa lain. Prinsip kau itu terlampau idealistik dan tak begitu realistik. Tidak boleh dipraktikalkan.  Cuba kau lihat negara barat seperti Amerika Syarikat mereka begitu maju. Tapi negara kita jauh ketinggalan dibawa arus masa. Masyarakat Melayu terutamanya masih bermimpi. Masih bergaduh soal yang sama. Langsung tiada pegangan.  Juga masih dengan hiburan yang melampau. Cuba kau lihat kebanyakkan orang Melayu yang terlibat dengan industri hiburan yang melalaikan dan kau perhatikan pula bangsa-bangsa lain seperti cina memonopolikan ekonomi bangsa kita. Sebabnya orang Melayu ini malas. Hanya menunggu kerajaan menyuapkan nasi ke dalam mulut mereka. Dan kau Din, masih dengan prinsip dan falsafah kau yang kolot itu. Bangunlah Din.”
Kolot. Prinsip aku tidak sekolot yang disangaka. Walaupun agak idealistik dan tidak begitu realistik. Aku masih percaya masih ada segelintir anak Melayu yang kental jiwanya melayari badai daripada barat. Masih utuh jiwanya dengan nilai-nilai keislaman.
“Mengapa kita perlu ikut Barat?” Aku melihat Hassan tersenyum. Senyuman itu tak mampu aku tafsirkan.
“Kau masih be...”
“Mengapa kita tidak bina acuan bangsa kita sendiri. Mengapa juga kita terlampau menggagungkan barat. Sedangkan Amerika itu  bukanah maju sangat. Negaranya maju tapi malang institusi kekeluargaannya sudah rebah menyembah tanah. Perkahwinanan sesama jantina dihalalkan, hidup sebumbung dengan yang muhrim dibolehkan. San, adakah kau ingin tanah yang kau pijak sekarang bergelumang dengan dosa dan noda. Aku tidak sanggup. Masalah sosial bangsa kita pun aku sudah tidak larat untuk melihatnya. “ Aku terus memotong bicaranya tanpa sempat dia berkata apa-apa.
Hassan tidak berkata apa-apa seperti bicaranya sudah mati.
“Kalau kau masih berpegang pada prinsipkau ikutlah. Aku pulang dulu. Assalamualaikum.” Hassan terus beredar.
Aku lihat dia menaiki kereta mercedez benz. Gah sekali kalah aku yang hanya memiliki sebuah kancil ini. Petang itu diskusi kami tamat disitu. Dia masih dengan agenda politiknya dan aku masih dengan prinsipku. Dulu kami sama dan sekarang aku dan dia sudah jauh berbeza.
Dua puluh enam tahun yang lepas aku masih ingat kata-kata Hassan. Lebih kurang sekitar tahun1985. Kata-kata itulah yang menaikkan perjuangan nasionalisme aku untuk tanah air ini. Hassan sewaktu di universiti dulu merangkap ketua perwakilan pelajar. Aku tiada apa-apa jawatan waktu itu. Aku bagaikan belangkas yang sering mengekorinya kemana-mana sahaja. Setiap butir bicara yang keluar daripada mulutnya aku catat satu persatu.
“Kalau kita ingin lihat bangsa kita maju, bangkitlah umat melayu. Jangan asyik mengikut telunjuk pemimpin andai pemimpin itu bersikap hipokrit. Mengadu domba bangsa kita untuk kepentingan mereka. Bercakap bagai nak rak tapi kosong maknanya. Hidup tidak berlandaskan al-quran dan sunah akibatnya bangsa kita berpecah. Bila berpecah golongan-golongan tertentu bertepuk tangan. Sedarlah saudara dan saudari, bangsa melayu ini sedang diratah,dilahap dan diinjak-injak oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka tahu kita ini lemah kerana tidak bersatu. Kita ini lemah kerana mudah disogokkan dengan kesenangan. Dan kita ini lemah kerana soal nyamuk seekor habis kelambu dibakar. Lupakah kita pada kegemilangan Empayar Melaka. Menangnya mereka kerana bersatu dan runtuhnya juga kerana tidak berpadu.” Begitu bersemangat sekali ucapan Hassan sewaktu Majlis Perasmian Bangkitlah Melayu.
 Mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program aku lihat mereka mengangguk sahaja.Dalam suasana yang sepi itu tiba-tiba seorang profesor berbangsa cina yang mendengar ceramah itu mengangkat tangan. Aku lihat Hassan masih tenang. Seingat aku profeseor itu mengajar bidang ekonomi.
..........................BERSAMBUNG........................

Ulasan

Catatan Popular